Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa terharu selepas menerima titipan doa dan ucapan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk atau dikenali sebagai Mufti Menk.
Menurut Siti, kiriman yang dihantar kepada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu mendoakan kesejahteraan keluarga dan bayi yang bakal dilahirkannya nanti.
“Alhamdulillah, terharu dan dengan rasa rendah diri saya mengucapkan terima kasih atas ingatan ulama Mufti Menk terhadap saya dan mendoakan proses melahirkan nanti dipermudahkan.
“Beliau menghantar pesanan di telefon bimbit suami saya dan mendoakan kesejahteraan kami. Terima kasih Mufti Menk. Anda seorang yang baik hati. Terima kasih banyak-banyak,” tulis Siti dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Instagram.
Sehingga kini, video rakaman suara yang dikongsi Siti di laman sosial berkenaan telah meraih lebih 220,000 tontonan.
Peminat turut sama menghimpunkan doa di ruangan komen agar kelahiran bayi sulung itu berjalan dengan lancar.
Dalam kenyataan terdahulu, Siti memaklumkan beliau hamil menerusi kaedah IVF, manakala bakal bersalin melalui pembedahan seperti yang disarankan doktor.
Penyanyi yang baru muncul dengan single Comel Pipi Merah itu dijangka menyambut kelahiran anaknya dalam tempoh terdekat ini di sebuah hospital di ibu kota.