maksud topi tukang masak 114

Sekiranya anda sedang makan di sesebuah restoran, anda dapat mengenalpasti kelibat seorang chef berdasarkan topi tinggi berwarna putih yang dipakai mereka. Biasanya seseorang chef akan memakai topi ini di restoran-restoran mewah atau di hotel.

Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan semakin tinggi topi yang dipakai oleh seseorang chef atau tukang masak, semakin senior atau hebatlah pengalaman mereka dalam dunia masakan. Sebagai contoh, seorang tukang masak junior kebiasaannya memakai topi yang rendah sementara tukang masak senior biasanya memakai topi yang lebih tinggi.

Sejauh manakah benarnya pernyataan ini? Untuk artikel kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak fungsi dan sejarah bagaimana topi yang dianggap unik ini telah mnjadi identiti bagi seseorang tukang masak atau chef.

Dikenali sebagai "toque"

sejarah toque

Topi putih dan tinggi yang biasanya dipakai oleh seseorang tukang masak itu juga dienali sebagai "Toque". Ianya berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud topi. Perkataan ini dipercayai sudah wujud sejak ribuan tahun lamanya namun dipercayai orang Perancislah yang mempopularkan nama ini bagi merujuk kepada topi yang dipakai oleh seorang chef.

Pada 1800-an, topi ini juga dipanggil "toque blanche" atau boleh diterjemahkan sebagai "topi putih". Mengapakah warna putih menjadi pilihan untuk topi yang dipakai oleh seorang chef ini?

Warna putih ini awalnya menjadi pilihan Charles Talleyrand, seorang tukang masak peribadi kepada Perdana Menteri Perancis pada tahun 1815. Menurut beliau, warna putih menjadi pilihannya kerana ianya menggambarkan kebersihan, sesuai dengan setiap masakannya yang dihidang bersih dan selamat untuk dimakan.

Mengapakah "Toque" digunakan?

stovepipe

Dalam buku bertajuk “Passion of a Foodie”, penulisnya Heidemarie Vos mengatakan bahawa Toque digunakan oleh seorang tukang masak untuk melindungi rambutnya daripada terkena makanan dan mencemari makanan tersebut.

Menurut beliau lagi, lama sebelum tukang masak dari Perancis menggunakan Toque, terdapat satu sejarah popular mengenai fungsi lain Toque yang berkisar mengenai sejarah penaklukan Greece oleh Empayar Byzantine sekitar tahun 146 BCE.

Apabila pasukan tentera Byzantine menyerang Greece, chef daripada Greece telah melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di kawasan biara tempatan. Sebagai teknik penyamaran, mereka turut memakai topi seperti yang dipakai oleh biarawan. Topi yang berbentuk tinggi ini juga dikenali sebagai "stovepipe".

Walau bagaimajnapun, selepas orang Byzantine keluar daripada Greece selepas itu, para Chef ini telah bertindak untuk meneruskan tradisi memakai topi tinggi ini sebagai satu bentuk soladiriti. Atas dasar persaudaraan (kerana kerjaya sebagai chef) ini,para chef dari Perancis telah meniru pemakain topi ini dan menjadikan Toque ini sebahagian daripada uniform rasmi mereka.

Fungsi lipatan pada topi

topi tukang masak 456

Pernahkah anda perasan, topi yang dipakai oleh seseorang chef juga mempunyai banyak lipatan padanya. Ianya bukan setakat tinggi tetapi mempunyai lipatan yang dipercayai membawa maksud atau fungsi tertentu.

Pendapat pertama mengatakan bahawa lipatan pada Toque ini bertujuan menjadikannya unik dan berbeza dengan topi lain, seterusnya menggambarkan profesionalisma kerjaya sebagai seorang chef. Tanpa seorang chef yang handal, mana mungkin sesebuah restoran mampu menjadi terkenal. 

Terdapat pendapat lain yang mendakwa pada awalnya, jumlah lipatan pada Toque yang dipakai oleh seseorang Chef menggambarkan jumlah masakan atau resipi yang sudah dikuasainya. Sebagai contoh, Toque dengan 100 lipatan mungkin membawa maksud chef tersebut sudah menguasai 100 jenis resipi hidangan berasaskan telur dan ayam.

Walau bagaimanapun, pada masa kini jumlah lipatan pada Toque yang dipakai mungkin tidak lagi membawa maksud sebegitu. Namun, secara umumnyat ianya tetap menggambarkan tahap kepakaran seseorang chef dalam pelbagai jenis masakan.

Adakah ketinggian Toque menggambarkan kehebatan seorang chef?

tinggi topi chef

Sama seperti fungsi lipatan pada Toque, perbezaan ketinggian pada Toque juga berubah setelah sekian lamanya. Pada 1800-an, memang benar kenyataan yang mengatakan bahawa  lagi tinggi Toque yang dipakai, lagi handallah seseoran chef itu.

Antonin Carem, seorang tukang masak hebat dan pengasas teknik masakan "Grande cuisine" atau "Haute Cuisine, sejenis teknik masakan tradisional dari Perancis pernah memakai Toque setinggi 18 kaki sebagai simbol bahawa beliau adalah seorang ketua tukang masak.

Walau bagaimanapun, pada masa kini kebanyakan chef hanya memakai Toque dengan ketinggian antara 9 hingga 12 inci. Toque masih tetap dipakai oleh kebanyakan chef  sebagai simbolik kepentingan mereka dan menunjukkan tahap elit mereka berbanding dengan pekerja yang bertugas menyediakan bahan masakan dan membasuh pinggan mangkuk di dapur.

Sekiranya anda bekerja sebagai seorang tukang masak, pakailah Toque kerana ianya menggambarkan betapa profesionalnya kerjaya ini. Tidak dinafikan, terdapat segelintir masyarakat kita yang memandang rendah akan kerjaya sebagai seorang Chef.

Bukan mudah menjadi seorang Chef yang hebat kerana mereka perlu menghabiskan masa selama bertahun lamanya dalam bidang kulineri untuk benar-benar mahir dalam bidang ini. Antara Chef di Malaysia yang sudah membawa nama Malaysia di persada antarabangsa adalah Chef Wan dan diharapkan kita akan memiliki lebih ramai Chef sehebat ini.

Kredit:

  1. Escoffier
  2. Alimentarium
  3. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)