Kredit foto: Instagram Yana Samsudin & Instagram Fadzil Zahari

Sebagai memberi sokongan kepada adik iparnya, Datuk Farid Kamil, aktres Yana Samsudin sanggup mengorbankan masa bersama suaminya, Fadzil Zahari yang sibuk mengendalikan kes terbabit dari minggu lalu.

Yana berkata, dia hanya mampu memberikan sokongan moral terhadap suami dan individu sekeliling agar segalanya berjalan dengan lancar.

"Saya sebagai seorang isteri dan keluarga Farid sentiasa memberikan sokongan penuh.

"Orang terbabit ada di sana tetapi yang di luar menguruskan segala hal yang paling penat. Saya lihat sendiri betapa tabahnya suami saya sampaikan kurang tidur.

"Bahagian saya pastilah sokongan moral yang tidak pernah putus.

"Rasanya sudah tiga hari saya tidak bertemu suami saya. Tiap-tiap hari dia balik pukul 2 atau 3 pagi, sempat jumpa pun waktu pagi saya salam dengan suami sebelum keluar bekerja," katanya memetik laporan Astro Gempak.

Yana membuat kenyataan tersebut di majlis tayangan program 2018 Media Prima yang berlangsung di Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya lagi, kontroversi yang melanda keluarganya itu tidak memberikan tekanan kepadanya.

Pelakon yang popular menerusi filem Minyak Dagu ini menambah, dia bersyukur kerana tiada pihak yang memberikan provokasi sepanjang kes berjalan.

"Saya berterima kasih kepada individu sekeliling saya yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan kami sekeluarga.

"Perkara sebegini baru pertama kali berlaku kepada kami dan adakalanya kami pun hilang arah.

"Semoga semuanya akan selesai dengan baik," katanya.

Terdahulu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan selain berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara.

Beliau diikat jamin RM12,000 untuk semua pertuduhan. Mahkamah menetapkan 5 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Sumber berita: Astro Gempak 




Hakcipta iluminasi.com (2017)