Oleh pada 02 Jun 2018 kategori

fasha sandha mohon maaf pada nora danish 1

Kredit foto: Instagram Fasha Sandha & Instagram Nora Danish

Aktres Fasha Sandha menyifatkan perdamaian antara dirinya dan Nora Dansih dibuat atas kepentingan anak-anak mereka yang bersaudara.

Malah, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 34, berkata, sudah tiba masa mereka mencari titik noktah persengketaan yang berlarutan bertahun lamanya itu.

"Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama. Justeru jalan terbaik ialah berdamai dan hidup dalam harmoni," katanya memetik laporan Mstar Online.

Kedua-dua mereka yang berselisih faham sejak beberapa tahun, kembali bertelagah apabila Fasha mendakwa kononnya Nora mengarahkan pihak penganjur menyekat kehadirannya di pertunjukan fesyen Aidilfitri pada 12 Mei 2017.

Nora, 36, kemudiannya mengusulkan isu itu sebagai kes mahkamah sebelum satu sidang mediasi menamatkan 'perang' berkenaan dibuat menggunakan peguam kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Fasha berkata, dia menggunakan kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai ruang untuk memohon maaf atas salah faham ketika majlis pertunjukan fesyen itu.

Ia demi memenuhi kepentingan masa depan dua anaknya iaitu Putra Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3, bersama anak sulung Nora, Putera Rayqal, 10, yang berkongsi kasih sayang seorang bapa.

Fasha dan Nora masing-masing sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

fasha sandha mohon maaf pada nora danish 2

Kredit foto: Instagram Fasha Sandha

"Ia sebab kekeluargaan memandangkan anak sulung Nora adalah abang kandung kepada kedua-dua anak saya. Hubungan anak-anak itu juga sangat rapat.

"Jadi, bila fikir balik, sampai bila kami nak bermusuh terlalu lama. Not good for kids to see mothers having problem (tidak baik bagi anak-anak melihat ibu mereka mempunyai masalah). Saya rasa, ia (perdamaian) ialah jalan terbaik," katanya.

Mengulas kiriman yang dimuatnaik di laman Instagram pada acara fesyen lalu, Fasha berkata, dia hanya meluahkan emosi sedih rentetan informasi yang diterima berkenaan kononnya kehadirannya disekat. 

Ia tidak dibuat untuk memalukan mana-mana pihak.

"Saya mohon maaf terhadap posting tersebut dan bagi saya, jalan terbaik ialah berdamai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fasha kini sedang terlibat dalam penggambaran drama terbitan Global Station iaitu Harta Karun Toki yang turut dibintangi Abam (Bocey). Bakal ditayangkan di Astro bersempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ini kenyataan penuh Fasha:

Saya mengakui yang benar saya dan Nora Danish ke pejabat mediasi di Mahkamah Shah Alam minggu lalu.

Maaf saya tidak mahu memberi komen panjang mengenai isu itu sebaliknya apa yang boleh saya katakan di sini, InsyaAllah jika tiada aral melintang bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya akan memohon maaf kepada Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama.

Justeru jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dari kedua belah pihak kerana tidak jemu mendoakan agar kami berdamai.

Syukur, Allah telah perkenan doa itu serta dengan bantuan kedua peguam yang bertugas.

Terima kasih.


tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)