Kita seharusnya bersyukur di zaman kini kemudahan tandas awam boleh didapati di hampir kesemua tempat. Sekiranya anda dalam perjalanan, bolehlah singgah di kawasan RnR di lebuh raya, stesyen minyak, masjid (bagi yang Muslim) dan sebagainya.
Boleh dikatakan tandas merupakan satu keperluan harian untuk kita membuang air kecil ataupun air besar. Disebabkan itu, sebagai pengguna tandas awam kita mestilah bertimbang rasa dengan menggunakan kemudahan tandas awam dengan sebaiknya dan menjaga kebersihannya agar orang lain boleh menggunakannya selepas itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, tahukah anda terdapat satu jenis fobia yang mungkin dianggap pelik oleh sebahagian besar daripada kita.
Fobia menggunakan tandas awam?
Tempat membuang air kecil di Paris pada tahun 1865
Benar, ada segelintir manusia yang mempunyai fobia atau ketidak selesaan yang teramat sangat untuk menggunakan tandas. Fobia seperti ini digelar Paruresis. Dalam keadaan yang ekstrim, individu tersebut akan hilang keinginan untuk membuang air kerana perasaan takut ini.
Apabila mempunyai keinginan untuk membuang air kecil atau besar, mereka akan merasa risau, tidak selesa dan kadang-kalanya panik. Dalam sesetengah kes yang kritikal pula, keadaan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan dan menghalang mereka untuk menikmati hidup seperti manusia lain apabila berada di luar rumah.
Paruresis walau bagaimanapun diklasifikasikan sebagai masalah ketakutan sosial (social anxiety disorder) yang mungkin dialami oleh lelaki dan wanita yang boleh mengakibatkan seseorang individu itu berasa bimbang akan diri mereka akan dipandang negatif oleh orang sekeliling.
Kebiasaanya, penyebab ketakutan seseorang menggunakan tandas awam ini akan menyebabkan hajat mereka untuk membuang air terhenti sehingga mereka sanggup tahan sehinggalah mereka pulang ke rumah. Punca ketakutan ini mungkin berpunca daripada salah satu cara berfikiran yang berikut:
- Adakah individu lain akan merasa tidak selesa sekiranya mereka mendengar saya sedang membuang air kecil?
- Adakah saya akan dipandang rendah kerana tidak "berupaya" untuk membuang air di tandas awam walhal orang lain tidak mempunyai masalah seperti ini?
- Adakah bunyi pancutan air kencing saya terlalu lemah?
Apabila persoalan-persoalan yang dianggap pelik seperti ini bermain-main di minda seseorang individu tersebut, ianya akan menyebabkan kebimbangan dan panik sehingga menyebabkan individiu tersebut tidak mampu untuk membuang air di tandas awam.
Adakah penyebab kesihatan yang menyebakan fobia jenis ini?
Buat masa ini, komuniti kesihatan tidak dapat mengenalpasti sekiranya terdapat penyebab khusus daripada segi kesihatan seseorang individu yang menyebabkannya memiliki fobia jenis ini.
Dalam kebanyakan kes, Paruresis hanya dialami oleh seseorang individu apabila mereka meningkat dewasa. Keadaan ini mungkin terjadi apabila mereka lebih kerap memikirkan tentang orang sekeliling dan bagaimana diri mereka akan diadili secara negatif oleh orang sekeliling.
Adakah terdapat penyebab yang menjadikan seseorang itu mudah mengalami Paruresis? Ianya mungkin berpunca daripada salah satu faktor atau keadaan berikut:
- Keadaan tandas terlalu ramai orang
- Keadaan tandas yang terlalu terbuka atau kurang privasi
- Seseorang individu itu sedang stress
- Seseorang sedang menunggu giliran di luar tandas
- Anggapan atau persepsi orang lain sedang mendengar apa yang anda sedang lakukan di dalam tandas
Rawatan untuk Paruresis
Seseorang individu yang hanya mempunyai Paruresis dan tidak mempunyai fobia yang lain biasanya akan melalui terapi pendedahan secara beransur-ansur yang ditetapkan sebagai pelan rawatan.
Terapi rawatan jenis ini akan membantu indiviu tersebut belajar perkaitan dan perbezaan antara rangsangan yang dikhuatiri (tandas awam) dan kebimbangan yang melampau yang mereka rasa.
Melalui pendedahan yang berterusan dan berulang-ulang, individu tersebut akan belajar menguruskan kebimbangan yang mereka rasai di tandas awam dan oleh itu lebih mampu mengawal pundi kencing mereka dengan lebih baik dan seterusnya dapat menggunakan tandas tanpa rasa gelisah.
Kredit: