Oleh pada 20 Mar 2018 kategori

Bangi kini adalah destinasi pilihan bagi ramai peminat pakaian berkonsepkan Muslimah khasnya, dengan banyak pembukaan butik-butik menjual pakaian daripada yang semurah-murah yang mungkin, sehingga yang beratus harganya.

Selain itu Bangi juga agak terkenal sebagai bandar Islamik. Label itu diperkukuhkan lagi dengan  menjadi ibu pejabat pusat perubatan Islam terkenal di Malaysia, Darussyifa selain mempunyai antara masjid paling aktif dan meriah di Selangor, iaitu Masjid al-Hasanah atau nama popularnya, Masjid Hijau di kalangan penduduk Bangi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lokasi Bangi yang terletak agak jauh dari kesibukan kota, bersempadan dengan bandar Kajang dan Nilai menjadikan Bangi lokasi ideal untuk dijadikan kediaman dan peluang ini direbut ramai individu. Bangi kini adalah antara kawasan paling bernilai tinggi di Selangor dengan nilai hartanahnya yang semakin lama semakin di luar jangkauan.

Semua itu bermula daripada sebuah pekan kecil yang wujud lebih 100 tahun dahulu. Mari kita belajar serba sedikit tentang sejarah Bangi.

Asal-Usul nama Bangi

penduduk bangi di depan balai raya awal 1960an

Tidak ada pendapat sahih daripada mana datangnya nama Bangi, dengan beberapa pendapat diajukan bagi menjawab persoalan ini. Menurut salah satu kisah warisan turun-temurun, nama Bangi berpunca daripada perkataan 'bangai', sebuah label yang digunakan untuk golongan Istana yang diusir keluar.

Kisahnya, terdapat pertelingkahan di Istana Klang yang memaksa Daeng Jamil, salah seorang pembesar istana ketika itu diusir keluar bersama pengikutnya. Daeng Jamil membawa diri ke Muar sementara pengikutnya pula membawa diri ke kawasan tenggara Selangor, lalu membuka penempatan baru di sana. Mereka ini digelarkan 'orang-orang bangai' yang membawa maksud diusir dari istana jadi penempatan itu dipanggil tempat orang bangai.

Kekliruan penggunaan tulisan jawi membuatkan pihak British tersilap membacanya dan merekodkan nama kawasan itu sebagai 'Bangi' yang kekal digunakan sehingga sekarang.

Selain itu, terdapat pendapat-pendapat lain yang mengatakan nama Bangi berpunca daripada tanaman serai wangi yang banyak didapati di sekitar sungai di kawasan tersebut, dengan perkataan Bangi datangnya daripada perkataan Wangi dalam sebutan pelat.

Nama Bangi juga dikatakan berkemungkinan datang daripada aktiviti menjemur ikan kering di tepi sungai, yang menyebabkan bau busuk di kawasan tersebut. Kawasan itu mula terkenal sebagai kawasan yang 'babangai' ataupun 'berbau ikan' dengan sebutan itu berubah menjadi Bangi. Namun pendapat ini agak lemah berikutan tiada kewujudan bukti perkataan 'babangai' memang membawa maksud tersebut.

Dua Bangi

pekan bangi masih kekal

Pekan Bangi dibuka pada tahun 1906 dan masih lagi tegak berdiri sehingga ke hari ini, dengan tidak banyak perubahan besar dilakukan pada pekan tersebut. Pekan Bangi atau 'Bangi Lama' terletak agak ke dalam sedikit dengan 6 kilometer jaraknya, berbanding Bandar Baru Bangi yang kini menjadi tumpuan ramai orang.

Menghormati tradisi dan semangat warisan sejarah, Bangi masih cuba mengekalkan 18 lot kedai yang dibuka lebih 100 tahun dulu dan masih digunakan sehingga kini. Rekaan asalnya yang dibina menggunakan papan juga tegak berdiri gagah. Dulu deretan kedai ini menawarkan jualan songkok, capal, getah dan kedai kopi. Deretan lot kedai tradisional ini pernah terbakar sebelum diperbaiki semula dengan bantuan kerajaan penjajah British dan peniaga Cina ketika itu.

Stesen keretapi yang telah wujud di situ masih dikekalkan dan digunakan sebagai stesen komuter ketika ini, dengan beberapa fasiliti lain seperti balai polis, masih lagi kekal di lokasi asal. Bagi anak jati Bangi, tidak wujud istilah 'Bangi Lama' - kerana itulah Bangi yang mereka kenali, ibarat Bandar Baru Bangi adalah adik kecil kepada pekan Bangi.

Bandar Baru Bangi

risalah bandar baru bangi

Digelarkan secara rasmi sebagai bandar ilmu pada tahun 2008, pembukaan Bandar Baru Bangi bermula semasa kawasan tersebut masih lagi dikenali sebagai West Country Estate, sebuah ladang kelapa sawit berkeluasan 5118 ekar. Berikutan pengenalan Dasar Ekonomi Baru yang berhasrat ingin menyusun dan membuka penempatan kaum Melayu dalam kawasan bandar, West Country Estate diambil alih oleh kerajaan secara berperingkat dari tahun 1972 sehingga tahun 1978.

Pelancaran fasa pertama Bandar Baru Bangi yang dinamakan Seksyen 1, dilakukan pada tahun 1974 melibatkan pembinaan 200 unit rumah kos rendah, sederhana dan tinggi oleh kerajaan Selangor ketika itu. Pada fasa terakhir pembinaan Bandar Baru Bangi pada tahun 2007, kawasan tersebut sudah mempunyai 16 seksyen yang dipenuhi unit kediaman, unit kedai, kawasan perindustrian serta kompleks-kompleks pejabat.

Penduduk awal Bandar Baru Bangi

ukm satu masa dulu

Siapakah penduduk paling awal Bandar Baru Bangi? Keluarga-keluarga bertuah yang menjadi penduduk awal bandar baru itu adalah pekerja-pekerja Universiti Kebangsaan Malaysia yang baru dibuka ketika itu. UKM pada asalnya beroperasi di Lembah Pantai sebelum berpindah ke Bandar Baru Bangi pada tahun 1977.

Lokasi tempat UKM dibina asalnya bernama Bukit Puteri yang menjadi kawasan tempat tinggal suku kaum Temuan. Namun atas usaha membuka Bandar Baru dengan keperluan menggunakan lokasi tersebut sebagai lokasi baru UKM, masyarakat Temuan yang menetap di situ dipindahkan daripada tanah asal mereka secara mandatori pada tahun 1974, bagi membolehkan pembinaan kampus baru UKM dimulakan.

Sekiranya anda ke UKM, anda akan mendapati wujud sebatang jalan di dalam kawasan kampusnya yang dinamakan Jalan Temuan, berdekatan dengan Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik. Ini adalah sebagai satu penghormatan ke atas pengorbanan suku kaum Temuan yang dipaksa berpindah, agar generasi masa depan Malaysia dapat menimba ilmu dengan lebih kondusif.

Bagi kumpulan pertama penduduk Bandar Baru Bangi, kehidupan mereka di Seksyen 1 pada mulanya agak menakutkan ekoran ketiadaan bekalan elektrik. Kampus UKM di Bangi dibuka pada Oktober 1977 yang memerlukan pekerja berpindah ke Bandar Baru Bangi lebih awal, namun bekalan elektrik hanya mula disalurkan pada bulan Mac 1978. Buat sementara, penduduk awal Bandar Baru Bangi terpaksa bergantung sepenuhnya kepada lampu minyak tanah pada malam hari bagi menyelesaikan rutin harian.

Ketiadaan jaringan pengangkutan awam serta kadar pemilikan kenderaan yang rendah menyukarkan corak hidup penduduk awal Bandar Baru Bangi, sehinggakan ramai yang terpaksa berjalan kaki ke sana sini dalam menyelesaikan urusan.

Bangi zaman moden

persimpangan bangi baru yang dibuka

Kini pembangunan Bangi boleh dikatakan sudah sampai ke garisan penamat, dibantu kemajuan pesat di kawasan sekitarnya seperti Nilai, Semenyih dan Kajang. Pembukaan KLIA, lebuhraya PLUS serta beberapa laluan yang memendekkan perjalanan menjadikan Bangi tumpuan ramai orang. Bangi juga menjadi tempat terletaknya dua hospital Islam swasta yang menawarkan rawatan berkualiti serta beberapa institusi pendidikan lain daripada peringkat rendah sehinggalah ke tahap tertiari, seiring dengan label bandar ilmu yang dikenakan.

Walaupun begitu, dek kepesatan pembangunan serta pembukaan terlalu banyak pusat perniagaan, masalah kesesakan lalu lintas kini kerap menjadi isu utama penduduk di situ selain daripada masalah kekurangan kawasan parkir kereta, terutamanya pada hujung minggu, sedikit sebanyak mengurangkan kedamaian yang pernah dirasai penduduk awal Bandar Baru Bangi.

Walau apa pun, tidak dapat dinafikan Bangi dan Bandar Baru Bangi merupakan antara bandar yang patut dijadikan contoh pembukaan bandar-bandar lain, berikutan kedudukannya yang baik, struktur bandar yang kemas dan kemudahan fasiliti yang mencukupi. Harapan kami agar Bangi tidak jadi terlalu komersial. Biarlah Bangi kekal sebagai sebuah tempat yang tenang dan damai, serta dekat dengan ciri-ciri sebuah bandar Islamik yang layak dijadikan acuan bandar lain di negara kita.

Rujukan

Bangi, Tempat Putera Terbuang




Hakcipta iluminasi.com (2017)