Walaupun Malaysia mengalami suhu panas dan lembap secara puratanya sepanjang tahun, kita beruntung kerana mempunyai beberapa lokasi percutian di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Genting Highland, Bukit Fraser's dan Bukit Tinggi. 

Setiap lokasi ini juga menjanjikan keunikannnya yang tersendiri. Cameron Highland terkenal sebagai lokasi agro pelancongan yang menjadi tarikan pelancong untuk melihat ladang teh dan strawberi serta membeli sayuran-sayuran segar dari ladang sementara Genting Highland pula terkenal sebagai pusat hiburan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi yang mahukan ketenangan dan melihat pemandangan seperti di Barat, maka Bukit Fraser's tentulah menjadi pilihan. Terdapat juga tarikan menunggang kuda dan padang golf disini.  Sementara itu, di Bukit Tinggi pula terdapat sebuah kawasan bertemakan kawasan perkampungan di Perancis yang diberi nama Colmar Tropicale.

Pada artikel kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak sejarah pembukaan kawasan Cameron Highland satu ketika dahulu. Kita seharusnya bersyukur kerana kemudahan jalan raya sudah dibina yang sememangnya memudahkan perjalanan ke sini.

Asal-usul nama Cameron Highlands

smokehouse cameron highland

Sebuah rumah bungalow (smokehouse) di Cameron Highland. Gambar ini diambil sekitar tahun 1930.

Mungkin anda tertanya-tanya, daripada manakah asal-usulnya perkataan "Cameron" yang diberikan kepada tempat ini? Ianya adalah nama yang diambil daripada William Cameron, seorang juru ukur kerajaan British yang telah menemui kawasan dataran tanah tinggi ini secara tidak sengaja.

Pada tahun 1885, William Cameron dan pembantunya Kulop Riau telah melakukan satu ekspedisi pemetaan di kawasan Banajaran Titiwangsa. Ternyata ianya adalah satu tugas yang sangat mencabar dan mengambil masa berbulan-bulan lamanya. '

Malah, mereka terpaksa menggunakan khidmat gajah untuk mengangkut barangan yang dibawa mereka. Mereka memulakan ekspedisi dari sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Tanjung Rambutan dan mula meneroka kawasan Sungai Kinta. Kemudian, mereka mula meneroka Banjaran Titiwangsa dari arah selatan - timur.

Penemuan kawasan dataran tanah tinggi secara tidak sengaja

lokasi cameron highlands 142

Lokasi Cameron Highlands

Tidak lama kemudian, mereka berjaya sampai ke puncak Gunung Pondok Challi. Pada ketika inilah William Cameron  mendakwa telah melihat sebuah kawasan dataran tanah tinggi pada ketinggian kira-kira 1800 meter daripada aras laut.

Cuaca pada ketika itu pula dianggarkan antara 8 hingga 25 darjah Celcius. Malangnya, beliau pada ketika itu gagal menandakan dengan tepat lokasi sebenar kawasan tersebut pada petanya.

Sehinggalah pada tahun 1920, lokasi kawasan dataran tanah tinggi tersebut berjaya ditemui hasil daripada beberapa buah ekspedisi yang dilakukan kemudiannya. Begitulah kisahnya bagaimana kawasan yang kini dikenali sebagai Cameron Highlands ini ditemui.

Pembangunan dan potensi Cameron Highland

ladang strawberi cameron highland

Walaupun lokasi kawasan ini telah disahkan pada tahun  1920, hanyalah 5 tahun kemudian iaitu pada tahun 1925 kawasan ini dibangunkan sebagai sebuah kawasan resort tanah tinggi hasil daripada cadangan Sir George Maxwell.

Populariti Cameron Highlands terus meningkat pada zaman kolonial British ini apabila British sedar bahawa kawasan tanah tinggi ini mempunyai banyak lereng-lereng bukit yang sesuai untuk aktviti penanaman teh.

Maka, pada tahun 1929, John Archibald Russell yang merupakan anak kepada salah seorang pegawai tinggi British pada ketika itu telah memulakan penanaman teh di kawasan ini. Daripada usanya inilah lahirnya jenama teh Boh yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa kini.

Selain teh, kawasan ini juga menjadi kawasan penanaman sayur-sayuran kerana suhunya yang optimum untuk tujuan ini. Pada zaman kolonial juga, kawasan ini menjadi tempat tumpuan pegawai British untuk membina penempatan dengan pembinaan rumah rehat kerana cuacanya yang nyaman.

Pembinaan jalan raya akses ke Cameron Highland

jalan ke cameron highlands

Walaupun ramai antara kita gemarkan suasana disini, jalannya yang berliku untuk ke sini sememangnya menjadi cabaran bagi setiap pelancong. Namun, bayangkan betapa sukarnya akses ke sini suatu ketika dahulu?

Antara tahun 1896 hingga 1902, jalan ke kawasan ini telah diperbesar dan ditambah baik. Pada tahun 1925, Sir George Maxwell telah melawat ke kawasan ini dan telah mencadangkan kawasan Tanah Rata dan Brincang dijadikan sebagai pusat penempatan tentera.

Antara tahun 1926-1931, kawasan ini telah diklasifikasikan kepada beberapa zon antaranya untuk tujuan agrikultur, kawasan penempatan, taman negara, kawasan pentadbiran, kawasan rekreasi dan banyak lagi.

Sehingga ke saat ini, Cameron Highlands makin pesat membangun dan menerima begitu ramai pelancong terutamanya pada cuti hujung minggu. Malangnya, akibat kerakusan manusia dalam pembinaan projek-projek baru di kawasan ini, telah terjadi banyak malapetaka dan kemusnahan alam sekitar yang sungguh menyedihkan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Cameron Highlands Info



Hakcipta iluminasi.com (2017)