jean jacques savin

Bagi sesetengah orang, mereka lebih suka untuk menikmati persaraan dengan berehat di rumah, melancong atau melakukan aktiviti ringan bersama rakan-rakan. Bagi seorang pesara juruterbang dan pasukan payung terjun tentera Perancis yang berumur 72 tahun, Jean-Jacques Savin, dia inginkan sesuatu yang lebih mencabar.

Untuk memenuhi sifat dan keinginannya untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, dia telah membina sebuah tong gergasi dan bersumpah bahawa dia akan menggunakannya untuk menyeberangi Lautan Atlantik.

Menurut majalah Popular Mechanics, perjalanan bersejarah itu telah diilhamkan oleh rakan senegara Savin iaitu Alain Bombard. Pada tahun 1952, Bombard pernah merentasi Lautan Atlantik secara persendirian dengan hanya menggunakan bot penyelamat. Namun, pengalaman mereka berdua adalah berbeza sama sekali.

alain bombard

Alain Bombard. Credit : goodreads

Ini kerana Bombard mengembara menggunakan penyelamat yang kecil, tidak berbumbung, tiada dapur atau katil. Dia hanya makan apa sahaja ikan mentah yang berjaya ditangkapnya dalam perjalanan yang memakan masa 65 hari itu.

Sementara itu, perjalanan Savin pula agak selesa. Dia membawa beberapa makanan penting dan juga makanan kegemarannya seperti foie gras. Selain itu dia juga membawa sebotol wain putih Sauternes untuk menyambut tahun baru dan sebotol wain merah Saint-Emilion untuk merayakan ulang tahun ke-72 pada bulan Januari.

Tong gergasi yang dibina Savin berukuran 10 kaki panjang dan tujuh kaki lebar. Ia dibina secara tradisional menggunakan papan lapis bersalut resin oleh dua pembuat tong Perancis.

bot tong savin

Credit : washingtonpost

Bahagian luar tong itu dihiasi dengan pelekat logo syarikat dan organisasi yang membantu dan menaja Savin dalam mempersiapkan perjalanannya yang panjang dan berbahaya itu.

Perjalanan yang pertama seumpama ini akhirnya bermula pada 26 Disember 2018. Perjalanan Savin dan tong gergasinya itu bermula di Kepulauan Canary, di luar pantai Afrika menuju ke arah kepulauan Caribbean.

Savin ketika ditemuramah Agence France-Presse melalui telefon memberitahu, cuaca sangat bagus. Tong yang dinaikinya itu tenggelam kira-kira sedalam satu meter dan bergerak dalam kelajuan 2 atau 3 km sejam.

dalam bot tong savin

Hiasan dalaman tong Savin. Credit : usatoday

Walaupun bahagian luar tong itu tidaklah kelihatan begitu menarik tetapi berlainan pula dengan keadaan di dalamnya. Hiasan dalaman tong itu kelihatan seperti sebuah bilik kecil yang dicat dengan warna merah dan putih. Ia mempunyai sebuah katil kecil, dapur dan ruangan simpanan yang ringkas.

Sebuah lubang cermin yang berada di lantai tong itu membolehkan Savin melihat ikan dalam laut semasa melakukan perjalannya. Ia menjadi hiburan ketika dia bosan dan juga sumber makanannya. Dia akan menangkap ikan melalui lubang itu dan makan bersama-sama makanan kering yang dibawanya.

Kebimbangan utama Savin adalah untuk membina sebuah tong atau 'kapal' yang mampu menahan serangan paus pembunuh. Nasibnya agak baik kerana selama 128 hari berada di lautan, segalanya berjalan dengan lancar kecuali beberapa malam tidurnya terganggu disebabkan ombak kuat yang memukul tongnya itu dari luar.

jean jacques savin 2

Jean-Jacques Savin. Credit : nytimes

Walaupun perjalanan yang dilakukan Savin itu adalah sesuatu usaha yang berani, tetapi ia bukanlah semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri sahaja. 

Savin telah menurunkan penanda di sepanjang perjalanannya dalam usaha untuk membantu organisasi penyelidikan marin antarabangsa JCOMMOPS melakukan penyelidikan mereka berkaitan arus laut.

Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan Savin, mereka boleh menjejaki lokasinya secara dalam talian. Selain itu, mereka juga boleh mengikuti perkembangan lelaki itu melalui muat naik Facebook miliknya.

savin

Pada hari ke-120 pelayarannya, Savin mendedahkan melalui Facebook bahawa dia menyimpan beberapa kulit ikan untuk dijahit dan dijadikan sarung telefon pintarnya.

Savin akhirnya berjaya melengkapkan perjalanan yang sukar itu pada 6 Mei, sebulan melebihi tarikh yang dijangkakan. Dia berharap dapat mendarat di sebuah pulau yang penuh dengan sejarah Perancis tetapi sebaliknya dihanyutkan sehingga ke Pulau St. Eustatius milik Belanda.

Salah seorang penduduk tempatan pulau itu memberitahu CNN bahawa dia dan penduduk lain begitu terpesona dengan perjalanan dan teknologi yang digunakan oleh Savin.

savin 2

Walaupun dia telah berjaya menghabiskan perjalanan 3,125 batu nautika merentasi Lautan Atlantik, Savin masih lagi belum selesai dengan eksperimennya. Dia bercadang untuk melakukan pemeriksaan perubatan ke atas dirinya supaya penyelidik dapat mengkaji kesan berada dalam pengasingan tertutup untuk waktu tertentu di lautan.

Selain itu dia juga ingin menguji salah satu botol wain Bordeaux yang tidak dibukanya selama berada di laut dengan wain yang sama disimpan di darat. Dia ingin mengetahui adakah wain yang dibawa selama berbulan-bulan di laut berubah rasanya daripada asli.



Hakcipta iluminasi.com (2017)