Oleh pada 25 Sep 2022 kategori

Kredit foto : MetroWealthPictures

Zaman media sosial ni memboleh bermacam jenis teknik pemasaran bagi mempopularkan sesuatu produk atau servis, dilakukan dengan mudah.

Berbeza dengan kaedah pengiklanan tradisional di TV dan radio, peniaga dan usahawan tidak lagi melalui proses birokrasi panjang sebaliknya hanya memerlukan idea dan usaha, kadangkala tanpa perlu sebarang modal dikeluarkan untuk memasarkan produk mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemudahan itu bagaimanapun jelas membawa kepada taktik pemasaran yang aneh dan menjengkelkan, sehinggakan kita pun rasa tertekan melihatnya. Berikut adalah lima taktik pemasaran yang sebenarnya kurang sesuai, tapi dah kita halalkan kerana bagi kita - ianya berjaya.

1. Buat benda bodoh untuk tular

influencer lakukan stunt bodoh demi kandungan

Perasan kan taktik ini kerap berlaku? 

Kami tidak tahu apa faktor yang menyebabkan ramai di kalangan usahawan di negara kita khususnya, suka melakukan perbuatan bodoh untuk memasarkan produk. Adakah mereka tak peduli reputasi sendiri?

Ada usahawan sengaja mencipta dramarealiti dalam hidup, atas tujuan mencetuskan kontroversi. Bila dah jadi topik bualan hangat di dalam media sosial dan netizen, mulalah dia nak cucuk produk atau servis dia ketika nama dia disebut-sebut dalam nada negatif. 

Yang berlakon bodoh pun ramai juga. Buat strim secara langsung jual produk, lepas tu pura-pura buat aksi bodoh bermacam cara, dengan harapan engagement buruk yang ada boleh ditukar kepada jualan sebenar.

2. Berpegang 'bad publicity is publicity'

aliff syukri badang

Ada ramai juga pihak percaya 'bad publicity is still publicity.' Dalam bahasa kita, 'publisiti buruk, tetap adalah sejenis publisiti.'

Kami merasakan pendapat sebegini salah untuk kita anggap baik, kerana tak pernah sekalipun mana-mana ajaran agama mahu penganutnya bangga diberikan publisiti buruk. Tak ada!

Lagipun, apa yang boleh datang daripada publisiti negatif, biasanya adalah persepsi negatif yang berkekalan.

Jika anda percaya cercaan yang hadir akibat publisiti buruk benar-benar mampu memberikan impak positif kepada jualan anda, itu menunjukkan anda sebagai usahawan sebenarnya tidak ada produk atau servis yang benar-benar mantap.

3. Sengaja cipta kontroversi untuk attract haters

jutawan kosmetik

Bagi sesetengah usahawan yang dah ada nama dan pengikut setia, mereka tidak lagi perlu melakukan stunt atau gimik bodoh untuk memasarkan produk.

Sebaliknya mereka akan menggunakan kuasa media sosial sepenuhnya dalam meramaikan pembenci atau haters, kerana kita semua tahu aura haters sebagai suara paling berkuasa, berpengaruh dan diyakini di kalangan netizen - tidak boleh disangkal lagi.

'Haters' dilihat sebagai satu currency pemasaran yang berkesan, sehinggakan ramai usahawan dengan sengaja melakukan apa saja perkara yang boleh hanya untuk melihat apa reaksi haters mereka.

Bila nama dah trending, usahawan itu akan mula menjadi buah mulut topik popular hari ini. Akhirnya, usahawan itu akan melakukan permohonan maaf kerana kurang sensitiviti, terkhilaf atau terlepas pandang untuk kali ke 1,647 kali.

Esoknya, disebabkan oleh lambakan haters yang hadir mengecam dia akan berkongsi produk atau servis yang dia tawarkan secara positif pula.

4. Buat lawak 'prank' untuk 'marketing'

video prank gaduh marketing

Dalam banyak taktik pemasaran yang penulis paling kurang gemari, video rakaman lawak prank atas tujuan pemasaran merupakan isi kandungan paling penulis menyampah.

Terlalu banyak usahawan kita menggunakan taktik sama, gemar bersandarkan kepada idea mencipta adegan gaduh atau marah-marah di kedai milik mereka, kerana mereka tahu adegan sebegitu mudah tular dan banyak dikongsikan.

Bila situasi dah panas, barulah didedahkan semuanya hanyalah prank dan diakhiri dengan foto premis atau alamat kedai di mana prank itu dilakukan.

Tidakkah mereka ini sedar pemasaran sebegini sebenarnya hanya membuatkan orang rasa lagi menyampah? Secara tidak rasmi, pengamal taktik sebegini yang biasanya bergantung kepada influencer-influencer juga membuktikan mereka sendiri kurang kreatif atau kekeringan idea pemasaran yang lebih elok.

5. Bertenggek tumpang populariti orang ada nama 

cipta kandungan tanpa mempedulikan adab

Jika sesetengah usahawan melihat mengumpul haters banyak faedahnya, ada juga individu yang tidak segan untuk menempel populariti atau reputasi orang lain tanpa mengambil kira adab dan tatasusila.

Bagi yang mahu popular segera, satu cara paling mudah untuk menaikkan nama mereka di kalangan masyarakat adalah dengan mengkritik atau membawa pandangan yang berbeza dengan individu yang sudah ada nama dengan konsisten - sehinggalah nama besar itu memberikan reaksi kepada mereka.

Ada juga usahawan yang ketiadaan idea atau pengaruh kuat, gemar menggunakan taktik menempel sesuatu isu yang tengah hangat sebagai pemasaran. Dia akan mengulas tentang isu itu dan akan diselitkan juga produk atau servis yang dia ada, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Yang penting, semuanya bukanlah atas tujuan mahu menyebarkan pengetahuan atau menyampaikan mesej kepada masyarakat, sebaliknya jelas hanya atas mencari pengaruh, untuk menjaja produk atau servis yang dilakukan mereka.

6. Penggunaan penapis wajah demi melariskan jualan

filter muka peniaga tipu pengguna pembeli

Di kalangan ahli masyarakat kita, kita tahu ramai di antara kita mencari pendapatan dengan menjual produk-produk kosmetik. 

Bila dah menjual produk kecantikan ni, yang menjualnya pun perlulah menepati tahap penampilan yang diharapkan. Kita nak jual, mestilah mampu meyakinkan orang produk tu berkesan.

Yang jadi masalahnya, ramai penjual ni kurang yakin dengan penampilan sendiri. 

Solusi utama mereka adalah dengan memakai 'penapis wajah' dalam video yang akan mengubah penampilan mereka secara digital ketika sedang melakukan strim langsung promosi produk. Kita yang tak tahu, mulalah rasa 'wow' mulusnya kulit mereka ini - walhal semua yang kita nampak hanyalah ilusi digital semata-mata.

Penapis wajah ni sudah jadi satu gejala kurang sihat yang melanda di mana-mana saja. Selain daripada menipu bakal pelanggan, penampilan palsu sebegitu juga mengakibatkan kita mempunyai standard paras rupa yang tidak realistik.

Jika anak patung 'Barbie' dikecam kerana mendidik anak kecil tentang figur wanita yang tidak berpaksikan realiti, kenapa kita hari ini tidak menyuarakan pendapat sama apabila bercakap tentang penapis wajah bersifat digital dalam video?




Hakcipta iluminasi.com (2017)