single kedua vida selepas i am me

Kredit foto: budiey.com

Menyusun strategi meningkatkan kualiti nyanyian, jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida bakal mengikuti kelas vokal bersama penyanyi Hazami.

Vida yang meledak dengan single sulung I Am Me, bakal terbit dengan sebuah lagu terbaru bergenre balada.

Justeru pengajian vokal yang bakal diikuti akan menjadi persiapannya menjelang rakaman lagu terbaru itu.

“Saya akui vokal tidak bagus, kalau menyanyi pun pasti ‘ke laut’. Apabila mahu menghasilkan lagu kedua, saya perlukan pembaharuan dan peningkatan dari segi nyanyian.

“Memandangkan single kedua ini berentak balada, saya perlukan kelas vokal kerana mahu menyanyikan nada tinggi mengikut kemampuan diri,” katanya dalam laporan portal Harian Metro.

Vida menambah, setakat ini dia sudah berjumpa dengan Hazami menyatakan hasrat untuk mendalami ilmu vokal.

Namun katanya, bintang Gegar Vaganza musim keempat itu sedang sibuk menjayakan rancangan realiti berkenaan dan meminta sedikit masa.

“Saya yakin lagu ini boleh pergi jauh seperti single pertama. Saya pilih lagu balada kerana minat lagu jiwang atau berentak ala 90-an. Kalau berkaraoke pun, saya pilih rentak ini.

“Kali ini saya bekerjasama dengan komposer lain. Siapa komposer itu, biarlah saya rahsiakan dulu.

“Insya Allah kalau semuanya berjalan lancar, lagu ini bakal dilancarkan tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Vida memuji lagu Abang Nak Tegur, nyanyian rakan seperjuangannya, Datuk Seri Aliff Syukri dan Nur Sajat.

Malah dia memberitahu tidak sabar melihat hasil pembikinan muzik video rasmi lagu berkenaan yang menjalani penggambaran di luar negara.

“Secara peribadi saya suka lagu ini meski mendapat ‘dislike’ tinggi di laman YouTube. Bagi saya, apa saja maklum balas orang ia tetap satu bentuk promosi.

“Sebagai rakan seperjuangan, saya menyokong keputusan mereka merakamkan lagu. Tidak timbul istilah mereka ingin bersaing atau mencabar lagu saya. Setiap lagu ada kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Saya juga tidak sabar melihat hasil muzik video lagu ciptaan Edry KRU itu yang khabarnya menjalani penggambaran di luar negara,” katanya.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)