Kredit foto: Youtube Astro Awani

Penyanyi Elyana akui terkejut dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menggunakan kisahnya bertarung nyawa melawan kanser untuk kepentingan peribadi.

Elyana, 30, berkata, ada pihak yang mendakwa kononnya berkawan baik dengannya, tak kurang yang mengaku pernah belajar di menara gading bersama sedangkan dia tidak pernah menyambung pengajian.

"Ramai yang mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka kawan baik saya dan sudah lama tahu mengenai kanser saya, serta menyimpan rahsia itu selama ini.

"Saya tidak pernah memberitahu mereka, apatah lagi bercakap mengenai hal ini kerana tidak terlalu rapat," jelas Elyana dalam sebuah kiriman Instagram.

Dalam entri yang sama, penyanyi Kalis Rindu itu mendedahkan beberapa nama sahabat baiknya yang mengetahui tentang penyakit itu daripada mulutnya sendiri.

Mereka ialah Sasqia Dahuri (pelakon), Anita Baharom (rakan pelakon dalam drama Dunia Baru), Anne Ngasri (rakan pelakon dalam drama Dunia Baru), Sherry Ibrahim (rakan pelakon dalam drama Renjis) dan Zuhairi Zainal (pengurus).

saya terpaksa jelaskan perkara ini kerana ramai yang keliru lagi pendedahan terbaru elyana 2

Kredit foto: Instagram Sasqia Dahuri

Terdahulu, Elyana yang tersingkir di minggu kelima Gegar Vaganza 4 pada Ahad lalu, meruntun emosi penonton apabila mendedahkan dia adalah penghidap kanser kelenjar tahap empat.

Susulan itu, peminat serta rakan artis tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepadanya menerusi media sosial.

Dalam pada itu, penyanyi Ironi ini berkata, niatnya memuat naik kiriman itu tidak sama sekali ingin mengata sesiapa, sebaliknya hanya mahu memberikan pencerahan agar tiada pihak yang keliru.

"Bukannya apa, kerana mereka bukan orang yang benar-benar tahu mengenai saya, jadi takut tersalah beri maklumat. Itu saja.

"Yang cakap saya makan produk mereka jual pun banyak. Janganlah ambil kesempatan dan berbohong. Tak baik. Saya takut ramai yang tertipu saja.

"Tetapi saya OK saja. Saya terpaksa jelaskan perkara ini kerana ramai yang keliru dan bertanya pada saya. Terima kasih buat mereka yang mendoakan saya. Semoga Allah membalas kebaikan anda semua," katanya lagi.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)