Kredit foto: Instagram Elyana

Kekejangan di bahagian kaki kiri mengakibatkan penyanyi Elyana mengalami kesukaran berjalan serta hanya mampu terbaring di rumah.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Ironi itu berkata, dia mula merasai kesakitan selepas menjalani rawatan kimoterapi pada tahun lalu.

keadaan kesihatan elyana makin perit 2

Kredit foto: Instagram Elyana

"Kalau nak tahu, saya dekat rumah tidak gembira seperti yang anda lihat di laman sosial tapi yang sebenarnya saya hanya terbaring, tak boleh bergerak langsung.

"Urat kaki belah kiri sakit. Kejang, tak boleh jalan. Tidur sakit, berjaga sakit, berdiri sakit. Tak tahu macam mana, sampai doktor tak tahu buat apa.

"Saya pernah buat kimoterapi sebab itu urat-urat rasa terbakar. Saluran pendarahan tu dah tak lancar macam biasa," cerita Elyana kepada portal Mstar Online.

Beliau yang menghidap kanser limfoma tahap empat, berkata, ada menjalani rawatan kimoterapi pada Julai tahun lepas, bagaimanapun hanya sekali sahaja.

Seterusnya, ibu kepada seorang cahaya mata, Cinta Sumayyah, ini nekad menghentikan rawatan tersebut buat seketika kerana ingin mencuba teknik perubatan yang lain iaitu akupuntur.

Elyana memberitahu, sebelum keluar bekerja, dia akan membuat persiapan lebih awal daripada sudut kesihatan untuk tidak mengganggu tugasannya.

keadaan kesihatan elyana makin perit 3

Kredit foto: Instagram Elyana

"Buat masa ini, saya berhenti lakukan kimoterapi dan saya ada cuba berubat cara akupuntur. Kalau nak kerja, saya kena buat persiapan awal seminggu.

"Kena makan ubat dan rehat secukupnya. Barulah saya boleh kerja kalau tak susah," katanya.

Terdahulu, beliau menggugurkan kandungan berusia dua bulan iaitu pada 7 Mac lalu kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Sementara itu, bekas peserta Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini memohon agar netizen dapat mendoakan yang terbaik untuk kesihatannya pada masa mendatang.

"Saya tak nak tunjuk dekat orang saya tengah sedih. Tapi itu sahaja cara saya boleh bagitahu peminat bila mereka tanya kenapa saya diam.

"Salah satu sebab saya beritahu penyakit ini sebab saya harapkan doa orang ramai," katanya.

Sebelum ini, Elyana meruntun emosi ramai apabila mendedahkan menghidap kanser limfoma atau kelenjar tahap empat sewaktu tersingkir daripada konsert GV4 tahun lalu. Beliau sudah menderita penyakit itu selama tujuh tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)