Kredit foto: Beautifulnara
Fathia Latiff merupakan antara selebriti yang paling hangat diperkatakan pada tahun lalu kerana lambakan kontroversi yang mengheret namanya.
Dari kisah kelantangannya bersuara di Twitter, isu menari seksi di Bigo Live sehinggalah masalah disiplin yang ditimbulkan di lokasi penggambaran - ia bagai siri sensasi yang mencemarkan reputasi aktres kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang ini.
Begitupun, Fathia, 30, nekad bangkit tanpa menunggu lama demi membetulkan kekusutan konflik yang timbul.
Malah, kata Fathia, dia kini berhasrat meredakan masalah individu lain khususnya mereka yang berputus asa dalam hidup.
"Saya bukanlah nak tunjuk pandai atau cuba jadi hero. Tapi selepas apa yang saya lalui, saya pasti, orang di luar sana juga ada yang sedang melalui saat sukar masing-masing.
"Secara tidak langsung saya terpanggil untuk membantu mereka semampu mana yang boleh," katanya memetik laporan Sinar Harian.
Dalam pada itu, Fathia berkata, apa yang dilaluinya sebelum ini juga membawa beliau untuk lebih mendekati agama.
"Saya bukan cuba nak jadi alim. Dekatkan diri dengan agama maksud saya untuk lebih memahami agama, korek lagi mengenai agama dan kehidupan.
"Dulu saya selalu sibuk dengan lakonan dan bila berhijrah pun saya belum pergi cukup dalam lagi untuk memahami agama.
"Jadi sekarang masanya. Saya harap terus istiqamah dengan apa yang saya lakukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fathia akui hubungannya dengan keluarga juga bertambah baik.
Sumber berita: Sinar Harian