signal vs telegram yang mana lebih bagus

Bermula tahun 2021, Signal dan Telegram berada di atas carta App Store dan Google Play.

Kedua-dua aplikasi ini menjanjikan lebih privasi berbanding WhatsApp, Facebook Mesengger, dan juga SMS.

Namun, terdapat perbezaan yang ketara di antara kedua-dua aplikasi ini dan dengan itu, iluminasi.com kongsikan perbezaan yang anda perlu tahu tentang Signal dan Telegram.

Persamaan Signal dan Telegram

signal atau telegram

Kedua-dua aplikasi ini mengiklankan diri mereka sebagai selamat dan privasi.

Signal dan Telegram juga tidak dimiliki oleh syarikat teknologi gergasi, di mana Signal dimiliki oleh organisasi tidak berkeuntungan manakala Telegram dimiliki oleh syarikat berkuntungan.

Seperti kebanyakan aplikasi serupa, Signal dan Telegram adalah aplikasi sembang dengan semua ciri standard, dari pelekat ke pemindahan foto dan fail hinggalah kepada panggilan suara dan video.

Ia tersedia bagi aplikasi iPhone, iPad dan juga Android, serta percuma di mana anda hanya memerlukan nombor telefon untuk menggunakannya.

Kedua-duanya juga menawarkan aplikasi desktop jadi anda boleh bersembang di komputer Windows, Mac atau sistem Linux.

Signal tawarkan privasi lebih baik dari Telegram

signal tawarkan lebih privasi

Signal dibina dari awal untuk privasi dan ia telah terbukti.

Semua perbualan dan komunikasi lain dalam Signal adalah disulitkan dari hujung ke hujung antara peranti yang mempunyai Signal.

Syarikat yang bertanggungjawab ke atas Signal iaitu Signal Foundation tidak boleh melihat mesej-mesej anda walaupun jika mahu.

Telegram pula menawarkan pilihan penyulitan hujung ke hujung, di mana anda perlu memulakan sembang rahsia atau "Secret Chat".

Untuk Signal, semuanya adalah rahsia dari mula dan sentiasa dalam mod ini.

Kesemua mesej Telegram disulitkan antara anda dan pelayan Telegram, namun syarikat yang bertanggungjawab ke atas aplikasi ini secara teknikalnya boleh melihat mesej anda dalam pelayan jika mereka mahu, melainkan anda menggunakan mod "Secret Chat".

signal foundation

Juga, dalam Telegram, anda tidak boleh menggunakan mod Secret Chat secara berkumpulan, dan hanya boleh bersembang dalam mod ini di antara dua pengguna sahaja.

Tidak seperti Telegram, Signal menawarkan sembang berkumpulan yang disulitkan.

Semua perbualan Signal anda hanya disimpan dalam telefon pintar anda secara default, namun perbualan anda dalam Telegram disimpan dalam pelayan Telegram dan boleh disegerakkan (synchronize) antara peranti anda.

Anda masih boleh menggunakan Signal antara beberapa peranti dan menyegerakkan mesej dari satu peranti ke peranti lain, namun apa yang tidak boleh dilakukan adalah log masuk di web dan melihat semua perbualan anda di sana.

Signal adalah aplikasi sumber terbuka sepenuhnya, di mana kedua-dua kod untuk pelanggan Signal dan kod untuk pelayan Signal boleh didapati di GitHub.

signal lebih baik dari telegram

Kod bagi aplikasi Telegram adalah sumber terbuka tetapi perisian pelayan Telegram bukan sumber terbuka.

Sesetengah penyelidik keselamatan berpendapat bahawa protokol enkripsi Signal lebih baik dan lebih "kalis peluru" daripada protokol penyulitan Telegram, namun ini adalah satu topik yang sangat rumit dan dipertikaikan. 

Seperti yang dinyatakan di atas, Signal dibangunkan oleh Signal Foundation yang merupakan sebuah organisasi tidak berkeuntungan yang diasaskan melalui derma.

Telegram pula dimiliki oleh syarikat berkeuntungan dan mempunyai pelbagai rancangan untuk menjana wang, termasuk tawaran matawang kripto.

Signal juga mempunyai ciri binaan dalaman lain melibatkan privasi, termasuklah kemampuan untuk mengaburkan wajah secara automatik dalam gambar yang anda hantar.

Telegram miliki sesuatu yang tidak ditawarkan Signal

telegram miliki ciri ciri menarik dari signal

Walaupun sangat jelas bahawa Signal mempunyai kelebihan berkenaan dengan privasi, namun Telegram menawarkan pelbagai ciri kemudahan yang tidak dimiliki oleh Signal.

Dalam Telegram, anda boleh mempunyai sehingga 200,000 orang dalam sembang kumpulan, dan Signal hanya membenarkan sehingga 1,000 orang sahaja.

Malah, terdapat perbezaan ketara dari segi pemindahan fail di mana anda boleh memindahkan sehingga 2 GB dalam Telegram, dan hanya 100 MB untuk Signal.

Telegram juga menawarkan cloud message synchronization, di mana anda boleh masuk ke Telegram di web dan meneruskan perbualan anda. 

telegram kurang privasi dari signal

Telegram membenarkan anda menambahkan bot ke dalam perbualan, namun ini bermakna perbualan anda yang ditambah bot mempunyai penyulitan privasi yang kurang.

Signal tidam mempunyai bot yang boleh berinteraksi dengan perbualan, menawarkan lebih privasi tetapi tidak memberikan pilihan untuk menggunakan bot.

Secara keseluruhan, aplikasi Telegram mempunyai paparan antara muka yang lebih bersinar, lebih banyak pek pelekat yang tersedia, pelekat beranimasi dan imej latar belakang untuk perbualan anda.

Sehingga 11 Januari 2021, Signal masih berusaha untuk menambah pelbagai ciri seperti ini.

Signal vs Telegram: Yang mana anda patut pilih?

pilih signal atau telegram

Jika anda sangat mementingkan privasi dalam perbualan anda, maka memang tidak syak lagi anda patut pilih Signal, kerana dibina dari awal untuk menjadi se-privasi yang boleh.

Dan sangat jelas mengapa Signal dilihatkan mengatasi Telegram di carta App Store.

Jika ciri-ciri dalam Telegram menarik bagi anda, sebagai contoh, anda inginkan bot, kumpulan sembang yang besar dan memindahkan fail-fail bersaiz besar, maka Telegram adalah pilihan yang sangat tepat.

Sudah tentu perkhidmatan mana yang anda gunakan adalah sangat bergantung kepada yang mana satu digunakan oleh ramai rakan, keluarga, rakan sekerja dan banyak lagi.

Malah, anda mungkin boleh menggunakan kedua-dua aplikasi ini untuk bersembang dengan orang yang berbeza.

Namun di penghujungnya, kedua-dua aplikasi Signal dan Telegram jauh lebih bagus dari segi privasi berbanding Facebook Messenger dan juga Whatsapp.

Kedua-duanya tidak dihubungkan ke Facebook, seperti mana yang dilakukan pada Whatsapp dan Facebook Messenger.

Pilihan di tangan anda!

Rujukan:

1. Forbes

2. How To Geek

3. NY Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)