Setiap kali tiba bulan Ramadan, peniaga restoran atau kedai makan di negara kita baik yang besar atau yang kecil mula mempromosikan hidangan makan secara bufet untuk berbuka puasa. 

Walaupun dengan harga yang nampaknya semakin lama semakin tinggi, hidangan sebegini yang membolehkan pelanggan makan dan minum sebanyak mana yang mereka mahu atau mampu, tetap menjadi pilihan ramai. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbaloi atau tidak berbaloi hidangan bufet, sejarah asal dari mana datangnya budaya dan tradisi makan secara bufet atau dalam istilah Inggerisnya buffet ini adalah sesuatu yang menarik untuk pelajari.

Siapa sebenarnya yang memulakan kaedah makan layan diri ini?

Makna sebenar istilah bufet/buffet

perkataan buffet asal istilah

Bagi membincangkan sejarah kaedah makan secara bufet ini, ada baiknya kita melihat dari mana datangnya istilah asal itu terlebih dahulu.

Ini kerana bufet bukanlah istilah Inggeris. Sah-sah juga bufet bukanlah datang dari istilah ciptaan masyarakat Melayu bukan?

Dari aspek linguistiknya, 'bufet' merupakan istilah pinjaman bahasa Perancis yang mempunyai dua makna jauh berbeza. 

Yang pertama adalah 'buffet', merujuk kepada perbuatan seseorang menghentak, memukul atau menampar menggunakan tangan. Istilah dan makna ini datang daripada istilah Peranics lama 'bufe' sejak abad ke 12 yang merujuk kepada perbuatan tersebut secara lebih am.

'Bufe' bukan khas merujuk kepada perbuatan memukul dengan tangan, malahan boleh diguna bagi menggambarkan sesuatu objek yang melanggar objek lain dan juga rasa gementar seseorang yang menerima perkhabaran buruk.

Istilah 'buffet' yang membawa makna kedua pula adalah sebuah istilah lebih baru, mula diperkenalkan sekitar awal abad ke 18 lebih tepat lagi pada tahun 1718. 

Di kalangan masyarakat Perancis, almari atau rak yang digunakan bagi menyusun peralatan pinggan mangkuk digunakan untuk tujuan hidangan dinamakan sebagai 'buffet.'

Jadi, kita ada dua makna asal buffet. Satu penumbuk. Lagi satu almari. Kenapa pula kita rujuk hidangan makan secara bebas, sebagai buffet pula?

Misteri buffet terungkai

meja rak almari buffet perancis

Disebut sebagai 'buh-fei', istilah bufet yang kita gunakan dipinjam dari perkataan yang membawa makna 'almari', seperti yang kami sebutkan di atas bukan penumbuk tu ya.

Sejarahnya pula bermula bukan di Perancis, sebaliknya dari budaya makan kalangan masyarakat Scandinavia seperti di Sweden, Finland dan Norway; tetapi dipercayai dimulakan masyarakat dari Sweden. 

Mereka gemar menganjurkan jamuan makan beramai-ramai yang dinamakan sebagai smorgasbord, yang menggabungkan hidangan masakan panas dan sejuk disusun secara rawak di atas meja. 

Smorgasbord membawa makna 'sandwich yang dihidangkan secara terbuka di atas meja', di mana individu yang menyertai majlis akan menyiapkan sendiri hidangan mereka menggunakan apa saja bahan tradisional yang disediakan di atas meja.

Daripada hidangan sandwich, tradisi ini mula berkembang membawa kepada hidangan-hidangan lebih berat sebelum dicedok oleh orang Perancis, diamalkan ketika waktu sarapan pagi golongan bangsawan di sana.

Untuk kemudahan tetamu, orang Perancis biasanya akan menyediakan pinggan mangkuk yang boleh digunakan tetamu mereka dalam almari atau rak jenis buffet. Buffet itu pula akan diletakkan tidak jauh daripada makanan yang dihidang supaya proses pengambilan makanan lancar.

Lama-kelamaan masyarakat Perancis mula merujuk kaedah hidangan makanan yang digunapakai itu sebagai 'kaedah buffet', berpunca daripada rak atau almari yang digunakan semasa santapan.

Nama itu melekat, turut dipinjam ke dalam bahasa Inggeris sehinggakan semua jenis hidangan layan diri tak kiralah apa bentuk juadah sekalipun digelarkan sebagai bufet. 

Jamuan makan bufet terbesar dunia di Thailand

buffet terbesar dunia

Walaupun berasal dari Sweden dan popular menggunakan istilah pinjaman Perancis, majlis makan bufet terbesar di dunia berjaya dianjurkan di Thailand pada tahun 2017.

Untuk mempromosikan negeri mereka sebagai destinasi pelancongan, kerajaan negeri Koh Samui dengan kerjasama kerajaan pusat Thailand dan beberapa syarikat swasta menganjurkan majlis makan secara buffet terbesar dunia di Pantai Chaweng, ketika Festival Samui tahun tersebut.

Hidangan makanan dan minuman yang disediakan secara percuma kepada semua pengunjung melibatkan lebih 10,000 jenis hidangan yang disusun di atas meja, sepanjang 2.5 kilometer keseluruhannya.

Lebih 30,000 pengunjung hadir untuk mencuba makanan dan minuman yang disediakan oleh barisan chef dari seluruh Thailand, dipilih khas untuk mengendalikan acara gergasi tersebut.

buffet di thailand rekod sejarah perkatan

Kerja keras masyarakat Thailand itu berjaya memecahkan rekod tahun 2010 yang dipegang masyarakat India di Ahmedabad, dari segi kepelbagaian resipi.

Acara di Thailand berjaya menghidangkan 5,829 jenis masakan berbeza diiktiraf sementara acara makan bufet di India itu 'hanya' berjaya menghidangkan 5,612 jenis hidangan berlainan.

Ini membuktikan walaupun tradisi bufet dicipta orang Sweden dan istilahnya dipinjam dari orang Perancis, bab makan besar beramai-ramai ni memang kepakaran utama masyarakat Asia seperti kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)