Oleh pada 03 Sep 2019 kategori

noor nabila sharnaaz

Kredit foto: Instagram Noor Nabila & Instagram Sharnaaz Ahmad

    

Noor Nabila mendedahkan perpisahan yang bakal dilalui olehnya bersama suami, pelakon Sharnaaz Ahmad merupakan hasil persetujuan bersama.

Nabila atau nama penuhnya, Noor Nabila Mohd Noor, 35, berkata, keputusan itu dicapai selepas usaha memulihkan hubungan mereka menemui jalan buntu.

“Saya agak terkejut dengan kenyataan balasnya (Sharnaaz), seolah-olah dia tidak menjangkakan perkara ini (permohonan cerai). Sedangkan, kami bersetuju untuk bercerai selepas usaha untuk membaik pulih perkahwinan tidak berjaya.

“Selain itu, kami juga ingin menyelesaikan permasalahan ini secara baik, damai, aman dan waras. Semua itu dilakukan demi masa depan anak kami, Jebat Jayden.

“Apa sahaja yang terjadi, memang anak yang akan menjadi keutamaan kami, sekarang,” katanya kepada portal BH Online.

Kakak kepada pengacara Neelofa itu menambah, dia mendapat surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp. Malah peguam suaminya itu turut memberikan butiran sama menerusi e-mel.

    

suami noor nabila

Kredit foto: Instagram Noor Nabila

     

“Saya menerima surat perjanjian cerai itu daripada Sharnaaz pada 26 Ogos lalu. Dia juga meletakkan beberapa terma perceraian

“Selepas berbincang dengan peguam saya, kami (saya dan peguam) bersetuju untuk memfailkan kes ini di mahkamah pada 27 Ogos. Buat masa ini, kami sedang menunggu hari perbicaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Nabila yang juga Pengarah Urusan NH Prima International, enggan mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan keretakan rumah tangga mereka yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sikap panas baran suami dan kehadiran orang ketiga.

“Saya tidak mahu komen bab itu. Kami pun sudah tidak tinggal sebumbung, sejak Februari tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, Nabila dalam sebuah pengakuan memaklumkan sudah memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz, 34, susulan spekulasi yang bertebaran.

Manakala Sharnaaz pula berkata, dirinya reda sekiranya perpisahan dimahukan isterinya sebagai jalan terakhir isu rumah tangga mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki bernama Jebat Jayden pada 30 Ogos 2018.

    

Sumber berita: BH Online

     



Hakcipta iluminasi.com (2017)