logo bercelona jersic03673605a4852919d0a16d399eb79ab

Rekaan logo menjadi satu elemen cukup penting dalam membentuk identiti pasukan bola sepak. Banyak yang boleh diperkatakan mengenai sifat-sifat sesebuah kelab bola sepak hanya berdasarkan kepada rekaan logonya dan ini membuatkan logo merupakan elemen yang paling perlu diperhalusi.

Berikut merupakan 10 lencana terbaik kelab bola sepak dunia yang kami pilih, kerana mempunyai rekaan berkualiti serta mampu memberikan impak besar hanya berdasarkan logo.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. AJAX AMSTERDAM

ajax logo

Logo kelab terkenal Ajax Amsterdam ini sehingga pada tahun 1928, memaparkan seorang pemain bola sepak tetapi ditukarkan untuk memaparkan perwira Greek, Ajax yang direka menggunakan lakaran realistik. Pada awal tahun 1990, kelab Ajax memodenkan rekaan logo mereka seperti apa yang kita lihat ketika ini, dengan lakaran Ajax dibuat menggunakan 11 garisan melambangkan 11 orang pemain yang berada di atas padang.

2. INTER MILAN

intermilan logo

Rekaan logo pasukan Inter Milan yang kita lihat ketika ini, adalah yang paling mirip dengan logo pasukan tersebut yang pertama sekali diperkenalkan. Menggunakan rekaan huruf yang diubah supaya menepati bentuk bulatan, logo Inter Milan yang terbaru diringkaskan lagi supaya penggunaannya lebih sesuai dengan era moden.

3. LIVERPOOL

liverpool logo

Memang sejak mula logo pasukan Liverpool memaparkan rekaan burung yang digelarkan Liver. Rekaan pagar yang dikenali dengan nama Shankly Gates dan slogan 'You'll Never Walk Alone' ditambah pada tahun 1992 sempena sambutan 100 tahun kelab itu. Hanya selepas berlakunya tragedi Hillsborough yang mengorbankan ramai penyokong kelab itu, dua obor api ditambah mengapit perisai berhias burung Liver itu. Dalam senarai ini, logo Liverpool dimasukkan kerana kami merasakan rekaannya berjaya kelihatan klasik dan pada masa yang sama, tetap kelihatan moden.

4. AS ROMA

as roma logo

Dari jauh, logo kelab AS Roma kelihatan seperti badak sumbu, tetapi apabila dilihat dari dekat barulah kita menyedari logo itu sebenarnya memaparkan dua orang anak manusia berstatus bangsawan sedang menyusu dengan seekor serigala. Dua anak kembar bernama Romulus dan Remus ini terpaksa ditinggalkan ibu mereka dalam sungai dengan ibu serigala itulah yang membesarkan kedua-duanya. Dipendekkan kisah, selepas besar Romulus dan Remus bergaduh mahu menjadi tuan punya kota, dengan Romulus memenangi pertarungan itu dan menamakan bandar itu Roma.

5. FC BARCELONA

logo bercelona

Logo pasukan Barcelona agak konsisten rekaannya dengan asas rekaan sama telah dikekalkan semenjak tahun 1910. Rekaan St.George Cross dengan jalur kuning dan merah dikekalkan yang menandakan bandar Barcelona dan Catalonia. Warna yang lebih terang dengan garisan lebih ringkas digunakan dan semenjak 2002, logo pasukan Barcelona masih belum dirasakan perlu diubah.

6. BIRMINGHAM CITY

birmingham city logo

Salah satu rekaan logo paling berjaya adalah rekaan logo bagi kelab bola sepak Birmingham City FC yang masih lagi segar walaupun sudah berusia. Dipilih daripada ratusan penyertaan ketika pertandingan mencipta logo bagi kelab itu dianjurkan, pada tahun 1972 - logo yang memaparkan simbol bumi dengan bola sepak dililit oleh riben dengan tulisan nama kelab serta tahun penubuhannya, tetap kelihatan seiring dengan trend rekaan zaman moden.

7. CHELSEA FC

chelsea logo

Mempunyai salah satu logo paling hambar sebelum ini, pengenalan logo baru pasukan Chelsea FC pada tahun 2005 yang lebih mirip kepada logo asalnya merupakan satu langkah tepat. Logo ini memaparkan seekor singa berwarna biru yang sebenarnya diambil daripada simbol keluarga Cadogan yang memerintah kawasan tersebut.

Singa tersebut pula memegang sebatang tongkat berwarna emas yang melambangkan perana Abbot of Westminster kepada daerah tersebut. Pada rekaan semula logo ini pada tahun 2005, tongkat tersebut dijadikan sama warna dengan singa tersebut bagi meringkaskan rekaannya agar tidak terlalu banyak warnanya.

8. JOHOR DARUL TAKZIM

jdt logo

Tidak sah senarai ini tanpa logo pasukan dari Malaysia.

Sebelum menggunakan logo sekarang, harap maaflah kalau kami katakan logo Darul Takzim FC pada tahun 2013 sebenarnya layak masuk senarai ini. Tetapi penjenamaan semula pasukan JDT dengan pengenalan logo baru yang memaparkan harimau yang lebih garang, mampu membuatkan mana-mana pasukan gerun melihatnya.

3 bintang yang terletak pada logo itu pula, pada awalnya melambangkan proses 3 kali penjenamaan JDT dilakukan daripada nama PKENJ FC, kepada Johor FC dan seterusnya kekal sebagai Johor Darul Takzim FC, pasukan yang dibenci dan digemari seluruh rakyat Malaysia.

9. JUVENTUS

juve badges

Bila orang Malaysia menyebut tentang pasukan J, kita selalu merujuk kepada JDT. Bagaimanapun, pasukan Juventus nampaknya lebih jauh ke depan dalam memodenkan rekaan logo mereka supaya sesuai dengan era moden. Dalam masa yang sama, logo terbaru pasukan Juventus ini sangat sesuai dan mudah untuk diletakkan di mana-mana saja, tanpa banyak masalah dalam bentuk prinsip rekaan akan timbul.

Apa yang mengkagumkan, logo lama Juventus yang diguna pakai sebenarnya merupakan salah satu logo terbaik pasukan bola sepak dunia. Keberanian Juventus mengolah identiti mereka harus dipuji dengan rekaan logo baru mereka, dilihat lebih bersifat minimalistik namun sebenarnya tetap berjaya membawa elemen logo lama ke dalam sentuhan lebih segar.

Adakah logo-logo bersifat sedemikian yang lebih ringkas, tanpa banyak warna dan elemen akan menjadi pilihan kelab bola sepak di masa akan datang? Kita sama-sama tunggu dan lihat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)