Oleh pada 31 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Izreen Azminda

Selepas hampir sebulan menyepi, aktres Izreen Azminda kembali bersama perkongsian terbaharu di laman sosial Instagram.

Sebelum ini, Izreen menutup seketika akaun Instagramnya pada 2 Mac lalu susulan isu mengahwini suami orang iaitu pemuzik bebas, Ude Wahid.

Kali terakhir akaun itu dikemaskini ialah pada 27 Februari lalu.

Berkongsi foto terbaharunya pada awal pagi semalam, Izreen, 33, menerusi kapsyen mengingatkan dirinya untuk lebih tenang menghadapi isu tersebut yang disifatkannya sudah semakin reda.

izreen azminda kembali lagi di instagram 2

Kredit foto: Instagram Izreen Azminda

“Senyum, keadaan bertambah baik,” tulisnya sebagai kapsyen entri berkenaan.

Namun, pelakon Surat Panjang Untuk Mak ini kekal dengan pendirian untuk menutup ruangan komen, sekaligus tidak memberi ruang kepada netizen untuk memberi reaksi terhadap kirimannya.

Izreen terlebih dulu pernah menghalang komen peminat daripada akaun media sosial itu dipercayai kerana tertekan dengan kecaman berterusan rentetan tindakan suaminya menceraikan isteri pertama yang juga madu beliau, Intan Liana Saleh hingga menimbulkan amarah orang awam.

Bagaimanapun, netizen terus mencari alternatif lain dengan melampiaskan kemarahan terhadap Instagram rakan-rakan Izreen seperti aktres Rita Rudaini dan Sheila Rusly.

Terdahulu, pernikahan antara Izreen dan Ude yang diadakan secara rahsia pada 8 Ogos 2017, akhirnya terbongkar pada hujung tahun.

Kontroversi itu bertambah hangat apabila Ude memfailkan permohohan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 terhadap Intan Liana pada 28 Februari sebelum akhirnya mereka sah bercerai pada 22 Mac lepas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)