Mary Mallon merupakan seorang imigran daripada Ireland yang berhijrah ke Amerika Syarikat sewaktu zaman remajanya. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, beliau pernah melakukan beberapa kerja sambilan, antaranya sebagai tukang masak. Pada tahun 1906, beliau telah ditawarkan sebagai tukang masak bagi keluarga Charles Henry Warren.

Ketika awal musim bunga, 6 daripada 11 orang ahli keluarga majikannya itu telah dijangkiti dengan penyakit demam kepialu (typhoid). Untuk mengenalpasti bagaimana ahli keluarga ini diserang penyakit tersebut, Charles Henry Warren telah melantik seorang pegawai kesihatan, George Soper yang mempunyai pengalaman dalam menangani penyebaran penyakit ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

tukang masak sebarkan penyakit zombi kampung pisang

Mirip kejadian warung Pak Munawir Zombi Kampung Pisang

Setelah mengenalpasti latar belakang Mary Mallon dan tempatnya bekerja sebelum ini, George Soper tanpa berselindung menyatakan Mary Mallon merupakan individu yang bertanggungjawab menyebarkan penyakit tersebut. Oleh itu, beliau menasihati masyarakat bahawa Mary Mallon mestilah dijauhi dan tidak dibenarkan memasak untuk orang lain.

Beliau juga menyatakan kes ini begitu unik dimana walaupun Marry Malon didakwa sebagai pembawa virus yang menyebabkan penyakit ini, beliau kelihatan sihat daripada segi luaran. 

Apa itu penyakit demam kepialu?

salmonella typhi 829

Penyakit ini disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Salmonella typhi. Ianya biasa dan tersebar melalui makanan dan minuman yang telah tercemar. Virus ini boleh dinyah daripada badan manusia melalui najis.

Sekiranya pesakit tidak mengamalkan amalan kebersihan ketika menyediakan makanan, virus ini boleh tersebar pula kepada orang lain. Daripada najis, virus ini boleh melekat pada tangan dan berpindah pula kepada makanan apabila seseorang tukang masak itu menyediakan makanan.

Antara simptom awal penyakit ini adalah sama seperti selsema dimana individu tersebut mungkin mengalami sakit perut, pening kepala dan juga kurang selera makan.

Pembawa virus tanpa sedar

mary mallon

Kes Mary Mallon ini dianggap sedikit unik kerana beliau kelihatan sihat dan tidak mempunyai simptom-simptom biasa yang biasanya dirasai oleh pesakit. Malah, beliau juga mendakwa tidak pernah dijangkiti penyakit ini. Virus yang dibawanya ini hanya disahkan setelah ujian darah dilakukan padanya oleh kerajaan.

Pada tahun 1907, kerajaan telah bertindak menangkapnya dan meletakkannya dalam tahanan kuarantin secara paksa. Beliau telah ditempatkan di sebuah pulau bernama North Brother Island atas alasan menjaga keselamatan orang awam. Mary juga terkenal sebagai seorang yang agresif dan keras kepala.

Beliau secara lantang menolak dakwaan beliau membawa dan menyebarkan virus itu. Beliau juga menentang penahanannya itu dan telah bertindak menyaman pihak kerajaan pada tahun 1909.

Para saintis akhirnya telah membuat penemuan yang menjawab situasi yang dialami oleh Mary Mallon. Saintis telah menemui bahawa sesetengah individu mungkin boleh membawa bakteria salmonella ini dalam sel imun yang dikenali sebagai mikrofaj (macrophages) yang mengelirukan tindakbalas sistem imunisasi badan. Disebabkan itulah, walaupun daripada segi luaran Mary Mallon kelihatan sihat, dari segi dalaman beliau sebenar pembawa virus ini.

Sikap keras kepala Mary Mallon

typhoid mary

Walaupun kalah dalam kes samannya terhadap kerajaan, beliau telah dibebaskan daripada tahanan kuarantin beberapa tahun kemudian. Walau bagaimanapun, beliau mestilah patuh dengan satu syarat yang diberikan iaitu tidak lagi bekerja sebagai seorang tukang masak.

Masih percaya bahawa beliau bukanlah pembawa dan penyebar penyakit tersebut, beliau tetap berkeras untuk kembali bekerja sebagai tukang masak. Beberapa orang majikan yang tidak mengetahui mengenai dirinya telah menerimanya sebagai tukang masak di kediaman dan premis mereka.

Keadaan semakin parah apabila makin banyak kes demam kepialu dilaporkan. Apabila diselidiki, kesemua kes ini akan melibatkan tempat dimana beliau bekerja. Akibatnya, kerajaan sekali lagi terpaksa bertindak tegas menahan dan mengkuarantikannya sekali lagi di pulau tersebut.

Akibat daripada tindakannya menyebarkan penyakit ini, beliau telah digelar sebagai "Typhoid Mary". Setelah ditahan buat kali kedua, beliau telah menghabiskan umur sehingga akhir hayatnya di Riverside Hospital. Disitu, beliau diasingkan daripada pesakit lain dan diberikan satu kediaman khas jauh daripada bangunan utama hospital.

Beliau akhirnya diserang strok pada 1932 yang menyebabkannya lumpuh anggota  badan. Beliau hidup dalam keadaan tersebut sehinggalah menemui ajalnya pada tahun 1938. Sepanjang hayatnya, beliau dikatakan telah menjangkiti 50 orang dengan penyakit demam kepialu dimana 3 daripadanya mati.

Demam kepialu di Malaysia

demam kepialu di malaysia

Kerajaan Malaysia amat serius dalam membanteras penyakit ini malah telah mengeluarkan garis panduan penyediaan makan yang boleh diakses di laman web InfoSihat. Malah, kerajaan juga mewajibkan pengendali makanan menyuntik vaksin kepada para pekerja mereka yang bekerja secara langsung dengan penyediaan makanan di premis mereka.

Kemasukan pekerja asing yang sesetengahnya bekerja dalam industri pemakanan di Malaysia juga harus diberi perhatian kerana mereka juga berisiko untuk membawa masuk dan menyebarkan penyakit ini di Malaysia.

Kredit:

  1. MyHealth
  2. Wikipedia
  3. History.com
  4. Britannica Encyclopaedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)