google 483

Kini, apa sahaja maklumat yang ingin diperoleh, boleh dikatakan hampir semua individu akan menggunakan enjin carian Google. Malah, perkataan "Google" kini seolah-olah menjadi pengganti kepada perkataan "search", sebagaimana "Maggi" menggantikan "mi segera" kerana ia terlalu berpengaruh. Namun, bukan satu kerja yang mudah untuk membuatkan sesuatu produk itu digunakan oleh seluruh penduduk dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

22 tahun lalu, enjin carian yang popular ketika itu antaranya adalah Altavista (dibeli oleh Yahoo pada 2003) dan Lycos. Enjin-enjin carian ini menggunakan kata kunci teks daripada pangkalan data untuk mencari hasil carian yang relevan. Dan hasil yang akan terpapar di senarai teratas adalah merupakan halaman yang mempunyai terma yang paling hampir dengan terma yang dicari.

backrub

Namun, ia tidaklah sebegitu efektif dan memberikan keputusan yang tidak tepat. Sebagai contoh, jika anda mencari "Microsoft", anda mungkin dapat melihat laman sesawang yang menjual barang-barang Microsoft berada di senarai lebih atas daripada laman utama korporat Microsoft itu sendiri. Ia adalah kerana laman sesawang itu mungkin memaparkan banyak produk Microsoft, membuatkan enjin carian berasa ia lebih relevan.

Pada tahun 1997, pencarian laman web dipermudahkan, dengan penciptaan Google (dahulu dikenali sebagai BackRub) yang memberikan carian yang lebih relevan berbanding web-web lain ketika itu.

Bermula sebagai projek penyelidikan

Google bermula bukanlah bertujuan untuk menjadi enjin carian, dan juga bukan satu produk komersial. Ia adalah hasil daripada penyelidikan pelajar Ijazah Universiti Stanford, Larry Page. 

Berasal dari keluarga yang celik komputer, bapa Larry merupakan seorang saintis komputer. Selepas tamat belajar di Universiti Michigan, Larry menyambungkan pelajaran di Universiti Stanford ketika berusia 22 tahun.

Beliau ketika itu tidak tahu untuk menulis apa dalam disertasinya namun tertarik dengan implikasi matematik World Wide Web dan disokong oleh penasihat pelajar, Terry Winograd.

LArry kemudiannya fokus kepada masalah pencarian laman web yang mana mempunyai hubungan dengan halaman yang diberikan. Larry menyedari jumlah dan sifat "backlink" itu memainkan peranan penting serta maklumat yang sangat berharga buat sesebuah laman itu.

Larry merekrut Sergrey

Larry seterusnya merekrut seorang pelajar PhD di Stanford, Sergrey Brin menyertai kajian projek tersebut. Setelah berbincang, mereka menggelarkan "BackRub" sebagai nama projek tersebut.

larry page dan sergrey brin

Mereka berdua kemudiannya menulis kertas kajian bertajuk "The Anatomy of a Large-Scale Hypertextual Web Search Engine", yang menjadi dokumen saintifik yang paling banyak dimuat turun dalam sejarah internet ketika itu.

BackRub menggunakan perisian "Spider", bertujuan mencari dan mengumpulkan data serta menganalisa HTML, lalu menghasilkan pangkalan data pautan. Untuk memudahkan pemahaman, Spider menghasilkan data yang saling berkait. Walaupun proses ini memerlukan sumber CPU dan jalur lebar yang lebih tinggi, namun ia memberikan anggaran kaitan halaman dengan lebih tepat dan cepat.

formula pagerank

Algoritma PageRank

Larry kemudiannya membina laman sesawang PageRank, bertujuan menukarkan data yang dikumpul oleh BackRub. PageRank berfungsi dengan memberi nilai angka kepada setiap halaman, berdasarkan jumlah pautan yang ada dan berapa kali halaman itu dihubungkan.

Pada Ogos 1996, PageRank mula digunakan oleh pelajar di Universiti Stanford dan pada hujung tahun yang sama, BackRub menerima 10,000 cari setiap hari.

Mula popular di Stanford dan kalangan orang awam

BackRub menjadi semakin popular di Stanford dan orang awam. Selepas berbincang, Larry dan Sergrey bersetuju menukarkan nama BackRub kepada googol, yang kemudiannya menjadi Google. Kerana terlalu popular, jalur lebar yang digunakan Google telah menyebabkan gangguan pada internet di Stanford, namun pengguna tidak mengendahkannya.

garaj asal tempat google bermula

Pejabat pertama Google selepas berpindah dari bilik Larry di Stanford

Google semakin berkembang dan menarik perhatian ramai, termasuklah pelabur-pelabur di Silicon Valley. Pengasas bersama syarikat Sun, Andy Bechtolsheim telah menulis cek sebanyak USD100,000 kepada Google. Wang ini akan digunakan untuk memindahkan "makmal" Google daripada bilik Larry di Stanford, kepada rumah di luar kampus.

Namun mereka belum boleh menggunakan wang itu kerana ketika itu Google hanyalah sebuah projek yang dilancarkan di pejabat di makmal sains dan beroperasi dari bilik Larry di Stanford. Dan pada 4 September 1998, Google telah didaftarkan. Daripada berpangkalan di bilik asrama, Google berpindah ke sebuah garaj di pinggir bandar Menlo Park, California.

Berjimat-cermat di awal penubuhan

komponen komputer yang berserabut 827

Ketika Google masih di Stanford, Larry dan Sergrey akan merayu kepada jabatan-jabatan lain untuk mendapatkan komponen komputer. Mereka juga akan mengambil komputer dan cakera keras (hard drives) yang rosak di sekitar kampus.

Sergrey kemudiannya membina perisian yang memperbaiki cakera tersebut dan boleh digunakan semula, untuk menjadi pangkalan data PageRank yang sentiasa bertambah.

Namun selepas keluar dari Stanford, mereka tidak boleh lagi merayu seperti dahulu, namun Google masih berjimat. Google menggunakan Linux yang dipasang pada rak server buatan sendiri. Rak-rak itu kelihatan seperti sarang tikus dengan kabel yang bersilang dan komponen lain bertaburan. Ia merupakan usaha berjimat-cermat. 

google dalam majalah

Dengan kepakaran pada kedua-dua genius ini, Google semakin pesat membangun dan mula mencabar Yahoo. Menjelang Februari 1999, sebanyak 500,000 carian dikendalikan oleh Google setiap hari seterusnya menarik lebih ramai pelabur, dan menerima USD25 juta sebagai pelaburan baru.

2 pengumuman besar oleh Google pada 2002

Pada 26 Jun 2000, 2 pengumuman besar telah dibuat oleh Google. Pertama, Google telah menjadi enjin carian terbesar di dunia dari segi indeks halaman mengalahkan pesaing ketika itu iaitu Lycos dan HotBot. Semakin lama "spider" Google berlegar di internet mencari data, indeks dan data di PageRank semakin bertambah, dan memberikan Google hasil carian yang lebih baik.

yahoo dikalahkan

Ia sekaligus menjadikan Google semakin hebat setiap hari, dan tak lapuk dek zaman.

Pengumuman kedua adalah, portal utama yang pertama beralih daripada enjin carian sendiri kepada enjin cari Google, adalah Yahoo. Ia seperti tanda menyerah kalah oleh Gooogle.

pengasas google

Yahoo telah dikompromi, kerana tak mampu untuk bersaing dengan Google yang memberikan hasil carian yang sangat hebat. Yahoo risau pengguna akan menyedari kehebatan Google, dan beralih kepada Google.com.

Setelah 2 tahun beroperasi secara rasmi, Google telah mengalahkan Yahoo dalam gelanggangnya sendiri. Ia disebabkan sistem yang digunakan Yahoo tidak mengikut peredaran zaman, manakala sistem Google semakin "power" mengikut arus masa.

Pada tahun 2010, Danny Sullivan, seorang penganalisa berkata :

"Yahoo merupakan katalog laman sesawang, dan membolehkan anda mencari "buku" yang tepat berdasarkan tajuk yang dicari. Tetapi, sistem Google lebih hebat dengan membolehkan anda mencari setiap halaman buku tersebut, di setiap buku di dalam perpustakaan. Ia jauh lebih komprehensif dan mampu meletakkan carian yang bagus di senarai teratas carian,".

Kini, Google menjadi satu fenomena yang digunakan oleh manusia di seluruh dunia. Ia mempunyai 60,000 pekerja di 50 buah negara, dan menghasilkan beratus-ratus produk yang digunakan oleh berbilion manusia. Semua pesaing kecundang begitu sahaja disebabkan kehebatan Larry Page dan Sergrey Brin.

Rujukan :

1. Low End Mac

2. Google

3. Thought Co

4. Internet History Podcast




Hakcipta iluminasi.com (2017)