Secara umumnya, kebanyakan rakyat Malaysia gemar meminum teh sama ada ketika bersarapan pagi mahupun ketika minum petang. Sedar atau tidak, budaya ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh cara hidup orang British yang lebih menggemari teh berbanding rakyat Amerika Syarikat yang lebih menggemari kopi.
Malah, minuman teh panas juga boleh dikatakan minuman "wajib" yang akan dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Selain faktor harganya yang murah, minuman teh juga sangat mudah dan cepat untuk disediakan untuk para tetamu.
BESARKAN TEKS A- A+
Sama ada anda sedar atau tidak, penggunaan uncang teh sebenarnya sedikit sebanyak membantu mempercepatkan penyediaan teh. Tanpa uncang teh itu sendiri, kita terpaksa menapis serbuk teh yang telah dimasukkan ke dalam teh dan bagi sesetengah orang, perkara ini memang dianggap leceh.
Secara ringkasnya, uncang teh adalah kain atau beg kecil yang diisi dengan daun-daun teh yang sudah dikisar halus. Di uncang teh ini, terdapat lubang-lubang halus untuk membolehkan air panas menyerap masuk dan mereneh daun-daun teh tersebut. Lubang ini cukup kecil dengan hanya membenarkan air menyerap masuk tetapi tidak akan membenarkan daun-daun teh ini tersebar keluar.
Namun, tahukah anda di sebalik uncang teh ini, terdapat sejarah menarik bagaimana ianya tercipta. Menurut rekod, terdapat 2 sejarah berlainan bagaimana uncang teh ini tercipta.
Permohonan mempatenkan rekabentuk uncang teh pada tahun 1901
Ada pihak yang percaya bahawa 2 wanita daripada Wisconsin, Roberta C Lawson dan Mary Mclaren merupakan orang terawal yang dikreditkan kepada penciptaan uncang teh. Pendapat ini berdasarkan kepada dokumen permohonan mereka untuk memfailkan paten rekabentuk uncang teh pada tahun 1901 lagi.
Bagi kedua individu ini, mereka dapati ianya adalah suatu pembaziran apabila terpaksa mereneh satu teko teh untuk meminum hanya 1 cawan teh. Ini bermakna, baki teh lain yang terdapat dalam teko tersebut terpaksa dibuang dan perkara ini dianggap sebagai satu pembaziran.
Solusinya, mereka mencadangkan daun teh hanya direneh dalam cawan yang hendak diminum. Walau bagaimanapun, mereka perlu memastikan daun-daun teh tersebut tidak terapung-apung di permukaan air agar daun tersebut tidak "diminum" oleh peminumnya.
Maka lahirlah idea untuk menghasilkan uncang teh. Dokumentasi untuk memfailkan paten uncang teh ini boleh dilihat pada halaman rasmi Google Patents.
Kisah Thomas Sullivan mencipta uncang teh secara tidak sengaja
Sementara itu, satu lagi kisah penciptaan uncang teh dikreditkan kepada Thomas Sullivan. Beliau bukanlah seorang yang ternama sebaliknya hanyalah penjual teh yang turut mengeksport teh ke serata dunia.
Pada tahun 1908, sebagai salah satu cara mempromosikan tehnya dan menunjukkan sedikit kelainan daripada produk syarikat lain, beliau telah bertindak membungkus daun-daun tehnya dalam balutan kain sutera. Para pelanggannya yang menerima bungkusan teh ini dapati ianya lebih mudah bagi mereka sekiranya mereka terus merendam sahaja kain yang berisi daun teh ini.
Walaupun niat asal Thomas Sullivan hanya bagi menampakkan produknya lebih unik dan ekslusif, ternyata para pelanggannya menggemarinya. Bukan kerana produk tersebut nampak ekslusif, tetapi kerana mereka boleh terus mereneh daun teh tersebut ke dalam cawan tanpa perlu menapis daun-daun teh tersebut sebelum minuman tersebut dihidangkan.
Malah, para pelanggannya mula meminta daun-daun teh tersebut dijual dalam balutan kain tersebut. Kerana permintaan daripada para pelanggannya ini, beliau terus mengeluarkan produk tersebut. Maka, lahirlah uncang teh secara tidak sengaja!
Revolusi perubahan rekabentuk uncang teh
Pada peringkat awal, kebanyakan uncang teh berbentuk seperti sup bunjut. Rekabentuk uncang teh berbentuk petak hanya muncul sekitar tahun 1944. Gambar di atas merupakan perubahan rekabentuk uncang teh yang dikeluarkan oleh antara syarikat terbesar penjual produk Teh, iaitu Lipton daripada tahun 1920 hingga 1951.
Bagi kebanyakan orang, penciptaan uncang teh mungkin bukanlah sesuatu kejayaan yang besar. Walau bagaimanapun, terdapat 2 masalah utama yang berjaya diselesaikan dengan penciptaan ini:
- Memudahkan penghasilan teh untuk hidangan dalam cawan
- Memudahkan kerja pembersihan cawan
Pada masa kini boleh dikatakan kesemua syarikat pengeluar teh memasarkan produk mereka dalam bentuk uncang teh. Malah, bagi memudahkan pengguna, uncang teh ini juga akan disambungkan dengan tali dan kertas label bagi memudahkan pengguna mengeluarkan uncang teh tersebut daripada cawan.
Kertas label ini bukan sahaja memudahkan uncang tersebut dikeluarkan, tetapi sebagai satu cara pemasaran kerana penjual biasanya akan meletakkan logo jenama mereka di kertas label tersebut. Jangan terkejut, ada penggemar teh yang akan mengumpul kertas label ini terutamanya selepas mereka menikmati teh-teh premium dan ekslusif daripada seluruh dunia.
Kredit: