Oleh pada 19 Nov 2019 kategori

Dengan sentimen negatif seringkali disebutkan terhadap negara China, tempiasnya sudah pastilah akan terkena serba sedikit pada orang-orang Cina; walaupun secara rasminya mereka tidak lagi ada kaitan dengan negara gergasi tersebut.

Sejarah masyarakat China sudah menunjukkan tamadun orang China telah melalui naik turun yang sangat panjang - pernah menjadi pusat kegiatan ekonomi dunia dan juga pernah dijajah serta ditakluki. Kebangkitan semula kerajaan China sebagai kuasa besar dunia menyemarakkan kembali istilah yang dinamakan sebagai 'sinocentrism' atau sinosentrik - yang menjadi istilah popular apabila bercakap tentang orang Cina dan negara China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain istilah tersebut, ada satu lagi istilah yang sebenarnya semakin kerap diperkatakan terutamanya di China dan di kalangan cendekiawan barat, yang semakin gusar dengan visi dan pengaruh China pada dunia. Konsep 'tianxia' yang pupus lebih 200 tahun lamanya dilihat seakan cuba dibangkitkan semula. Apa itu tianxia?

Kebangkitan semula dasar sinosentrik

china mahu gantikan amerika syarikat

Dalam abad ke 21, kita tak dapat lagi menafikan kejayaan negara China bangun menjadi salah satu gergasi ekonomi dunia yang mempunyai pengaruh merangkumi keseluruhan negara yang ada. Dengan menggunakan tema 'kebangkitan yang aman' ditambah dengan konsep 'dunia harmoni,' China dilihat cuba mengambil hati masyarakat luar dalam usaha meletakkan diri mereka sebagai alternatif baru kepada orde dunia yang biasa kita dengar.

Sesuatu yang jarang kita sedar, China sebenarnya tidak melihat konsep negara mereka hanya sekadar sebuah negara. Dalam tulisannya, ahli politik berpengaruh Henry Kissinger menyifatkan 'konsep China' bukanlah terhad kepada pembentukan sebuah negara bersempadan semata-mata - tetapi sebenarnya sebuah ekspresi pengaruh kebudayaan tamadun agung yang perlu diperkembangkan tanpa sempadan.

Ini bermakna pemerintah China tidak hanya melihat mereka sebagai pemerintah sesebuah negara, malahan mereka juga mengintai peluang bagaimana untuk menyemarakkan lagi asimilasi budaya mereka ke dalam budaya masyarakat luar, agar elemen-elemen dan identiti Cina dapat diserap individu-individu yang ada.

Walaupun dilakukan dengan kekuatan ekonomi sebagai tunjangnya, keupayaan ketenteraan milik China turut sama menghadirkan rasa gusar pada kuasa-kuasa dunia yang lain, sehinggakan wujud ketegangan dan 'perang dingin' di antara China dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah - yang mahu memastikan kedudukan mereka tidak diganggu.

Kebimbangan ini wujud kerana China benar-benar berupaya menjadi satu-satunya kuasa asing bukan dari barat yang berpotensi mempengaruhi dunia, melalui ekonomi dan kebudayaan yang membawa kepada hasrat besar orang China - mahu mewujudkan tamadun berbentuk sinosentrik dalam abad ke 21.

Matlamat besar masyarakat China menguasai dunia

china sebagai kuasa ekonomi dunia

Dalam tulisan yang ditulis pada tahun 1990, seorang profesor di Massachussetts Institute of Technology yang diiktiraf sebagai seorang pakar kajian Sinologis, mendiang Lucian W.Pye menulis bahawa;

"China is not just another nation-state in the family of nations. China is a civilization pretending to be a state."- Terjemahannya - Çhina bukanlah hanya sebuah negara biasa, tetapi China sebenarnya sebuah tamadun yang menyamar sebagai negara. Latar belakang sejarah China yang mempunyai warisan beribu tahun lamanya, berjaya mewariskan pada mereka identiti dan budaya yang unik - serta mampu terus diamalkan hingga kini.

Sejarah ini menjadi tulang belakang yang dipegang masyarakat China dalam memupuk rasa bangga pada budaya sendiri, kerana mereka percaya tamadun China sebenarnya jauh lebih ke depan daripada aspek sosial serta sains dan teknologi, berbanding tamadun-tamadun lain.

Visi kebangkitan semula China sebagai tamadun utama dunia dikatakan dibentuk berasaskan kepada konsep 'Zhong Guo' atau 'Middle Kingdom', nama lama China yang diperkenalkan semasa pemerintahan Dinasti Chou sekitar tahun ke 1000BC.

Walaupun kita mengenali China dengan nama China atau PRC, nama rasmi China secara formal di adalah 'Zhonghua renmin gongheguo' yang membawa makna 'Republik Masyarakat Negara Pertengahan'; merujuk kepada idea Dinasti Chou yang mahu meletakkan masyarakat mereka, sebagai tamadun utama dunia.

Konsep Tianxia - pusat tamadun dunia

xi jinping berarak tentera kuasa baru

Pembentukan identiti dan ideologi masyarakat China yang mempunyai pengaruh paling besar dalam hidup mereka, adalah konsep Tianxia; konsep bagaimana masyarakat China melihat tamadun mereka sebagai titik tengah dunia dan pemerintah mereka sebagai pemerintah yang dilantik dari syurga - menerima watikah perlantikan yang dinamakan 'tianming'.

Turut sama disebut dalam buku strategi perang popular tulisan Sun Tzu, konsep tianxia dijadikan pegangan sebagai panduan dalam usaha orang 'Zhong Guo' China menyatukan keseluruhan dunia di bawah kuasa mereka, tanpa mencetuskan kerosakan ke atas mereka yang mahu dikuasai.

Konsep ini terpaksa dihentikan aplikasinya selepas masyarakat China terpaksa melalui zaman kegelapan mereka akibat daripada kedatangan barat sekitar abad ke 18 dan 19. Rekod hitam mula tercatat selepas perang candu yang tercetus dengan British. Kekalahan mereka kepada tentera British yang jauh lebih kecil sehingga menyebabkan China terpaksa menerima segala syarat yang diletakkan Perjanjian Nanjing pada tahun 1842.

Pada era permulaan abad ke 21 dan bermulanya kebangkitan semula China sebagai kuasa ekonomi dunia yang perlu disegani, perbincangan tentang konsep Tianxia mahu diwujudkan semula mula berlaku di kalangan penyelidik, berdasarkan kepada petunjuk dan peristiwa yang berlaku.

China sebagai kuasa dunia dikatakan tidak menerima konsep kenegaraan barat yang kita guna pakai sekarang ini dan sedang berusaha untuk mewujudkan satu alternatif lain, dalam membentuk sistem masyarakat antarabangsa yang baru - dengan China sebagai pendokongnya. Ahli akademik di China sendiri sudah memulakan kembali usaha menggerakkan pemahaman masyarakat mereka tentang konsep Tianxia agar selari dengan usaha kerajaan China.

Hasrat China untuk menjadi solusi kepada segala permasalahan dunia, dengan kewujudan kuasa pemerintahan 'tianxia' yang dibentuk bukan dengan kaedah permusuhan tetapi sebaliknya dengan cara pujukan.

Bagi orang China yang sudah menerima konsep ini - mereka percaya seluruh dunia perlu bersedia mengikut jejak langkah mereka kerana keamanan hanya boleh dikecapi dengan penyatuan kita semua, tak kira bangsa, agama dan etnik kita.

Rujukan

The Implications of "Tianxia" as a New World System




Hakcipta iluminasi.com (2017)