Anda sebenarnya boleh membeli iPhone dari dalam talian dan menunggu ia dihantar kepada anda atau memilih lokasi tertentu untuk anda pergi mengambilnya sendiri.
Namun, bagi peminat setia produk Apple, tradisi adalah tradisi. September bermaksud bulan pelancaran produk terbaru iPhone. Ini bermakna akan akan ada barisan yang panjang di luar Apple Store di seluruh dunia untuk mendapatkan produk baru secepat mungkin. Pada tahun ini, hari itu jatuh pada Jumaat, 20 September 2019.
BESARKAN TEKS A- A+
Di Apple Store Sydney, Australia, pelanggan telah menunggu seawal jam 3 pagi iaitu 5 jam sebelum gedung itu dibuka bagi menjadi orang pertama memiliki iPhone 11 di Australia. Beratus-ratus pembeli yang lain beratur di belakangnya dengan niat yang sama.
Pelancaran iPhone di London
Di Singapura, pembeli telah beratur sehari lebih awal daripada hari pelancaran iPhone 11. Di New York pula, dianggarkan lebih daripada 700 orang beratur untuk mendapatkan produk terbaru Apple ini. Keadaan ini boleh dikatakan berlaku di semua kedai Apple di seluruh dunia.
Produk terbaru iPhone 11 juga telah dilancarkan di pasaran China pada hari yang sama. Namun, sambutan kali ini berbeza dengan produk-produk telefon pintar keluaran Apple sebelum ini.
Tinjauan mendapati, hanya sedikit sahaja peminat die-hard produk Apple yang kelihatan beratur di luar kedai untuk menjadi pembeli terawal iPhone 11.
Pelancaran iPhone 11 di Beijing, China.
Ia begitu berbeza berbanding ratusan pembeli yang sanggup berkhemah untuk produk sebelum ini. Hanya beberapa dozen sahaja pembeli yang beratur jika digabungkan seluruh kedai-kedai Apple di Shanghai dan Beijing.
Sebelum ini, beratus-ratus pembeli sanggup menunggu selama berjam-jam lamanya untuk mendapatkan produk terbaru dari Apple. Ini mungkin disebabkan bahang daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlaku baru-baru ini.
Prestasi jualan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat itu sedang dipantau dengan teliti di pasaran telefon pintar dunia. Ini kerana, Apple telah ketinggalan di belakang pesaing-pesaing yang menghasilkan produk yang lebih mudah dan penuh dengan ciri-ciri menarik beberapa tahun kebelakangan ini.
Kebanyakan penggemar produk Apple memilih untuk membeli iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max melalui dalam talian apabila pra-jualan telefon pintar itu dibuka pada minggu lepas. Harga siri terbaru iPhone 11 bermula dari USD 699 (RM 2918) hingga USD 1,099 (RM 4588).
Penganalisa berkata permulaan pra-jualan iPhone 11 adalah lebih baik berbanding kitaran terakhir setahun yang lalu. Laman web e-dagang China iaitu JD.com membuat kenyataan bahawa hari pertama pra-jualan siri iPhone 11 naik 480% berbanding iPhone XR tahun lepas.
Antara pelanggan yang membeli iPhone 11 di salah satu kedai Apple di Beijing pada hari pelancaran adalah seorang programer yang hanya mahu dikenali sebagai Liu. Dia sebenarnya telah mengumpul semua telefon pintar siri Apple sejak rangkaian 3G lagi.
Liu sangat tertarik dengan iPhone 11 Pro yang agak mahal dan mempunyai tiga kamera di bahagian belakang. Liu berkata, kamera iPhone 11 adalah lebih baik pada waktu malam dan imejnya lebih jelas.
Pelanggan lain pula agak risau sekiranya siri model iPhone 11 tidak boleh menggunakan rangkaian (network) generasi kelima atau 5G. Ini akan membuatkan produk Apple menjadi ketinggalan di belakang produk 5G lain seperti yang dikeluarkan Huawei Technologies dan Vivo.
Mereka berharap agar produk Apple juga boleh menyaingi produk 5G yang lain pada keluaran seterusnya. Seorang lagi pembeli iPhone 11 berkata, 5G mungkin akan menjadi teknologi yang dipakai secara meluas di bandar besar seperti Beijing pada akhir tahun hadapan. Sekiranya Apple tidak melakukan sesuatu maka mereka akan jauh ketinggalan.
Huawei siri Mate 30
Pelancaran iPhone 11 di kedai-kedai Apple di seluruh China dijalankan sehari selepas pembuat telefon pintar Huawei, melancarkan siri terbaru mereka iaitu Mate 30.
Siri terbaru Huawei dikatakan lebih kompak, mempunyai kamera yang lebih sensitif dan skrin melengkung (wrap around) yang lebih jelas berbanding iPhone terbaru walaupun model Huawei agak membimbangkan kerana kekurangan akses kepada aplikasi Google yang popular.
Namun, Huawei telah mengalami lonjakan sokongan daripada pengguna di China selepas jenama itu menjadi mangsa dalam perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Sementara itu, pasaran jualan Apple di China yang merupakan penyumbang terbesar mereka terus menunjukkan penurunan.
Rujukan:
1. Pelancaran iPhone 11 di seluruh dunia