Kredit foto: Instagram @rozisangdewi

Hari ini peminat dunia hiburan menerima perkhabaran berita kelahiran anak sulung penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Netizen nyata teruja dengan memenuhi ruangan komen laman Instagram penyanyi tersohor negara itu dengan rangkaian ucapan tahniah.

Dalam pada itu, ramai yang tertanya akan wajah dan nama penuh bayi pertama perkahwinan Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

Rozi Abdul Razak selaku pengurus Siti berkata, pasangan popular itu akan mendedahkan nama penuh bayi berkenaan hanya selepas seminggu dari hari kelahiran.

Di ketika ini, bayi berkenaan hanya dikenali dengan nama permulaan 'Siti A' atau nama sementara yang boleh dipanggil ialah Fatimah Az Zahra sempena nama anak Rasulullah s.a.w.

nama sementara anak siti nurhaliza didedahkan 2

Kredit foto: Instagram @rozisangdewi

"Insya-Allah Siti dan suami akan umumkan nama penuh anak mereka dalam masa tujuh hari selepas kelahiran.

"Buat masa ini hanya boleh diberitahu nama bermula dengan Siti A sahaja," kata Rozi kepada portal Mstar Online.

Sementara itu, Rozi mendedahkan Siti dan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan masih ditempatkan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

nama sementara anak siti nurhaliza didedahkan 3

Kredit foto: Instagram @rozisangdewi

"Alhamdulillah, Siti dan bayinya dalam keadaan baik sahaja. Mereka berdua masih lagi berada di sebuah pusat perubatan, di sini. Doa yang baik-baik untuk Siti sekeluarga," katanya.

Terdahulu, Siti selamat melahirkan bayi berjantina perempuan jam 8.17 pagi tadi, di pusat perubatan di ibu kota.

Difahamkan, bayi berkenaan dipilih untuk dilahirkan pada hari ini bersempena dengan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad selain kemuliaan 1 Rejab dalam kalender Islam.

Siti dan Khalid yang mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 pernah berkongsi rasa sebak pada 1 Disember 2015 apabila penyanyi itu mengalami keguguran bagi kandungan yang baru berusia dua bulan.

Akhirnya, pada 13 Oktober lepas, Siti sekali lagi mendedahkan berita kehamilannya yang membawa kepada kelahiran bayi pada hari ini.

Untuk info, ini merupakan bayi perempuan sulung Khalid yang terlebih dahulu dikurniakan empat anak lelaki hasil perkahwinan pertamanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)