Oleh pada 01 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Astro Gempak

"Ya, kami sudah bergelar suami isteri sejak lebih dua bulan lalu."

Begitulah pengakuan pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 29, yang tampil mendedahkan aktres popular, Izreen Azminda, 32, sebagai isteri keduanya.

Muhammad Radzi atau Ude, yang juga pemuzik bebas rancangan realiti Gegar Vaganza, memberitahu dia dan Izreen melangsungkan perkahwinan pada 8 Ogos lalu di sebuah lokasi yang dirahsiakan.

"Buat masa ini, saya tidak akan memberikan kenyataan berhubung pernikahan bersama Izreen. Sebaliknya, ia hanya akan dikongsi pada majlis doa selamat yang dirancang pada minggu hadapan," katanya memetik portal BH Online.

Uda mengulas kenyataan seorang wanita dikenali sebagai Intan yang pasrah dimadukan dengan seorang aktres popular.

Susulan itu, nama Izreen didakwa sebagai isteri kedua yang dimaksudkan.

"Wanita yang tampil membuat pengakuan itu ialah isteri pertama saya.

"Saya dan Intan Liana Saleh, 32, mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu. Kami memiliki dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 11 bulan," dedah Ude.

Sementara itu, Ude menepis dakwaan kononnya perkahwinan dengan isteri pertamanya bergolak selepas kehadiran Izreen.

"Banyak spekulasi yang timbul apabila isteri pertama memberi kenyataan, hari ini.

"Saya mohon hentikan kenyataan dan persepsi buruk yang boleh mempengaruhi emosi kedua-dua isteri saya.

"Saya mengharapkan pihak luar tidak mencampuri urusan rumah tangga saya. Intan dan Izreen adalah isteri saya.

"Saya menjadi ketua keluarga, jadi beri peluang untuk saya menguruskan dua isteri dan anak-anak saya. Doakan kehidupan kami bahagia seperti pasangan lain," ujarnya yang ditemubual malam tadi.

Di kesempatan yang sama, Ude meminta agar pihak media menghormati privasi keluarganya.

"Apa saja kenyataan biarlah saya menjawabnya. Jangan sentuh emosi dan menyalahkan Izreen atas takdir jodoh kami.

"Sebagai suami, saya sedaya upaya mahu menjaga hati kedua-dua isteri demi keharmonian rumah tangga," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)