Seorang warga emas dari Amerika Syarikat telah berjaya menjana pendapatan sebanyak USD400,000 (RM1.74 juta) hanya dengan mengitar semula surat khabar dan majalah selama 32 tahun.

johnny jennings datuk kitar semula

Johnny Jennings memulakan amalan kitar semulanya hanya untuk mendidik anak lelakinya yang masih kecil, Brent Jennings, tentang tabiat kewangan yang baik. Ketika itu, pasangan anak dan ayah ini mula mengumpulkan surat khabar dan tin kosong untuk dijual dan hasil jualan dimasukkan terus ke dalam akaun simpanan.

Menurut Brent, mereka meneruskan amalan itu sehinggalah beliau menjangkau usia 17 tahun. Beberapa tahun selepas itu, wang simpanan hasil kitar semula telahpun cukup untuk membiayai bayaran muka rumah pertama Brent pada tahun 1985.

johnny jennings bersama salah seorang sukarelawan

Walaupun Brent telah dewasa dan kini mempunyai keluarga sendiri, ayahnya tidak pernah berhenti mengitar semula. Kesemua jiran tetangga juga turut membantu Johnny dengan menghantar buku, makanan, pakaian dan pelbagai barangan terpakai ke rumah Johnny.

Setiap hari, rutin Johnny adalah mengumpulkan surat khabar dari peniaga-peniaga tempatan dan gereja kemudian menghantarnya ke pusat kitar semula. Sehingga kini, dianggarkan Johnny telah menjual sebanyak 4 juta kilogram surat khabar keseluruhannya. Berikut laporan yang disimpan oleh Johnny bagi tahun 2016 sahaja:

Surat khabar : 182,017 kg (201 tan)

Tin aluminium: 51,565 tin

Wang terkumpul: USD 32,040 (RM139,325)

Johnny memilih untuk mendermakan kesemua wang terkumpulnya ke arah kebajikan. Setiap sen hasil jualan disalurkan ke Rumah Kanak-kanak dan Keluarga Georgia yang membantu kanak-kanak bermasalah dan hidup susah. Johnny memilih untuk membantu rumah kanak-kanak itu kerana beliau pernah berhadapan dengan kisah menyayat hati di situ ketika beliau berumur 18 tahun.

johnny jennings memenuhkan trak dengan barang terpakai

Ketika Johnny melawat rumah anak yatim itu, tiga orang budak lelaki tiba-tiba telah memeluk kaki Johnny sambil memintanya untuk menjadi 'ayah' mereka. Sejak itu, Johnny merasakan ia telah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan pakaian, makanan dan apa sahaja yang mereka perlukan di situ.

Setiap tahun, Johnny akan menghantar sekeping cek kepada rumah anak yatim itu. Cek-cek yang telah dihantar bernilai dari USD10,000 sehinggalah USD35,000.

Brent amat berbangga mempunyai ayah seperti Johnny. Johnny bukan sahaja merupakan ayahnya, malah beliau juga ayah kepada ribuan kanak-kanak lain di Georgia.

johnny menyerahkan cek kepada rumah kanak kanak itu

Warga emas itu kini masih aktif mengitar semula sambil menderma. Walaupun baru-baru ini beliau mengalami strok kecil sebanyak dua kali, ia masih tidak mematahkan semangat beliau untuk mengitar semula. Beliau masih meneruskan aktiviti sejurus sahaja pulang dari hospital.

Johnny berharap kesihatannya sentiasa baik agar beliau masih boleh meneruskan membuat amal sehingga ke akhir nyawa. Menurut beliau, masa dan wang adalah tidak penting, apa yang paling penting menurut Johnny,  "Jika anda ada sesuatu untuk diberi, berikanlah saja pada mereka yang lebih memerlukan."

Rujukan:

1. CNN

2. ABC News

3. Little Things


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)