Jika kita cuba memandang matahari, apa yang kita akan nampak hanyalah bebola cahaya di langit yang tidak jelas bagaimana rupanya - sebelum mata kita merasa sakit.
Apa rupa sebenar permukaan matahari? Itulah persoalan yang kerap bermain di minda penulis selama ini, kerana di antara semua gambar objek-objek yang terletak dalam sistem suria, matahari menjadi antara badan angkasa paling misteri kepada kita; besar kemungkinan tidak akan mampu kita rungkai.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau demikian, teknologi masih membolehkan kita memahami serba sedikit tentang sifat-sifat matahari yang memainkan peranan yang sangat besar pada kita - yang terbaru adalah dengan terbitnya gambar permukaan matahari paling jelas pernah manusia perolehi, menggunakan teknologi teleskop solar terbaik yang kita ada setakat ini.
Teleskop solar gergasi di Hawaii
Teleskop solat Daniel K. Inouye, dinamakan sempena senator Hawaii, Daniel Ken Inouye yang telah berkhidmat sejak tahun 1963 sehingga kematiannya pada tahun 2012 - merupakan teleskop solat terbesar di dunia setakat ini.
Dikenali dengan nama Daniel K. Inouye Solar Telescope atau DKIST, perancangan pembinaannya diumumkan pada tahun 2010, mula dibina pada tahun 2013 sebelum siap pada Ogos 2017. Dalam tempoh 2 tahun kebelakangan ini, penyelidik yang bertugas di DKIST masih lagi dalam fasa kajian dan percubaan dengan anggaran mampu beroperasi sepenuhnya bermula pada pertengahan tahun 2020.
DKIST mempunyai pelan kajian 44 tahun lamanya, bagi mengkaji matahari sebagai matlamat utama. Berikutan teknologi yang dipasangkan ke dalamnya memang khas untuk mengkaji sebarang perubahan solar yang berlaku, DKIST bakal membolehkan kajian tentang bagaimana perubahan medan magnetik matahari memberikan kesan kepada bumi dan kawasan persekitarannya.
Selain itu, DKIST juga diramalkan bakal membantu kita menjawab satu persoalan yang belum kita fahami sehingga kini - mengapa corona matahari mempunyai tahap kepanasan lebih tinggi, berbanding permukaan badan bergasnya sendiri?
Imej pertama beresolusi tinggi permukaan matahari DKIST
Walaupun masih dalam tempoh percubaan, penyelidik sudah berjaya merekodkan banyak visual tentang matahari yang sedang berlaku. Visual pertama yang ada telah pun diterbitkan pada 29 Januari 2020, memaparkan permukaan matahari yang sangat unik dan sentiasa berubah-ubah.
Cermin DKIST yang mempunyai lebar 4 meter, mampu merekodkan gambaran matahari 5 kali lebih baik berbanding teleskop yang ada sebelum ini - menampakkan dengan lebih jelas wajah sebenar matahari. Apa yang penting, selepas beroperasi sepenuhnya - kita akan dapat menganalisis data berkaitan suhu, kelajuan dan struktur matahari dengan lebih baik; membolehkan kita memahami perubahan cuaca di angkasa.
Menghalakan sebuah teleskop dengan lensa gergasi bukanlah satu tugas mudah, kerana haba yang terhasil daripada fokus mampu mencairkan besi dalam tempoh masa yang pendek. Sebuah kolam khas yang diisikan ais digunakan dengan jalinan sistem penyejuk sepanjang 13 km di sekeliling fasiliti, bagi membolehkan teleskop disejukkan.
Matahari ibarat 'popcorn' yang mahu masak
Sebuah video yang memaparkan dengan jelas perubahan permukaan matahari telah pun dikongsikan, memaparkan permukannya dalam skala lebih 7000 km persegi. Hanya satu imej dari DKIST mampu mengandungi keseluruhan Negeri Sembilan, sebagai contoh - sekiranya dibesarkan untuk diteliti!
Imej pertama dari DKIST memaparkan plasma yang seakan menggelegak di seluruh permukaan matahari, seperti sel-sel mikroorganisma yang senantiasa berubah-ubah - setiap satu sel mempunyai saiz sebesar sebuah bandar besar di bumi.
Apa yang kita tahu setakat ini, proses penolakan plasma ke luar permukaan matahari itu tidak pernah berhenti 'dipancutkan' sebelum menyejuk dan kembali menyusup masuk ke dalam matahari, melalui liang-liang yang wujud.
Setakat ini, tidak banyak perkara baru yang dapat kita pelajari hasil daripada DKIST, selagi mana teleskop ini belum beroperasi sepenuhnya. Bermula pertengahan tahun 2020, diharapkan kita mampu memahami dengan lebih baik bintang gergasi yang mempunyai peranan yang sangat besar pada kita - seterusnya membolehkan kita meramal 'perangai' matahari dengan tepat.
Matahari dan medan magnetiknya yang sentiasa berubah memberikan pengaruh besar kepada sistem GPS kegunaan kita, mengganggu sistem penerbangan, sistem satelit serta mampu mematikan jalinan elektrik yang bertanggungjawab membekalkan tenaga pada kita.
Bencana yang terhasil daripada medan magnetik matahari setakat ini hanya mampu kita ramal, boleh berlaku dalam tempoh masa 48 minit. Apabila DKIST beroperasi sepenuhnya, manusia akan mampu meramal gangguan atau bencana akibat pengaruh solar lebih awal - sepantas 48 jam sebelum tiba fenomenanya di bumi.
Rujukan