Oleh pada 15 Jan 2023 kategori

Kita melihat perbuatan menaiki eskalator, sebagai satu perbuatan biasa.

Dengan eskalator, orang ramai tidak lagi perlu mengharungi anak tangga untuk turun atau naik ke tingkat-tingkat lain dalam sebuah bangunan. Keperluan untuk sesebuah bangunan tinggi khususnya kompleks besar mempunyai kemudahan eskalator sudah menjadi satu kemestian.

Dengan kemudahan yang dianggap norma, majoriti pengguna sudah ambil mudah dalam menggunakan tangga bergerak yang dipasang.

Video-video tular memaparkan kemalanganmelibatkan individu malang, sering dikongsi - membuatkan semakin ramai tertanya sendiri; apakah tahap keselamatan eskalator yang kita naiki? Berapa selamat eskalator sebenarnya?

Ini persoalan yang akan kita bincang dalam artikel ini.

Idea terawal tangga bergerak 

escalator ames revolving stair patent

Tahukah anda eskalator sebenarnya bermula sebagai sebuah permainan yang boleh dimainkan di taman tema? Kisahnya bermula di Amerika Syarikat.

Nathan Ames pada tahun 1859 telah mematenkan sebuah rekaan eskalator pertama di dunia. Kertas paten itu menggambarkan idea bagaimana sebuah tangga yang boleh diputar dan digerak menggunakan motor mampu mengangkut manusia naik dan turun dengan mudah. 

Walau bagaimanapun idea itu kekal hanya dalam bentuk idea. Tidak ada prototaip atau rekaan fizikal berjaya dibangunkan.

Seorang jurutera bernama Jesse Wilford Reno anak kelahiran Kansas yang cukup meminati bidang kejuruteraan dan penciptaan, berjaya membangunkan apa yang dikenali sebagai 'lif condong' atau 'inclined elevator', sebuah tangga bergerak pada sudut 25 darjah kecondongan dipatenkan pada tahun 1892.

Dengan menggunakan rekaan tali pemacu berasaskan getah menggerakkan anak tangga diperbuat daripada besi, kedua-dua bahagian sisinya ada dipasangkan pemegang yang membantu individu menstabilkan diri semasa 'diangkat' naik ke atas. 

Terpaksa bermula sebagai permainan taman tema

jesse reno inclined elevator

Walaupun sudah siap, usaha Reno memperkenalkan rekaannya untuk dipasang di dalam stesen keretapi bawah tanah New York bagi mengangkut orang ramai naik, ditolak pihak kerajaan tempatan.

Kekangan ini memaksa Reno memasang ciptaannya di sebuah taman tema yang dibuka di Old Iron Pier, Coney Island. Lif condong mula menjadi tarikan mereka yang berani, sehingga dianggarkan lebih 75,000 orang telah menaikinya.

Melihat kejayaan itu, kerajaan tempatan New York mula dapat melihat potensi yang ada pada rekaan itu untuk memudahkan orang ramai bergerak secara tersusun tanpa menghabiskan tenaga.

Syarikat milik Reno dibeli oleh syarikat OTIS, yang pada ketika itu sudah terkenal dengan peralatan lif. Bagi menjenamakan ciptaan Reno secara komersial, OTIS memperkenalkan terma 'escalator', hasil gabungan perkataan elevator yang digunakan Reno digabungkan dengan istilah scala, diambil daripada bahasa Latin yang bermakna anak tangga.

OTIS juga mendapatkan paten yang telah dibangunkan bukan saja oleh Reno bahkan paten Ames yang dibuat jauh lebih awal, menjadikan syarikat tersebut satu-satunya pemegang tunggal paten eskalator, bebas melesenkan rekaan tersebut untuk jualan komersial. 

Ciri keselamatan yang semakin baik dalam rekaan sama 

bahagian dalaman sebuah eskalator

Tidak dapat penulis nafikan ciri-ciri keselamatan yang ada pada model eskalator moden sudah pastilah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan eskalator terawal yang dibangunkan.

Tetapi dengan terlalu banyak pemasangan eskalator dilakukan, risiko berlakunya kemalangan juga menjadi semakin tinggi. 

Ini menyumbang kepada kes kecederaan pengguna eskalator yang semakin kerap dilaporkan, khususnya di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat yang mula-mula sekali meanfaatkan teknologi ini ke dalam rekaan bangunan mereka selepas kes kemalangan pertama eskalator direkodkan di London dalam tahun 1969. 

Statistik di benua itu juga menampakkan peningkatan ketara; pada tahun sama kejadian di London, 10 kes kecederaan dilapor. 10 tahun kemudian, angka itu meningkat sekali ganda.

Jumlah terbesar kes kemalangan melibatkan pengguna eskalator adalah yang dipasang di stesen pengangkutan awam dengan pengguna di kompleks beli belah duduk di tempat kedua. Angka ini  jika diselidik, menampakkan pola peningkatan konsisten seiring dengan penggunaan eskalator yang sudah menjadi rutin kita semua.

Apa yang memburukkan keadaan, jumlah kes kemalangan melibatkan eskalator disebabkan kegagalan penyelenggaraan tahap optimum keselamatan eskalator juga menunjukkan peningkatan.

Semuanya berpunca daripada satu punca utama - kekurangan tenaga mahir dalam menyelia peralatan yang ada.

Jika kita lihat di negara kita, statistik pemasangan eskalator serta lif dianggarkan sekitar 65,093 unit lif dan 12,923 eskalator yang telah siap dipasang di seluruh negara kita, berdaftar pada tahun 2018.

Jumlah juruteknik bertauliah yang benar-benar berkemahiran menyelenggara lif dan eskalator kita pula, hanya ada 371 orang kesemuanya. 

Kanak-kanak dan wanita usia emas mangsa kebanyakan kemalangan eskalator

kanak kanak terjerat dalam anak tangga eskalator

Kajian yang mendalam berkenaan risiko penggunaan eskalator biasanya berfokus kepada individu kanak-kanak. Walaupun membantu, tidak dapat memberikan gambaran penuh tentang risiko sebenar yang ada.

Setiap tahun di Amerika Syarikat ada lebih 2,000 orang individu bawah usia 12 tahun cedera kerana eskalator, majoritinya adalah mereka yang berumur 6 tahun ke bawah. Di Malaysia, 97% daripada 31 kes kemalangan eskalator dalam tahun 2011 sehingga 2016 juga melibatkan kanak-kanak. 

Oleh kerana itulah satu kajian di Switzerland berdasarkan data kemalangan berkait eskalator, berjaya membuka mata orang ramai untuk lebih memahami risiko sebenar penggunaan eskalator di kalangan masyarakat biasa khususnya golongan dewasa.

Berdasarkan data selama 11 tahun daripada unit trauma Bern University Hospital, mereka berjaya mengenalpasti kumpulan paling berisiko tinggi dalam penggunaan eskalator di kalangan orang dewasa adalah individu wanita berusia 65 tahun ke atas.

Jenis kemalangan jatuh atau tergelincir menjadi punca utama insiden biasanya berlaku merangkumi 77% daripada kesemua kes.

Apa yang sedikit menggusarkan penulis, 11% daripada kes yang diselidik berpunca daripada kecuaian pihak lain yang mungkin tidak sengaja tertolak atau tersiku individu yang sedang sama menaiki eskalator bersama mereka.

Bagi kanak-kanak - risikonya jauh lebih tinggi. Tetapi boleh dielak, sekiranya kita lebih peka. Dalam kajian Universiti Putra Malaysia melibatkan 258 kes kemalangan eskalator mangsa kanak-kanak di negara kita, ada satu punca utama majoriti insiden berlaku.

Majoriti kemalangan terjadi adalah disebabkan sikap ingin tahu kanak-kanak yang mahu memegang, menyentuh dan bermain dengan peralatan eskalator semasa menggunakannya - berpunca daripada kegagalan ibu bapa mengawasi anak-anak mereka. 

Majoriti kes merekodkan sikap ibu bapa atau penjaga yang acuh tak acuh, leka menatap telefon pintar semasa menaiki eskalator sehingga gagal memantau kelakuan anak dan akhirnya membawa padah kepada jagaan sendiri.

Salah penyelenggaraan atau sikap masyarakat? 

mangsa kemalangan eskalator

Apabila berlakunya kemalangan berkait eskalator yang meragut nyawa tidak berdosa, kita mula menuding jari mencari pihak untuk dipertanggungjawabkan sebagai punca insiden. 

Realitinya tidaklah semudah kesimpulan sedemikian.

Ada banyak faktor yang perlu diambil kira dalam memahami isu dan masalah berkait eskalator ini. Seperti yang kami sudah nyatakan di atas, negara kita memang mengalami kekurangan tenaga kerja bertauliah yang mampu menyelenggara eskalator dengan baik, memungkinkan berlakunya situasi eskalator gagal diselenggara sempurna.

Bagaimanapun majoriti kemalangan yang berlaku membuktikan kecuaian pengguna adalah punca kenapa kemalangan ngeri boleh berlaku terhadap seorang pengguna eskalator.

Ibu bapa seharusnya bukan saja peka bahkan tegas mengawasi perilaku anak semasa mereka menggunakan eskalator, kerana statistik telah membuktikan 1/3 kes yang ada melibatkan kanak-kanak berpunca daripada kelekaan penjaga. Kaum wanita yang berusia juga seharusnya sedar risiko tinggi tatkala menggunakan eskalator.

Kami tidak menemui penjelasan kenapa wanita berumur lebih berisiko untuk jatuh berbanding lelaki, melainkan golongan wanita mudah hilang imbangan diri ketika di atas eskalator.

Walaupun angka kematian berkait penggunaan eskalator rendah, tahap kecederaan kekal yang boleh berlaku pada seseorang sebenarnya sangat tinggi. 

Untuk itu saranan penulis, kita sebagai masyarakat seharusnya tidak memandang eskalator sebagai satu perkara ringan yang akan kita guna setiap hari, sebaliknya mula mengamalkan sikap lebih cakna dan waspada tatkala menaiki atau menuruni eskalator - sama seperti ketika kita sedang mengendali sebuah mesin atau kenderaan. 

Populariti penggunaannya telah mengakibatkan ramai di antara kita memandang ringan tahap keselamatan diri dan keluarga semasa menaikinya, tetapi kita harus sedar menaiki eskalator bukanlah satu perkara suka-suka; walaupun eskalator bermula sebagai sebuah permainan taman tema.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)