Pemakaian topeng muka mula diwajibkan kerajaan Malaysia, pada 1 haribulan Ogos 2020.
Peraturan baru itu bakal dilakukan disebabkan oleh berlakunya peningkatan kes-kes Covid-19 di seluruh negara, dipercayai disebabkan oleh tindakan orang ramai yang mula memandang ringan ancaman pandemik yang sebenarnya masih berleluasa.
Walaupun topeng muka diakui berkesan mengawal penularan virus, tak dapat dinafikan wujud beberapa kesan sampingan akibat pemakaian topeng muka.
BESARKAN TEKS A- A+
Masalah utama yang dilaporkan semakin kerap berlaku adalah masalah jerawat pada wajah - yang digelarkan dalam slanga moden 'maskne', mengambil istilah 'acne' yang diubah.
'Maskne' adalah fenomena normal!
Bagi orang ramai, kehadiran jerawat-jerawat pada wajah biasanya berlaku disebabkan oleh minyak yang berkumpul di muka - menutup liang-liang pori pada wajah.
Petugas perubatan pula yang selama ini memang menggunakan topeng muka, sudah lama mengetahui tentang risiko berlakunya kenaikan jerawat pada wajah - khasnya di bahagian dagu dan bawah bibir.
Pemakaian topeng dalam jangka masa panjang akan memerangkap udara panas, yang keluar dari hidung dan mulut kita. Udara panas ini mempunyai kelembapan yang sangat baik untuk pembiakan hidupan, yis dan bakteria, terutamanya kutu demodex yang memang menjadikan wajah kita rumah mereka.
Ketidak seimbangan ini akan menyebabkan jerawat mula naik, sebagai tindak balas kepada kelembapan yang terpekung - menyebabkan kondisi yang dikenali sebagai perioral dermatitis bermula.
Dalam bahasa urbannya - 'maskne.'
Selain jerawat, seseorang yang perlu memakai topeng dalam satu jangkamasa panjang kebiasaannya akan mempunyai kawasan kemerah-merahan yang membantuk sempadan di muka - menyebabkan tona kulit kelihatan tidak sekata.
Apa yang boleh anda lakukan?
Sekiranya anda mempunyai masalah 'maskne' yang teruk, apa yang pertama sekali anda perlu lakukan adalah memeriksa topeng anda.
Sekiranya anda pemakai topeng guna semula yang boleh dibasuh, besar kemungkinan anda perlu lebih teliti dengan teknik basuhannya, kerana basuhan menggunakan sabun detergen akan memerangkap sisa di bahagian topeng.
Pastikan anda jemurkan topeng muka di kawasan yang terkena terik matahari - bukan ditempat redup.
Teknik pemakaian yang betul untuk topeng juga perlu diamalkan setiap masa.
Sekiranya anda antara pemakai yang gemar menarik topeng ke dagu untuk sementara, bagi membolehkan anda bernafas seperti biasa tanpa halangan - tindakan itu akan menyebabkan ruangan kulit di dagu dan bawah mulut kerap bergesel dengan topeng.
Geseran yang kerap berlaku itu sebenarnya akan menyebabkan kewujudan calar bersaiz mikro pada kulit, yang boleh menyebabkan jangkitan lebih teruk.
Amal pemakaian krim pelembap
Seandainya anda tahu anda akan perlu memakai topeng dalam tempoh lama, sapukan krim pelembap pada bahagian wajah anda yang tidak bersifat pekat. Pelembap ini akan bertindak sebagai dinding yang melindungi wajah anda dari geseran.
Gantikan topeng muka setiap beberapa jam sekali, lebih kerap sekiranya anda sering berada di kawasan berudara panas dan lebih banyak berpeluh.
Bila pulang ke rumah, amalkan tabiat mencuci muka dengan pencuci bagi memastikan wajah anda bebas dari sisa minyak, agar anda kekal kacak dan menawan.