Pada abad ke 18, minuman soda telah diperkenalkan di negara Barat sebagai penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Pada ketika itu, pendapat yang mendakwa minuman berkarbonat mempunyai kuasa merawat pelbagai penyakit diterima masyarakat secara umum.

Maka, tidak hairanlah pelbagai produk berasaskan soda muncul di pasaran. Setiap produk ini juga mempunyai resipi yang tersendiri seperti sirup Coca-Cola dan sebagainya. Ketika itu, pelbagai produk berasaskan soda ini hanya dijual di farmasi dan setiap produk ini dihasilkan mengikut ramuan unik sesuatu farmasi itu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Minuman soda sebagai penawar pelbagai penyakit

iklan 7 up

Pada tahun 1885, minuman ringan terawal di Amerika Syarikat, Dr. Pepper, telah dihasil dan dijual oleh seorang ahli farmasi bernama Charles Alderton. Beliau telah memasarkan minuman tersebut dengan mendakwa ianya adalah minuman pemberi tenaga dan tonik yang baik untuk otak.

Tidak lama kemudian, seorang lagi ahli farmaisi John Pemberton telah mencipta Coca-Cola, jenama yang masih wujud ketika ini dan menjadi jenama paling popular minuman ringan. Pada awal kemunculannya, Coca-Cola juga pernah menjadi kontroversi kerana dikatakan meletakkan sedikit dos kokain dan dipasarkan sebagai ubat untuk mengubati pening kepala dan lesu tubuh badan.

Persaingan minuman soda

sejarah 7 up 796

Kira-kira setengah abad kemudian, pada tahun 1929, sejenis minuman berperisa lemon yang dikenali sebagai 7-Up pada masa kini telah diperkenalkan. Sama seperti jenama-jenama minuman soda yang dijual sebelum itu, minuman ini juga dipasarkan dengan dakwaan mampu menjadi penawar pelbagai penyakit.

Semuanya bermula pada tahun 1890 apabila Charles Leiper Grigg yang berusia 22 tahun bekerja dalam bahagian pemasaran dan jualan di sebuah kilang penghasilan minuman ringan yang dimiliki oleh Vess Jones. Di syarikat tersebut, beliau telah mencipta minuman pertamanya yang diberi nama "Whistle".

Malangnya, kerana mempunyai konflik dengan pihak pentadbiran syarikat tersebut, beliau terpaksa bekerja dengan sebuah syarikat pembuatan minuman ringan yang lain pula. Di syarikat baru ini, beliau telah mencipta sejenis minuman baru berperisa oren. Minuman ini diberi nama "Howdy".

Menyedari potensi dan peluang besar yang ada dalam dunia perniagaan minuman ringan berkarbonat ini, beliau telah berjaya mendapatkan pelaburan daripada Edmund Ridgway untuk menubuhkan syarikat pembuatan minuman ringannya sendiri. Syarikat ini diberi nama Howdy Company.

Walau bagaimanapun, minuman berperisa oren yang dihasilkannya sukar dijual. Beliau masih tidak dapat menandingi Orange Crush, satu lagi jenama popular minuman berperisa oren. Beliau bukanlah  seorang yang mudah mengaku kalah dan telah mengambil keputusan untuk menghasilkan ramuan minuman baru.

Kelahiran minuman 7-Up

7 up klasik

Pada Oktober 1929, Charles Leiper Grigg akhirnya telah berjaya menghasilkan sejenis minuman yang diberi nama “Big-Label Lithiated Lemon-Lime Sodas” sebelum namanya ditukar kepada “7-Up Lithiated Lemon Soda”.

Walaupun terdapat 600 lagi minuman soda berperisa lemon dan lime di pasaran, produknya ini tetap berjaya menarik perhatian ramai. Lebih menarik, produknya ini hanya memasuki pasaran 2 minggu sebelum kejatuhan pasaran saham pada tahun 1929. Menjelang 1936, jenama minuman ini disingkatkan kepada "7-Up" sahaja, kekal sehingga ke hari ini.

Sehingga ke tahun 1950, minuman 7-Up ini dikatakan mengandungi bahan lithium citrate, sejenis dadah yang membantu menstabilkan emosi dan digunakan pada masa kini untuk merawat penyakit bipolar disorder dan depresi. Oleh itu, 7-Up pada awal kemunculannya telah dipasarkan sebagai minuman yang membantu menstabilkan emosi.

Strategi ini menjadi memandangkan ketika itu merupakan era Great Depression dan pengambilan minuman ini pada ketika itu membantu mengurangkan tekanan perasaan.

Kontroversi bahan Lithium citrate 

dadah dalam 7 up

Terdapat banyak teori yang wujud mengenai asal-usul nama "7-Up" itu sendiri. Antara teori yang popular adala ia berasal dari 7 bahan yang digunakan untuk menghasilkan minuman ini iaitu air berkarbonat, gula, asid sitrik, minyak citrus, sodium citrate dan lithium citrate. Sementara itu, perkataan "Up" pula kerana fungsi minuman ini untuk membangkitkan mood seseorang.

Lithium citrate buat pertama kalinya digunakan oleh William Hammond pada tahun 1871 untuk merawat masalah mental. William Hammond merupakan seorang Professor di bahagian Penyakit Otak dan Sistem Saraf di Bellevue Hospital Medical College, New York.

Pada tahun 1894, Frederik Lange, seorang ahli psikiatri telah merujuk secara eksplisit tentang penggunaaan litium dalam rawatan kemurungan melankolik. Dalam sebuah artikel di akhbar The New York TImes pada tahun 2014, pakar psikiatri Anna Fells menulis bahawa "Litium dalam dos kecil boleh memberi kesan yang baik dan membantu mengurangkan kadar bunuh diri dengan ketara dan mungkin juga menggalakkan kesihatan otak dan meningkatkan mood". 

Walau bagaimanapun, penggunaan lithium dalam bir dan minuman ringan telah diharamkan pada tahun 1948 oleh pihak U.S. Food and Drug Administration. Disebabkan pengharaman ini, maka minuman 7-Up ini terpaksa diformulasikan semula 2 tahun kemudiannya.

Charles Leiper Grigg berjaya menjadikan minuman 7-Up sebagai minuman ketiga popular pada tahun 1940-an dan beliau membangunkan syarikat dan jenamanya ini sehinngga ke akhir hayat. Selepas kematiannya, anaknya pula telah mengambil alih syarikat.

Jika dilihat kepada sejarah penciptaan minuman 7-Up ini, ianya hampir mirip kepada penciptaan Coca-Cola dimana kedua-duanya mengandungi bahan terlarang dan didakwa mampu mengubati pelbagai penyakit. Walaupun kedua minuman ini kini hanya menggunakan bahan yang dibenarkan, itu sama sekali tidak bermakna anda boleh kerap mengambilnya kerana minuman berkarbonat sememangnya tidak baik untuk kesihatan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. HuffPost
  3. Gizmodo



Hakcipta iluminasi.com (2017)