Untuk bertahun lamanya, nama YIFY menjadi sinonim dengan aktiviti muat turun media berbentuk filem secara haram.
Menjadi musuh ketat industri hiburan Hollywood, YIFY bermula pada tahun 2010 lantas berkembang menjadi salah satu 'pusat rujukan' mereka yang mahu menonton filem secara percuma. Bagi memenuhi kehendak peminat, YIFY tidak henti-henti memuatnaik filem yang telah dienkodkan pada kualiti terbaik dengan saiz fail yang rendah.
BESARKAN TEKS A- A+
Siapakah individu sebenar di sebalik laman YIFY?
BERTAPAK DI NEW ZEALAND?
Motion Pictures Association of America atau MPAA melakukan laporan berkenaan YIFY ekoran kegiatan mereka memuat naik filem ke internet dengan beberapa nama penerbitan besar menyertai saman tersebut. Siasatan dilakukan sehinggalah pihak penyiasat berjaya menemui pengasas sebenar YIFY yang bertapak di Mount Wellington, New Zealand.
Semua yang terlibat termasuklah pasukan penyiasat dan juga pihak yang melakukan tuntutan cukup terkejut mendapati kegiatan cetak rompak itu dilakukan dari New Zealand. Jangkaan awal mereka YIFY berkemungkinan datang daripada mana-mana negara Eropah Timur ekoran cara operasi itu dijalankan.
Setelah dikenalpasti individu yang terbabit, pihak pendakwa bertindak mengemukakan saman bernilai jutaan ringgi kepada individu tersebut, atas dakwaan mengakibatkan kerugian hak cipta beberapa parti terlibat. Laman web YIFY diperintah untuk dihentikan operasinya semasa proses perbicaraan berlangsung.
Kes itu bagaimanapun diselesaikan di luar mahkamah, dengan beberapa perjanjian berkaitan pertukaran maklumat dipersetujui antara pendakwa dan tertuduh, dengan identiti pemilik YIFY tidak didedahkan oleh MPAA.
KENALI YIFTACH SWERY
Walaupun identiti pemilik YIFY tidak didedahkan secara rasmi, ekoran kewujudan rekod mahkamah yang boleh diperolehi, tidak lama untuk orang ramai mengetahui identiti pihak yang disaman MPAA. YIFY adalah hasil kerja seorang pemuda berusia 23 tahun (ketika ditahan) bernama Yiftach Swery.
Bekerja sebagai seorang pereka web dan aplikasi, Yiftach memulakan YIFY ketika dia masih lagi seorang pelajar dalam jurusan sains komputer di University of Waikato. Dari situ, YIFY berkembang menjadi salah sebuah laman web paling banyak diakses dalam dunia. YIFY pernah mencapai kedudukan tertinggi 584 di antara semua laman web seluruh dunia, menurut statistik laman analisis trafik internet Alexa.
Bertanggungjawab memuat naik hampir 4500 filem secara haram ke internet, Yiftach tidak bersendirian melakukannya pada mulanya. Namun sehingga kini individu-individu lain yang membantu beliau menjalankan kegiatan itu tidak diketahui siapa.
SESI AMA REDDIT
Dalam sesi Ask Me Anything laman Reddit, Yiftach mengakui membina YIFY merupakan satu hobi kepada beliau, kerana YIFY sendiri adalah hasil yang diperolehi daripada latihan pengaturcaraan beliau semasa cuba belajar membangunkan sistem.
Walaupun Yiftach menyedari apa yang dia lakukan adalah satu bentuk jenayah, dia langsung tidak mempunyai niat untuk menyorokkan diri seperti individu lain. Yiftach gemar bercerita tentang laman YIFY pada individu lain yang dikenali dan banyak kali dia serta rakan-rakannya memakai pakaian yang mempromosikan logo dan laman web YIFY secara terbuka di kampus.
Apabila ditahan oleh pihak berkuasa New Zealand, Yiftach menceritakan dia tidak cuba melarikan diri atau melawan. Selepas diarahkan, dia bersetuju untuk menghentikan kegiatan yang dilakukan secara sukarela, tanpa perlu dipaksa.
OPERASI YIFY ADALAH OPERASI GLOBAL
Yiftach memberitahu pada mulanya pasukan YIFY mempunyai 8 orang individu lain yang membantunya menukarkan format video pada kualiti yang mereka jadikan standard. Malangnya dia tidak pernah berkesempatan bertemu mana-mana individu tersebut. Semua operasi dilakukan secara atas talian sahaja.
Bagi mempercepatkan kerja, Yiftach membangunkan satu program yang dinamakan OTTO, sebuah bot yang berfungsi menggantikan mereka dalam membuat semua kerja yang dilakukan secara manual sebelum itu, dengan proses automasi. OTTO bertindak untuk mencari fail digital yang mengandungi filem dan menukar formatnya kepada format YIFY. OTTO jugalah yang akan memuat naik video tersebut kepada semua laman torrent yang ada secara automatik.
Jumlah pelawat laman YIFY satu hari adalah sekitar 8 juta orang namun tidak banyak pendapatan dapat dijana daripada aktiviti itu. Bagi Yiftach, dia tidak kecewa terlepas peluang membuat pendapatan, kerana semua itu hanya hobi pada beliau - lagipun OTTO yang menjalankan tugas sepenuhnya.
YIFTACH ADALAH ROBIN HOOD ZAMAN DIGITAL
Bagi sesetengah pihak, apa yang dilakukan oleh Yiftach merupakan satu tindakan yang disokong mereka. Kegiatan Yiftach memuatnaik semula filem-filem yang mendapat sambutan orang ramai dilihat agak mirip dengan apa yang dilakukan legenda Robin Hood, mencuri daripada mereka yang kaya dan memberikannya kepada yang miskin atau berkemungkinan besar, tak mahu keluar duit sendiri.
Tahukah anda apa persamaaan paling besar Robin Hood dengan Yiftach? Kedua-duanya handal memanah.
Pada tahun 2008, Yiftach pernah memegang rekod dunia acara memanah 70 meter kategori remaja. Yiftach telah pun dianugerahkan anugerah 'FITA in Cadet's Men Compund 70m' berikutan kejayaannya mencipta rekod tersebut dalam kejohanan Trans Tasman Trophy Event. Rekod Yiftach akhirnya dipecahkan oleh seorang pemanah dari Belanda bernama Mike Schloesser pada tahun 2011.
Kemahiran Yiftach sebagai pemanah tidak dinafikan sehingga membolehkan dia terpilih mewakili New Zealand dalam acara memanah dan beberapa kali bertanding dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.
Apa yang lebih membanggakan, selepas semua kontroversi ini selesai, dalam mesyuarat agung Persatuan Memanah New Zealand tahun 2017, Yiftach telah pun secara sukarela bersetuju untuk mengambil alih tempat sebagai pengendali laman web rasmi Archery New Zealand bagi menggantikan pengendali lama yang bersara. Harapan kami agar Yiftach tidaklah menyalah gunakan laman web tersebut untuk tujuan lain.
Laman asal YIFY sudah pun terkubur dan Yiftach sendiri sudah cuci tangan daripada terlibat dalam aktiviti cetak rompak ini. Walaupun begitu, legasi YIFY tetap diteruskan dengan penjenamaan semula YIFY kepada beberapa nama lain menggunakan beberapa alamat baru.
Torrents won't die, kata pengikut setia YIFY.
Rujukan