Oleh pada 29 Dec 2019 kategori

Singapura adalah sebuah negara pulau yang bercorak republik dan majoriti penduduknya berbangsa Cina. Singapura telah terpisah dari Malaysia serta menjadi negara bebas dan berdaulat pada 9 Ogos 1965.

perjanjian sultan singapura bersama stamford raffles

Pemisahan ini adalah hasil daripada perbezaan politik dan ekonomi yang mendalam antara parti pemerintah Singapura dan Malaysia sehingga menimbulkan ketegangan kaum yang mengakibatkan rusuhan perkauman pada tahun 1964.

Namun, tahukah anda bahawa Singapura pernah diperintah oleh Raja-raja Melayu pada suatu ketika dahulu? Walaupun pemerintahan itu hanya berlangsung selama 100 tahun, hakikat bahawa Singapura dibuka dan diperintah oleh Raja-raja Melayu tidak boleh dinafikan.

Sejarah pemerintahan Raja-raja Melayu di Singapura yang dahulunya dikenali sebagai Temasik atau Temasek yang bermaksud 'tasik' dalam Bahasa Melayu telah berlaku lebih kurang sejak 700 tahun yang lalu.

Memetik buku Kisah Raja-raja Melayu Singapura tulisan Agus Salim yang diterbitkan Dewan Bahasa & Pusataka (DBP), berikut adalah senarai Raja-raja Melayu yang pernah memerintah Singapura:

  1. Sri Tri Buana @ Sang Nila Utama (memerintah dari 1299-1347 Masihi)
  2. Raja Kecil Besar @ Paduka Seri Pikrama Wira (1347-1362 Masihi)
  3. Raja Muda @ Seri Rana Wira Kerma (1362-1375 Masihi)
  4. Dasia Raja @ Paduka Seri Maharaja (1375-1388 Masihi)
  5. Raja Iskandar Shah @ Sri Parameswara (1388-1391 Masihi)

Tahun-tahun pemerintahan Raja-raja Singapura ini dipetik Agus Salim daripada kajian Dr. W. Linehan dalam jurnalnya The King of 14th Century Singapore yang diterbitkan pada tahun 1947. 

parameswara aka raja iskandar shah

Lukisan Parameswara @ Raja Iskandar Shah

Menjelang abad ke-14, kerajaan Srivijaya semakin merosot dan Singapura terperangkap dalam peperangan antara Siam dan Empayar Majapahit yang berpangkalan di Jawa untuk mengawal Semenanjung Tanah Melayu.

Singapura akhirnya kalah di tangan Empayar Majapahit. Keadaan ini memaksa raja terakhir Singapura iaitu Parameswara atau Iskandar Shah yang baru sahaja memerintah selama beberapa tahun untuk melarikan diri ke Melaka dan mengasaskan Kesultanan Melaka.

Kesultanan Melaka kemudiannya membangun menjadi satu empayar yang besar dan telah memperluaskan pengaruhnya. Singapura turut menjadi sebahagian daripada jajahan Kesultanan Melaka ketika itu.

Apabila Portugis menawan Melaka pada tahun 1511, Sultan Melaka ketika itu telah melarikan diri ke selatan dan menubuhkan Kesultanan Johor. Sebelum itu, Johor berada di bawah jajahan Kesultanan Melaka, maka Singapura juga menjadi sebahagian daripada jajahan Kesultanan Johor yang baru.

lukisan singapura

Walau bagaimanapun, orang-orang Portugis telah memusnahkan penempatan di Singapura pada tahun 1613 dan pulau itu tenggelam dalam kekeliruan selama dua abad yang mendatang.

Singapura kemudiannya kembali diperintah oleh Raja-raja Melayu pada penghujung hayat empayar Negeri Johor. Suatu ketika dahulu, Johor mempunyai wilayah jajahan yang luas meliputi negeri Johor, Pahang, Singapura dan kepulauan Riau-Lingga (kini kepunyaan Indonesia).

Ketika Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) mangkat di Pulau Lingga yang merupakan ibu negeri Johor pada waktu itu, anak sulung baginda yang bernama Raja Hussain Syah atau Tengku Long berada di Pahang dan tidak sempat menghadiri upacara pengebumian ayahandanya.

Memandangkan Adat Melayu ketika itu menyatakan bahawa pengganti Sultan perlulah ditabalkan sebelum jenazah almarhum Sultan sebelumnya dikebumikan, maka adik kepada Raja Hussain Syah yang bernama Raja Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Sultan Johor yang baru dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah.

Raja Hussain Syah yang kecewa dengan keadaan itu telah membawa di ke Kampung Bulang di Pulau Penyengat, Riau untuk hidup dalam keadaan sederhana. Penjajah British dari Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berhasrat untuk menguasai Pulau Singapura telah menghidu peluang yang muncul akibat krisis yang melanda Istana Johor ketika itu.

sultan hussain syah

Sultan Hussain Syah

Sir Thomas Stamford Raffles telah mengarahkan Kolonel William Farquhar untuk mempelawa Raja Hussain Syah untuk ditabalkan menjadi Sultan Singapura yang pertama.

Walaupun berasa ragu, Raja Hussain Syah tetap menerimanya dan ditabalkan sebagai Sultan Singapura di Padang, Singapura, pada 31 Januari 1819 dengan gelaran Sultan Hussain Syah.

Ramai yang tidak senang dengan apa yang dilakukan pihak Inggeris. Ini kerana, kesan pertabalan Sultan Hussain Syah telah menyebabkan berpecahnya empayar Negeri Johor.

Tidak lama selepas ditabalkan, Sultan Hussain Syah mula dihina dan diperlekehkan terutamanya oleh pendatang dari China. Penjajaah Inggeris membawa ramai orang Cina dan India ke Singapura untuk menambahkan jumlah penduduk asing bagi mengecilkan jumlah penduduk Melayu agar kuasa Melayu di Singapura dapat dihapuskan dengan mudah.

Sultan Hussain Syah berasa sangat sedih apabila sedar bahawa dirinya digunakan oleh penjajah Inggeris untuk menguasai Pulau Singapura. Pada tahun 1824, beliau telah dipaksa menandatangani “Treaty of Singapore” untuk menyerahkan seluruh kekuasaannya kepada Residen British, John Crawford.

Pada tahun 1834, Sultan Hussain Syah dengan duka citanya telah meninggalkan Singapura dan menetap di Melaka di mana dia meninggal dunia di sana kira-kira 15 bulan kemudian pada 5 September 1835.

sultan ali iskandar syah

Sultan Ali Iskandar Syah

Anak sulung kepada Sultan Hussain Syah iaitu Tengku Ali telah ditabalkan untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Singapura dalam sebuah upacara sederhana di Istana Kampung Glam, Singapura, dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Syah.

Beliau hidup dalam keadaan sederhana kerana tidak diberikan peruntukan oleh pihak Inggeris yang diketuai oleh Residen British, John Crawford, yang tidak sukakan Melayu. Sultan Ali juga mangkat di Melaka pada 21 Jun 1877 dan dimakamkan di sana.

Selepas kemangkatan Sultan Ali, anakandanya yang bernama Tengku Alam Syah telah menggantikannya dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Syah. Namun, pihak British tidak melantiknya sebagai Sultan Singapura sebaliknya hanya sebagai Ketua Keluarga Di Raja Singapura sahaja. Sultan Alauddin Mansur Syah mangkat pada 26 Ogos 1891 dan disemadikan di Makan Di Raja Teluk Belanga, Singapura.

Anakanda Sultan Alauddin Mansur Syah yang bernama Tengku Ali telah menggantikan bapanya tetapi tidak lagi memakai gelaran Sultan. Tengku Ali mangkat di Istana Kampung Glam pada 2 November 1918 dan digantikan oleh puteranya bernama Tengku Hussein yang mengambil alih jawatan Ketua Keluarga Di Raja Singapura sehingga tahun 1930-an.

istana kampung glam

Istana Kampung Glam@Gelam yang kini menjadi Pusat Warisan Melayu

Walaupun Kesultanan Singapura tidak terkubur secara rasmi, ia telah dilupakan sehinggalah simbol terakhir iaitu Istana Kampung Glam@Gelam yang didiami Kerabat Di Raja SIngapura diambil alih oleh kerajaan Singapura untuk diubahsuai menjadi Pusat Warisan Melayu pada tahun 2002.

Dengan hilangnya simbol terakhir Kesultanan Singapura ini, maka berakhirlah sisa-sisa pemerintahan Raja-raja Melayu di Temasek atau Singapura sejak ratusan tahun dahulu.

Rujukan:

1. Dari Kesultanan ke Republik Singapura

2. Sejarah Raja-raja Melayu Singapura

3. Sejarah Keluarga Diraja Singapura



Hakcipta iluminasi.com (2017)