Oleh pada 22 Sep 2021 kategori

Cabaran bisnes menanti 12 peserta Pencarian Nona Superwoman yang akan ke udara mulai 22 September 2021, setiap hari Rabu, pukul 9 malam di saluran Astro Prima.

Ia adalah kerjasama strategik antara pihak Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Astro Prima selaku penganjur bersama dan penyiar rasmi.

Rancangan realiti ini mencungkil potensi golongan usahawan wanita terutama dalam kalangan kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Daripada 250 calon yang menjayakan sesi uji bakat dalam talian pada Mei lalu, hanya 12 finalis dipilih bertarung pada musim pertama ini.

Mereka bakal diadili secara sepenuhnya oleh juri profesional. Dua juri tetap yang terlibat ialah selebriti berpengalaman, Awal Ashaari dan Ketua Pengarah Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Hasan.

Manakala beberapa personaliti popular juga dijemput setiap minggu bagi mengisi kerusi juri undangan.

Kriteria utama penilaian merangkumi elemen keyakinan diri, kebijaksanaan, keluasan pengetahuan am, kreativiti, personaliti dan karisma yang menarik.

Lapan siri episod menggunakan khidmat pengacaraan Uyaina Arshad sebagai hos program.

Juara bakal menerima ganjaran wang tunai RM30,000 berserta trofi, kedudukan kedua dan ketiga pula meraih wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Strim program ini di aplikasi Astro Go dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Biodata 12 Finalis / Peserta Pencarian Nona Superwoman 2021 (Musim 1)

1. Ana Najia

Ana, 26 tahun, Perak

ana najia

Ana Najia Sharin yang berasal dari Perak merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya yang kini mengusahakan bisnes, Halwa by Ana Najia.

Sudah berkahwin, beliau pernah menjadi peserta program pertukaran pelajar ke USA pada tahun 2013.

Hampir terpilih sebagai pembaca berita di sebuah stesen TV terkenal, namun rezekinya yang mempunyai tiga adik beradik ini tertulis untuk membuka sebuah baking studio di Taiping dan kini fokus menjalankan perniagaan kek premium.

2. Ayu Omar

Ayu Omar, 28 tahun, Kuala Lumpur

ayu omar

Berumur 28 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, kerjaya beliau sebagai usahawan bakeri bermula selepas kontraknya sebagai pramugari ditamatkan akibat pandemik Covid-19.

Kini mengusahakan bisnes Bella The Bakers secara sepenuh masa, ibu tunggal kepada seorang anak lelaki ini pernah diduga apabila kedua ibu bapanya dijemput Ilahi pada waktu yang singkat. Bapanya meninggal dunia pada bulan Mac 2015, iaitu kira-kira 56 hari selepas ibunya 'pergi'.

3. Sarah Ismail

Sarah Ismail, 34 tahun, Kuala Lumpur

sarah ismail

Maisarah binti Ismail atau Sarah, 34 tahun merupakan seorang guru vokal dan underground singer yang berkelulusan Diploma, Degree dan Master Degree in Music dari Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Membuka perniagaan kelas vokal selama 7 tahun, beliau bercita-cita ingin mempunyai sebuah akademi vokal di masa mendatang.

4. Nurul Syamimi / Sya

Sya, 32 tahun, Kelantan

nurul syamimi

Berkelulusan Diploma dalam jurusan Komunikasi dan Media, Nurul Syamimi Mohd Fauzi yang berumur 32 tahun merupakan seorang usahawan makanan laut kering.

Perniagaan dari tahun 2013 itu memasarkan makanan laut seperti ikan bilis, kerang kering dan ikan kering.

Anak jati Kelantan ini berkahwin di usia 19 tahun, dengan kekasihnya yang merupakan seorang pegawai tentera. Perkongsian hidup mereka dikurniakan empat orang anak.

Pernah berkhidmat sebagai model dan juruacara, minatnya berkembang dalam bidang bisnes rentetan arwah ibunya pernah mempunyai sebuah kedai pakaian Muslimah suatu masa dahulu.

5. Emma Bee

Emma, 37 tahun, Selangor

emma bee

Pemilik nama penuh Nurbasma binti Khalid ini berasal dari Selangor dan merupakan pengasas produk Jamu Diva daripada syarikatnya sendiri, Jaan Dhuha Empire.

Pemegang Diploma in Business Admin di KLIUC ini mempunyai banyak pengalaman selepas tamat pengajian, antaranya pernah bergelar pramugari di Malaysia Airlines System (MAS) dan Ketua Pramugari di AirAsia Berhad selama 10 tahun.

Dia kemudian memulakan perniagaan nasi lemak, diikuti Kedai Nasi Lemak Bonda, juga pernah menjadi ejen/stokis dan jurucakap produk yang tampil di beberapa rancangan stesen TV.

6. Jiejie

Jiejie, 26 tahun, Sabah

jiejie

Sumandak Sabah berumur 26 tahun yang diberi nama Fauziah Abu Samat atau nama komersialnya, Jiejie ini merupakan pengusaha produk penjagaan wajah jenama Fofaskinn.

Hanya berkelulusan SPM, wanita ini seorang yang berjiwa besar dan mempunyai keluarga yang berlatarbelakangkan dunia bisnes, seperti bapanya yang mempunyai syarikat sendiri, dan ibunya yang pernah membuka perniagaan butik kain dan restoran.

Antara kenangannya dalam bidang bisnes termasuk membantu ibunya menjual kuih sewaktu sekolah rendah, di samping membuka kedai tudung yang bagaimanapun telah menempuh kegagalan.

7. Linda Roos

Linda Roos, 36 tahun, Kuala Lumpur

linda roos

Linda Roos atau nama sebenarnya Noor Fazlinda Roos Affandey merupakan bekas penuntut Universiti Multimedia dalam bidang Creative Multimedia & Media Innovation.

Berusia 36 tahun, anak keempat daripada lima adik beradik yang kini ibu kepada tiga orang anak ini mengemudikan bisnes rekaan hiasan dinding.

Bapanya mengendalikan bisnes pembangunan projek perumahan Ampang Indah, manakala ibunya mempunyai perniagaan hiasan dalaman.

Beliau berjinak-jinak dalam dunia niaga sejak zaman sekolah yang mana pernah menjual poster kartun Sailormoon dan Dragon Ball hasil air tangannya sendiri menerusi bakat semulajadi dalam bidang lukisan.

Kini syarikat Linda menyediakan perkhidmatan Frame Design hasil pengalamannya selama 10 tahun dalam lapangan bisnes.

8. Fazs Faozi

Fazsfaozi, 35 tahun, Perak

fazs faozi

Norfazlina Mohd Faozi yang berumur 35 tahun merupakan pengasas produk kosmetik Fazsbeauty.

Dilahirkan di Tapah, Perak, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri yang mesra disapa Fazs Faozi ini pernah bekerja sebagai Pegawai Bank sejurus tamat pengajian, namun melepaskan gaji lumayan daripada kerjaya itu demi mengejar cita-cita dalam bidang kecantikan.

Bermula sebagai jurusolek, ibu kepada dua anak yang berasal dari Selangor ini kemudiannya melahirkan produknya sendiri yang kini merangkumi kira-kira 6 jenis produk solekan dan penjagaan kulit.

9. Syu Ramli

Syu Ramli, 33 tahun, Melaka

syu ramli

Nor Syuhada Ramli atau Syu Ramli kelahiran Melaka mula menghasilkan jenama Wow Sambel selepas suaminya yang merupakan juruterbang, mendapat cuti tanpa gaji berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Bekas ahli kimia lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Ijazah Sarjana Muda Kimia Gunaan ini wajar berbangga kerana jenama Wow Sambel yang dikeluarkannya sudah mempunyai lima jenis produk dalam masa setahun.

10. Fazlia Akma

Fazlia Akma, 37 tahun, Kuala Lumpur

fazlia akma

Fazliatul Akmar binti Zainudin atau juga dikenali sebagai Fazlia Akma yang berumur 37 tahun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan.

Dengan hanya berbekalkan pengalaman dalam dunia pemasaran dan jualan, dia menempa kejayaan dalam masa yang singkat menerusi produk pencuci hijab yang empat tahun lalu kurang mendapat perhatian masyarakat.

11. Rina Hashim

Rina, 35 tahun, Kelantan

rina hashim

Nurina binti Hashim, 35 tahun, merupakan pengasas produk Makeydaps yang bermula dengan akaun bank yang kosong dan hutang keliling pinggang.

Namun dengan hanya modal puluhan ringgit, dia memulakan bisnes chicken chop berdekatan kawasan sekolah di kawasan perumahannya.

Jualan ayam dan kambing perapnya menjadi tular dan buah mulut orang ramai kerana bukan sahaja harga yang murah, malah kesedapan yang tidak dapat disangkal hingga laris tatkala pandemik melanda negara.

12. Ayda

Ayda, 30 tahun, Kelantan

ayda

Nur Aida Nazili Norazlan yang dipanggil Ayda merupakan ibu kepada tiga orang anak.

Berumur 30 tahun, dia yang berasal dari Kelantan ini pernah terlibat dengan bisnes makanan iaitu menjual nasi lemak di tepi jalan, selain menjual sushi, namun kedua-duanya berakhir dengan kegagalan.

Pada satu ketika dia dan suami tidak mampu membayar sewa rumah hingga terpaksa meminjam wang daripada ibunya untuk menyelesaikan hutang.

Hanya selepas terlibat dalam bisnes inai secara online, dalam masa tiga bulan perniagaannya berkembang bersama 32 agen di seluruh Malaysia.

Beliau kini mengusahakan dua rangkaian bisnes iaitu Beautsahara (inai) dan Nutellabanana (makanan).

nona superwoman 2021

Kredit foto: Instagram Majalah Nona

Sumber:

1. Majalah Nona

2. Pencarian Nona Superwoman Cungkil Potensi Usahawan Wanita

3. Fenomena Wanita Besi, Program Pencarian Nona Superwoman Bakal Perkasakan Usahawan Wanita, Cetus Inspirasi!




Hakcipta iluminasi.com (2017)