iluminasi perniagaan nama melayu6

Memiliki perniagaan sendiri merupakan satu impian yang diidamkan oleh ramai orang kita.

Kejayaan untuk keluar dari pekerjaan makan gaji dan menubuhkan empayar (atau sekurang-kurangnya perniagaan kecil-kecilan) mampu membuatkan seseorang itu merasa puas dengan kejayaan yang dia dapat walaupun kecil. Walaupun begitu, pernahkah anda terfikir mengapa kurangnya jenama yang menggunakan nama anak Melayu itu sendiri dalam pasaran kita? Kita ada Jimmy Choo yang amat terkenal serata dunia menjaja namanya. Kita ada Limkokwing yang megah mendirikan universiti di seluruh dunia.

Di mana pula nama Melayu? Berikut adalah ahli perniagaan yang berani menggunakan nama sendiri sebagai jenama dan kejayaan mereka tak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan peniaga lain.

1. Sani

iluminasi perniagaan nama melayu3

Kita mula kenal Wan Mohammad Sani Salleh sebagai salah seorang anggota boyband paling berbakat dalam tarian di Malaysia, bersama Norman Hakim dan Eidzlan Yusof iaitu kumpulan Impression. Selepas kumpulan Impression nampak kurang menjadi dan dunia lakonan juga semakin mencabar, beliau yang lebih terkenal dengan nama pendek Sani memulakan perniagaan bas ekspress.

Lahirlah Sani Ekspress yang pada mulanya hanya menyediakan perkhidmatan ke pantai timur. Kini, dengan permulaan syarikat bas ekspress tersebut, Sani Ekspress berkembang kepada Sani Properties dan Sani Hotel, yang terletak di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur.

2. Ramly

iluminasi perniagaan nama melayu5

Diasaskan pada tahun 1979 oleh Ramly bin Mokni, idea untuk menubuhkan syarikat pengeluaran produk daging ini bermula atas kesukaran orang ramai pada ketika itu, untuk mendapatkan daging burger yang bersih, bermutu dan halal.

Mula dijual digerai di rumah dengan daging burger yang dibuat menggunakan gabungan mesin dan tangan, permintaan yang tiba-tiba mendadak daripada 200 keping sehari kepada 2000 keping membuatkan Ramli terpaksa memindahkan operasi dari rumah ke sebuah rumah kedai. Bermula dari situ, nama Ramly dan burger tidak dapat dipisahkan lagi.

3. Tamin

iluminasi perniagaan nama melayu2 633

Kicap Tamin. Sebut saja kicap, kita akan teringat Kicap Tamin. Berbekal modal permulaan $10, Haji Tamin memulakan perniagaan dengan membuat kicap bagi edaran di sekitar kawasan Batu Gajah.

Bermula dengan 700 botol sehari yang diusahakan oleh beliau dan ahli keluarga sama-sama, permintaan meningkat kepada 3500 botol sehari yang memerlukan penyediaan kicap yang lebih mantap. Sebuah kilang terpaksa dijadikan markas operasi pembuatan kicap untuk memenuhi permintaan kerana Kicap Tamin sudah mula dikenali di luar negeri Perak. Bermula daripada satu jenis kicap, kini Syarikat Tamin menyediakan 28 jenis produk untuk pasaran.

4. Naza

iluminasi perniagaan nama melayu

Empayar perniagaan yang kita nampak sekarang semuanya bermula dengan tindakan nekad SM Nasimuddin SM Amin menggunakan simpanannya untuk membeli 20 Approved Permit (AP) dari kerajaan, lalu membawa masuk 20 modal kereta terpakai dari Jepun yang habis dijual dalam masa 3 bulan.

Bermula daripada 20 biji kereta itu, beliau membuka sebuah kedai kereta di Taman Maluri untuk menjadi pusat operasi beliau. Kini, kumpulan Naza merupakan pemegang francais kepada jenama Kia dari Korea Selatan dan Peugeot dari Perancis. Naza pula kini lebih menumpukan kepada perniagaan import kereta mewah dan perniagaan motorsikalnya dengan kerjasama Hyosung dari Korea Selatan.

5. Brahim's

iluminasi perniagaan nama melayu4

Ditugaskan untuk membangunkan teknologi makanan supaya boleh dibekalkan kepada anggota tentera, Ibrahim Ahmad mula membekalkan pek makanan kepada tentera Malaysia dan Pasukan Pengaman PBB di negara lain. Menjadi pilihan kerana mereka satu-satunya pembekal makanan tentera yang disahkan halal, Ibrahim menggunakan tujuh tahun pengalaman sebagai pembekal makanan tentera untuk mengkomersialkan produk beliau.

Disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1995, Brahim's mula dijual untuk pasaran komersial. Kini, jenama Brahim's boleh didapati di 44 jenis produk untuk penggemar makanan segera yang mudah disiapkan.


tags : , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)