Oleh pada 03 Jun 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Nora Danish & Instagram Fasha Sandha

Susulan perdamaiannya dengan Fasha Sandha, aktres Nora Danish mengharapkan wanita itu dapat mengotakan ‘aku janji’ yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ia berikutan luahan kekecewaan Fasha yang mendakwa dirinya disekat oleh penganjur daripada menghadiri satu majlis pertunjukan fesyen tahun lalu, kononnya atas arahan Nora.

Namun, atas budi bicara, Nora bersama peguamnya nekad menarik balik saman fitnah terhadap aktres itu, sekaligus menamatkan 'perang' antara mereka.

“€Alhamdulillah, selepas setahun kes ini berjalan semuanya berakhir atas budi bicara saya dan pihak guaman saya mengenai kes saman fitnah yang difailkan atas beliau (Fasha) tahun lalu.

“Saya menaruh harapan sangat tinggi terhadap ‘aku janji’ daripada pihak Fasha yang difailkan di mahkamah akan menjadi nokhtah buat semuanya,” kata Nora menurut Harian Metro.

Nora menyifatkan usaha untuk saling bermaafan adalah suatu perkara yang baik dan dimuliakan.

selepas kemelut yang melanda nora danish mahu fasha sandha tunai janji 2

Kredit foto: Instagram Nora Danish

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan guaman diketuai Datuk David Garuptham, Datin Satwant Kaur dan Audrey Joyse Nelson kerana berjaya memperoleh keputusan ini,” tulisnya.

Sebelum ini, Fasha membuat pengakuan kepada media mengenai keberadaannya bersama Nora di pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam, pada 22 Mei lalu atas niat untuk mengakhiri sengketa mereka.

Kata Fasha, apa yang diluahkannya di media sosial selepas 'dihalau' di majlis fesyen itu telah menyinggung perasaan Nora secara tidak langsung.

Namun, tindakan untuk berbaik dibuat demi masa depan anak-anak mereka, iaitu Rayfal, Rayqal dan Jemaima, yang berkongsi kasih sayang seorang bapa, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)