Bagi anda yang melalui usia remaja pada sekitar tahun 80-an atau 90-an, terutamanya yang pernah menghadiri sekolah berasrama pasti pernah mendengar satu permainan yang dipanggil "Spirit-spirit". Permainan yang sama ini sering dimainkan oleh mereka di barat, namun mereka menggunakan alat yang dipanggil sebagai Ouija Board atau Papan Ouija.
Permainan yang dikatakan memerlukan pemainnya untuk berhubung dengan roh dari alam ghaib ini mungkin dimainkan secara suka-suka atau bertujuan untuk bertanyakan sesuatu dengan orang yang telah meninggal dunia. Namun, ramai orang mendakwa mereka didatangi oleh satu roh jahat bernama Zozo ketika bermain Papan Ouija ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Syaitan Zozo dikatakan telah mengganggu atau merasuk beratus-ratus manusia melalui penggunaan Papan Ouija. Akan tetapi, adakah ia sebenarnya kuasa jahat dari alam ghaib atau sebenarnya ia datang dari minda manusia itu sendiri?
Roh jahat Zozo
Darren Evans
Apabila seorang pengkaji paranormal iaitu Darren Evans menulis tentang pengalamannya yang mengerikan berhadapan dengan syaitan Papan Ouija bernama Zozo pada tahun 2009, beratus-ratus orang yang lain tampil mendakwa perkara yang sama juga berlaku terhadap mereka.
Dakwa Evans lagi, syaitan Zozo ini telah datang mengganggunya beberapa kali dalam pelbagai cara. Kadang-kala, syaitan itu menyamar sebagai beberapa jenis roh, menipu dan juga cuba menyakinkan Evans bahawa ia sebenarnya adalah seseorang yang berbeza. Akan tetapi, akhirnya syaitan Zozo itu akan menampakkan sifat dan niat jahatnya itu.
Rupa-rupanya, cerita mengenai syaitan Zozo ini sudah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Darren Evans pada mulanya berkongsikan kisah syaitan Zozo ini buat pertama kalinya pada 24 Mac 2009 di salah sebuah forum dalam talian di mana orang ramai berkongsikan kisah benar mereka berhadapan dengan makhluk ghaib.
Evans menerangkan bagaimana pertama kali dia berhadapan dengan syaitan ini. Ketika dia menggunakan Papan Ouija, penanda yang dipegangnya itu bergerak antara dua huruf iaitu Z-O-Z-O-Z-O-Z-O setelah dia menanyakan roh apa yang hadir pada ketika itu.
Evans berkata, Zozo juga memberitahu akan membawa Evans dan keluarganya ke "syurga". Apabila Evans bertanya di manakah syurga yang dimaksudkan itu, penanda Papan Ouija itu mengeja perkataan H-E-L-L (neraka). Evans juga mendakwa bahawa Zozo kadang-kala mengeja beberapa kata-kata kesat dalam bahasa yang dipercayainya adalah Latin atau Ibrani.
Pernah berlaku satu kejadian di mana Evans mendapati teman wanitanya yang sedang memandikan anak perempuan mereka berusia setahun hilang begitu sahaja dan meninggalkan anak mereka di dalam tab yang dipenuhi air. Mujur Evans sempat menyelamatkan anak perempuannya itu. Dia percaya bahawa Zozo telah merasuk teman wanitanya supaya meninggalkan bayi mereka untuk mati.
Evans juga mendakwa bahawa Zozo bertanggungjawab ke atas jangkitan misteri yang dihidapi anak perempuannya sehingga kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan rapi.
Ramai orang mengalaminya
Kisah yang dialami Evans ini kedengaran seakan sebuah filem seram dan seperti tidak logik. Akan tetapi, apa yang membuatkan cerita Evans ini dipandang serius ialah kerana bukan dia sahaja yang mengalaminya. Malah, ramai yang menyokong kisahnya itu hampir sama dengan apa yang mereka alami.
Kisah syaitan Zozo ini menjadi popular sehingga sebuah filem mengenainya iaitu "I Am Zozo" telah diterbitkan pada tahun 2012. Bahkan, Evans juga pernah dijemput untuk menyertai rancangan Ghost Adventures bagi menghubungi syaitan Zozo ini.
Kebanyakan cerita mengenai pengalaman orang ramai berhadapan dengan Zozo adalah hampir sama. Pada mulanya, mereka menyangka sedang berbicara dengan roh saudara mara yang telah meninggal dunia kerana "spirit" yang mereka hubungi itu mengetahui banyak perkara mengenai saudara mara mereka itu. Kemudian, dengan tiba-tiba penunjuk arah itu akan mengarah kepada huruf "Z-O-Z-O-Z-O" berulang kali.
Ketika itulah ancaman daripada Zozo akan bermula. Papan Ouija akan mula mengeja kata-kata kesat dengan ugutan bahawa Zozo akan mengambil anak lelaki sulung mereka untuk dibawa ke neraka.
Seorang wanita berkongsi di sebuah laman web bahawa ketika dia bermain dengan Papan Ouija, secara tiba-tiba anak saudara lelakinya berlari dalam rumah sambil menjerit "Zozo, Zozo, Zozo" sehingga terpaksan ditenangkan. Pada keesokan paginya, dia ingin membawa anak saudaranya itu untuk bersarapan. Tidak sampai dua minit memandu, sebuah kereta dari arah lain telah merempuh kenderaan mereka.
Sebelum Darren Evans berkongsikan kisahnya kepada umum, dia pernah membuat carian di Google mengenai perkatan "Zozo" dan menemui berdozen blog lain yang menceritakan kisah yang sama. Lebih menakutkan ialah dia juga menemui kisah Zozo yang berusia hampir 200 tahun lamanya.
Kisah Zozo sudah lama ditulis
Antara kandungan Dictionnaire Infernal
Sebuah buku iaitu Dictionnaire Infernal yang ditulis oleh Collin de Plancy pada tahun 1816 menceritakan bagaimana seorang gadis mendakwa dirinya dirasuk oleh tiga syaitan yang bernama Mimi, Capoulet dan Zozo. Gadis itu kadang-kala berkelakuan pelik dengan berjalan ke hadapan dan belakang dengan menggunakan keempat-empat tangan dan kakinya.
Gadis itu mendakwa bahawa syaitan yang merasuknya telah menyuruhnya berkelakuan sedemikian. Hal ini menyebabkan seorang paderi telah melakukan upacara menghalau hantu terhadapnya. Apabila Zozo meninggalkan badannya, cermin pada tingkap biliknya pecah.
Tuhan Mesopitamia, Pazuzu
Walau bagaimanapun, penulis buku itu sendiri iaitu Collin de Plancy agak skeptik mengenai hal itu. Ketika mencatatkan keterangan kejadian paranormal itu, dia menulis nota kecil bahawa tidak percaya walaupun sepatah apa yang diperkatakan gadis tersebut. Namun, hasil tulisannya bukanlah kisah pertama yang menceritakan mengenai syaitan Zozo ini.
Terdapat spekulasi bahawa Zozo ini sebenarnya adalah berasal daripada Pazuzu, iaitu salah satu tuhan Mesopotamia yang dikenali sebagai pemerintah seluruh syaitan.
Seterusnya, simbol nama "Zoso" pernah dilukis sebagai kod untuk tuhan Saturn di dalam sebuah buku ajaran sesat yang diharamkan pada tahun 1521. Simbol ini kemudian digunakan oleh Jimmy Page yang merupakan gitaris bagi kumpulan Led Zeppelin.
Penjelasan mengikut logik
Mungkin terdapat penjelasan yang lebih nyata di sebalik fenomena syaitan Zozo ini. Pada tahun 1972, seorang ahli psikologi telah melakukan ujian sama ada manusia boleh berkomunikasi dengan alam paranormal dengan panggilan atau kehendak manusia melalui uji kaji yang dinamakan sebagai "The Philip Experiment".
Kajian itu dilakukan dengan menggunakan satu watak rekaan yang diberi nama Philip Aylesford dan sekumpulan orang telah diarahkan untuk melakukan upacara memanggil roh Philip dari alam ghaib. Kumpulan itu percaya bahawa mereka dapat merasakan kehadiran Philip.
Mereka mendakwa mendengar bungi ketukan pada meja, terasa meja seakan bergerak dan mereka yakin bahawa telah dapat bercakap dengan hantu Philip, siap dengan sesi soal jawab bersama roh itu. Namun, apa yang mereka tidak tahu ialah Philip itu sebenarnya adalah watak rekaan para pengkaji sahaja.
Para pengkaji percaya bahawa minda manusia boleh mencipta roh atau "spirit" mereka sendiri melalui pujukan atau imaginasi. Manakala Papan Ouija pula, direka untuk menjadi satu alat helah terhadap pemain dengan menghasilkan prinsip yang disebut sebagai "Kesan Ideomotor".
Kesan Ideomotor
Otot manusia akan membuat pergerakan kecil di bawah tahap separa sedar dan itu akan meyakinkan para pemain bahawa pergerakan itu sebenarnya berlaku disebabkan kuasa mistik. Hal itu sudah cukup untuk meyakinkan orang bahawa paranormal itu benar-benar berlaku.
Sekurang-kurangnya, itu adalah penjelasan mereka yang skeptik dalam fenomena syaitan Zozo dan Papan Ouija ini. Apa yang pasti ialah syaitan sememangnya benar-benar wujud, walaupun ia diperdebatkan sama ada dalam alam ghaib atau dalam minda kita sendiri.
Bagi agama Islam pula, ia melarang penganutnya daripada berhubung dengan makhluk ghaib, apatah lagi meminta bantuan atau bertanya sebarang soalan walaupun diwajibkan untuk percaya tentang kewujudan syaitan itu sendiri.