Dulu masa awal tahun 90-an, pelajar sekolah selalu kena lukis gambar imaginasi masing-masing tentang Wawasan 2020. Ketika itu, ramailah yang gambarkan landasan kereta api tinggi-tinggi, kenderaan boleh terbang dan negara yang sangat futuristik. Mungkin tak lama lagilah kita betul-betul dapat merealisasikan lukisan itu sebab negara jiran kita dah mula nak gunakan kenderaan terbang.

Kementerian Pengangkutan Singapura kini sedang dalam perbincangan untuk memulakan percubaan menawarkan perkhidmatan teksi terbang. Kenderaan futuristik ini akan menjadi pilihan alternatif bagi masyarakat urban di negara itu. Dijangka siap pada tahun 2030, penumpang teksi di Singapura mungkin tidak perlu lagi berhadapan dengan trafik sesak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenderaan yang digunakan bukanlah helikopter, jet ataupun kapal terbang tetapi dron yang boleh membawa penumpang.

Walaupun peningkatan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan data memang sedia ada serta mampu dimiliki oleh pihak kerajaan, namun mereka masih mengalami kekangan dari segi keluasan tanah dan tenaga kerja. Kerajaan berharap mereka mampu mengatasi semua isu sebelum tahun 2030.

Tiga prototaip dron yang boleh membawa penumpang itu telahpun diuji pada sebuah persidangan yang diadakan di Singapura baru-baru ini. Dron Hoversurf Scorpion, Volocopter VC200 dan Ehang 184 mempunyai ciri-ciri tersendiri yang unik.

Hoversurf Scorpion menggabungkan reka bentuk sebuah motosikal standard dengan teknologi dron empat rotor yang membolehkan penunggang mengendalikan dron seolah-olah menunggang motor.

hoversurf scorpion dron teksi terbang singapura

Volocopter VC200 pula merupakan sebuah multikopter dengan 18 rotor dan pendorong elektrik.

volocopter vc200

Akhir sekali, Ehang 184 dron autonomi yang menyerupai sebuah helikopter kecil. Dengan dron ini, penumpang hanya perlu memasukkan koordinat destinasi dalam aplikasi tablet kemudian dron akan bergerak dengan sendiri pada kelajuan 60 batu sejam (96km/j). Anda hanya perlu relaks dan nikmati pemandangan dari langit biru!

ehang 184 dron

Kementerian itu belum lagi membuat keputusan untuk memilih dron manakah yang bakal digunakan.

Tak tahulah sama ada penggunaan kenderaan aerial begini boleh diaplikasikan di Malaysia atau tidak. Kalau kenderaan awam lain pun sering dirosakkan serta disalahgunakan, mungkin lambat lagilah kita boleh gunakan dron sebagai salah satu medium pengangkutan tanah air.

Apalah guna kalau teknologi terlampau canggih tapi mentaliti masyarakat masih di takuk yang lama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)