Oleh pada 03 May 2018 kategori

Rata-rata peminat bola sepak di Malaysia pasti mengenali pasukan bola sepak di dalam senarai ini. Terkenal sebagai pasukan-pasukan yang menjuarai banyak liga-liga Eropah dan dunia, kelab bola sepak dalam senarai ini ternyata berjaya menghiburkan kita semua dengan skil pemainnya yang sangat hebat, serta jaringan gol yang memukau mata, dan jiwa. Namun, adakah kita menyedari sejarah di sebalik penubuhan kelab-kelab bola sepak terkenal ini. Teruskan membaca. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. FC Barcelona (Barca)

sejarah penubuhan kelab bola sepak barcelona

Turut dikenali sebagai Futbol Club Barcelona, atau secara ringkasnya Barca, ditubuhkan pada tahun 1899 oleh sekumpulan pemain bola daripada Switzerland, England dan Catalan di bawah pimpinan Joan Gamper. Pada 22 Oktober 1899, Joan Gamper meletakkan sebuah iklan surat khabar Los Deportes bagi menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak. Hasilnya, beliau mendapat respon positif daripada beberapa orang individu, dan mereka bertemu dalam satu perbincangan di Gimnasio Solé pada 29 November tahun sama. 

Seramai 11 orang pemain telah bertemu, antaranya termasuklah Walter Wild, direktor pertama kelab bola sepak tersebut. Daripada pertemuan tersebut, maka lahirlah FC Barcelona. Kelab tersebut bermula dengan jayanya pada peringkat liga tempatan dan nasional, bersaing dalam Campionat de Catalunya dan the Copa del Rey. Pada tahun 1902, mereka berjaya memperolehi trofi pertama, dalam pertandingan Copa Macaya. Barcelona terus cemerlang dalam segala pertandingan bola sepak yang disertai sehingga kini. 

2. Real Madrid C.F. (RM)

sejarah penubuhan kelab bola sepak real madrid

Turut dikenali sebagai Real Madrid Club de Fútbol, kelab ini ditubuhkan pada 6 Mac 1902 sebagai Madrid Football Club. Sukan bola sepak diperkenalkan kepada masyarakat Madrid oleh sekumpulan ahli akademik dan pelajar Institución Libre de Enseñanza, yang antaranya merupakan graduan University of Cambridge dan University of Oxford. Mereka menubuhkan Sky Football pada 1897, yang biasa dikenali sebagai La Sociedad (The Society), dan kerap bermain sukan tersebut pada setiap pagi Ahad di Moncloa. 

Pada tahun 1900, berlaku konflik antara ahli-ahli kelab berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada mereka meninggalkan kelab tersebut dan menubuhkan sebuah kelab baru, iaitu Nueva Sociedad de Football (New Society of Football), bagi membezakan kelab mereka daripada Sky Football. Antara ahlinya termasuklah Julián Palacios, Presiden Real Madrid yang pertama. Pada 1901, kelab tersebut menukar nama kepada Madrid Football Club. Pada 6 Mac 1902, selepas sebuah lembaga baru yang dipengerusikan oleh Juan Padrós telah dilantik, Madrid Football Club dengan rasminya ditubuhkan. 

3. FC Bayern Munich (München)

sejarah penubuhan kelab bola sepak bayern munich

Turut dikenali sebagai FCB, atau FC Bayern München, kelab Bavaria ini ditubuhkan pada tahun 1900 oleh 11 orang pemain bola sepak, di bawah pimpinan Franz John. Mereka ini sebenarnya adalah ahli kelab gimnastik Munich MTV 1879). Pada 27 Februari 1900, sebuah kongres MTV 1879 memutuskan bahawa pemain bola sepak kelab berkenaan tidak dibenarkan untuk menyertai German Football Association (DFB), 11 ahlinya daripada bahagian bola sepak meninggalkan kongres tersebut dan menubuhkan Fußball-Club Bayern München pada petang yang sama. 

Dalam masa beberapa bulan, Bayern berjaya mencapai banyak kemenangan dengan skor yang banyak, termasuklah kemenangan 15-0 ke atas FC Nordstern, dan memasuki peringkat separuh akhir dalam the 1900–01 South German Championship. Beberapa tahun mendatang, kelab tersebut turut memenangi beberapa trofi tempatan dan menyertai Kreisliga yang baru ditubuhkan. Mereka memenangi liga berkenaan pada tahun pertama, namun gagal untuk beberapa tahun berikutnya sehinggalah bermula Perang Dunia Pertama, yang menghentikan segala aktiviti di Jerman. 

4. Manchester United F.C. (MU)

sejarah penubuhan kelab bola sepak manchester united

Manchester United ditubuhkan pada tahun 1878 sebagai Newton Heath LYR Football Club oleh Jabatan Pengangkutan dan Gerabak daripada Lancashire and Yorkshire Railway (LYR) depot di Newton Heath. Pasukan tersebut pada mulanya bermain antara jabatan dan syarikat stesen kereta api. Pada 20 Oktober 1880, mereka menyertai sebuah pertandingan bola sepak, dengan memakai jersi berwarna hijau dan emas, warna syarikat mereka, namun tewas 6-0 kepada pasukan simpanan Bolton Wanderers. 

Pada Januari 1902, dengan hutang yang banyak, kelab berkenaan telah diarahkan untuk bubar. Kapten pasukan Harry Stafford berjaya meyakinkan empat orang ahli perniagaan, termasuklah John Henry Davies (menjadi presiden kelab) untuk melabur sebanyak £500 setiap orang. Pada 24 April 1902, nama kelab berkenaan ditukar, dan secara rasminya lahirlah Manchester United. Di bawah pimpinan Ernest Mangnall, pasukan tersebut berjaya menduduki tempat kedua dalam Second Division League pada 1906, dan dinaikkan ke First Division sebelum menjuarai liga berkenaan. 

5. Paris Saint-Germain F.C. (PSG)

sejarah penubuhan kelab bola sepak psg

Berbanding kesemua kelab dalam senarai ini, PSG boleh dikatakan sebagai sebuah kelab baharu, kerana ditubuhkan pada 12 Ogos 1970. Penubuhan PSG adalah hasil penyatuan dua buah kelab bola sepak, iaitu Paris FC, yang ditubuhkan pada tahun 1969, dan Saint-Germain-en-Laye, yang ditubuhkan pada tahun 1904. Apabila seorang pereka fesyen yang bernama Daniel Hechter mengambil alih kelab berkenaan, PSG mula mendapat rentak yang baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Di bawah bimbingan jurulatih Just Fontaine, yang juga merupakan lagenda bola sepak Perancis, PSG berjaya dinaikkan ke Ligue 1 setahun kemudian, dan mula menarik bintang-bintang bola sepak ternama pada waktu itu, seperti Mustapha Dahleb dan Carlos Bianchi. Pada awal abad ke-21, PSG berjaya menghasilkan banyak bakat-bakat bola sepak, termasuklah Ronaldinho dan Pauleta. Dengan penyertaan Oryx Qatar Sports Investments, dan Nasser Al-Khelaifi sebagai presiden kelab berkenaan, PSG kini mempunyai cita-cita besar untuk memenangi kejuaraan bola sepak Eropah, UEFA Eropean Championship. 

6. Juventus F.C.

sejarah penubuhan kelab bola sepak juventus

Juventus telah ditubuhkan sebagai Sport-Club Juventus pada tahun 1897 oleh para pelajar sekolah Massimo D'Azeglio Lyceum di Turin, sebelum namanya ditukar kepada Football Club Juventus dua tahun kemudian. Kelab berkenaan telah menyertai Italian Football Championship pada tahun 1900. Pada tahun 1904, seorang ahli perniagaan bernama Ajmone-Marsan menghidupkan semula kelab tersebut yang mengalami masalah kewangan, membolehkan mereka memindahkan pusat latihan daripada Piazza D'Armi ke Velodrome Umberto I yang dilihat lebih sesuai. 

Ketika era tersebut, pasukan Juventus memakai jersi berwarna merah jambu dan hitam. Mereka memenangi trofi pertama dalam kejuaraan liga pada tahun 1905 di padang sendiri di Velodrome Umberto I. Mendapat inspirasi daripada pasukan bola sepak Notts County, Juventus menukarkan warna jersi mereka kepada jalur hitam dan putih. Begitulah permulaan kelab bola sepak Juventus sebagai juara liga utama Itali yang kita kenali hari ini.

Jangan sedih sekiranya kelab bola sepak sokongan anda tidak tersenarai. Banyak lagi kelab bola sepak lain seperti Arsenal, Manchester City, Borussia Dortmund, A.S. Roma, Ajax Amsterdam, JDT dan lain-lain patut diletakkan di dalam senarai ini. Namun, disebabkan kekangan ruang, penulis membuat keputusan untuk tidak disertakan bersama kelab-kelab ini. Sekiranya berkesempatan, penulis akan membuat sambungan bahagian 2. 

Rujukan:

  1. en.wikipedia.org [1, 2, 3, 4, 5, 6]



Hakcipta iluminasi.com (2017)