Kredit foto: Instagram Rody Kristal

Pemain gitar kumpulan Kristal, Rody selamat mengikat tali pertunangan dengan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman pada Sabtu.

Majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat itu berlangsung secara sederhana di kediaman keluarga Izwani di Kulai, Johor.

Menurut Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, beliau bercadang untuk bertunang dalam tempoh enam bulan sebelum melangsungkan perkahwinan pada April tahun hadapan.

"Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan lancar. Selepas ini, saya hidup sebagai tunangan orang dan perlu menyimpan duit untuk majlis perkahwinan kami nanti.

"Selepas perbincangan keluarga diadakan, insya-Allah kami akan bernikah pada April 2018. tarikhnya saja yang belum ditentukan," kata pemuzik berusia 31 tahun itu. 

Dalam pada itu, Izwani atau nama sapaannya Niena sempat berkongsi luahan perasaan di laman Instagram.

Menerusi entri berkenaan, wanita berusia 30 tahun ini melahirkan kesyukuran kerana akhirnya bergelar tunangan orang.

Dalam masa yang sama, dia mengakui debaran yang dirasai saat ibu Rody menyarungkan cincin ke jarinya.

"Kalau ambil penalti, tahulah nak buat muka garang atau serius. Tetapi kalau bab ini, saya tak tahu nak buat wajah ayu. Maaf makcik, tangan penjaga gol kasar sangat," guraunya.

Dalam pada itu, Izwani mengambil kesempatan itu untuk memohon maaf kepada teman-teman yang tidak menerima jemputan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dengan bantuan keluarga serta rakan-rakan.

"Buat yang tidak dijemput, tunggu penalti di skor terakhir, kami akan jemput. Maaf, majlis kami diadakan secara kecil-kecilan dan tidak dapat nak jemput ramai orang," beritahunya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)