Oleh pada 17 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Beautifulnara & BH Plus

Video berdurasi 41 saat yang memperlihatkan pasangan Izara Aishah dan Adib Khalid meninjau kereta mewah Rolls-Royce, mengundang dakwaan kononnya kendereaan itu adalah hadiah perkahwinan mereka.

Adib, 27, bagaimanapun menjelaskan, ia hanyalah kereta rasmi yang bakal digunakan sepanjang majlis kahwin mereka.

"Abang saya, Anas, memang terbabit dengan perniagaan kereta mewah dan kebetulan, Rolls-Royce adalah antara jenama yang dijual mereka. Justeru untuk tujuan promosi, syarikatnya menaja kenderaan berkenaan untuk kami gunakan sepanjang majlis perkahwinan ini berlangsung.

"Kalau ada sesiapa ingin membeli kereta itu selepas ini, bolehlah menghubungi saya," ujarnya sambil ketawa, menurut laporan portal BH Online .

Kata anak tiri kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, rakaman video pendek yang tular di media sosial itu juga adalah antara babak bagi sebuah program televisyen bertemakan perkahwinan.

"Kebetulan, majlis kami nanti akan disiarkan dalam sebuah program perkahwinan, jadi proses meninjau kenderaan terbabit juga adalah antara babak menarik dalam program berkenaan," katanya.

Ditanya tentang perasaannya yang bakal memegang status suami, Adib berkata, setakat ini dia masih mampu bertenang.

"Buat masa ini saya masih lagi okay, tetapi tidak tahulah bagaimana keadaannya, esok. Saya ada jugalah berlatih cara hendak melafazkan akad nikah. Harapan saya, biarlah majlis itu berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya yang juga memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studio.

Izara dan Adib akan disatukan hari ini dalam sebuah majlis pernikahan tertutup.

Diikuti majlis resepsi di sebuah hotel di ibu kota, Ahad ini.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)