Cyborg pada asasnya adalah seseorang yang mempunyai kelebihan fizikal yang melebihi had manusia biasa dengan bantuan peranti elektronik atau mekanikal yang dipasang pada badannya.

img 20220218 121702

Cyborg atau manusia separa robot ini sering ditonjolkan di dalam filem, televisyen atau buku komik. Kini, kemunculan banyak teknologi baru yang lebih transformatif, cyborg bukanlah hanya fiksyen semata-mata.

Berikut adalah beberapa teknologi moden yang membuatkan manusia semakin hampir menjadi cyborg.

1. Rangka Luar Robotik

Sebuah syarikat teknologi iaitu Roam Robotics adalah pakar dalam penghasilan rangka luar robotik atau exoskeleton. Buat masa ini, syarikat itu mempunyai dua produk yang dipasarkan di laman sesawangnya iaitu Ascend dan Forge.

Ascend direka bentuk sebagai peranti dalam bidang perubatan. Ascend adalah pendakap robotik yang direka untuk melegakan sakit lutut dan meningkatkan pergerakan. Produk Ascend ini telah membantu pesakit menyelesaikan tugasan yang tidak dapat mereka lakukan.

Produk kedua mereka iaitu Forge pula direka untuk meningkatkan prestasi manusia. Individu seperti anggota bomba, tentera, polis dan mereka yang sukakan aktiviti luar boleh mendapat manfaat daripada peranti ini. Forge juga dilengkapi perisian kawalan yang boleh menambahkan kuasa apabila diperlukan. 

2. Jantung tiruan

Pada Februari 2021, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika meluluskan satu-satunya jantung buatan manusia dari syarikat Carmat dari Perancis yang dinamakan sebagai AESON. Ia juga adalah yang pertama dalah sejarah Amerika di mana pesakit menerima pemindahan jantung tiruan sepenuhnya.

Peranti ini direka untuk membantu pesakit yang mengalami masalah kegagalan jantung biventrikular. Dalam erti kata lain, ia berfungsi mengepam darah kerana jantung sebenar tidak dapat melakukannya.

AESON berfungsi dengan cara yang unik berbanding jantung tiruan lain. Ia ditampilkan dengan pelarasan automatik. Dengan bertindak balas kepada tanda biologi, AESON dapat menyesuaikan kadar dan aliran darah. AESON menerima kuasa daripada pek bateri yang disambungkan melalui kulit pesakit.

Reka bentuk peranti ini yang mengandungi lapisan biologi (daripada lembu) dapat menangani masalah serangan strok dan pembekuan darah setelah pemindahan jantung dilakukan.

3. Kanta sentuh digital

Peranti yang dimaksudkan kali ini dicipta oleh satu jenama besar dan terkenal iaitu Google. Pada tahun 2014, Google telah menyerahkan paten untuk kanta sentuh digital. Peranti ini pada mulanya dicipta khusus untuk memantau tahap gula dalam darah (glukosa) pesakit diabetes.

Kanta sentuh yang menakjubkan ini mengandungi sensor di tengah-tengah kanta. Ia juga mengandungi lubang yang sangat kecil bagi membolehkan air mata pengguna mencapai penderia yang tertanam dalam kanta.

Pengguna tidak lagi perlu menusuk jari mereka berkali-kali sehari bagi mendapatkan bacaan gula dalam darah kerana kanta ini dapat memeriksa paras gula dengan mudah dan tepat. Selain itu, teknologi ini berpontensi untuk membuka pintu kepada lebih banyak penemuan hebat lain.

4. Cip mikro data dalam tubuh

Dengan adanya telefon pintar dan peranti yang canggih pada hari ini, dunia kelihatan seperti "berada di tangan anda." Walaupun ia hanyalah sebuah frasa, ada orang yang mengambil serius tentang perkara ini.

Orang terawal yang direkodkan menanam cip mikro di tangan adalah seorang saintis Australia bernama Shanit Korporaal. Pada tahun 2016, dia menanam dua cip mikro yang menjadi pengganti kepada keperluannya untuk membawa kad pengenalan, kad kredit dan sebagainya. Malah, cip mikro itu mampu mengingati kata laluan kepada komputernya. 

Teknologi itu menjadi satu fenomena terutamanya di Australia, Korporaal dikreditkan sebagai pencetus gerakan yang digelar "biohacker". Gerakan itu turut mendapat sokongan beberapa syarikat teknologi lain.

5. BrainGate

Melalui penggunaan elektrod yang ditanam ke dalam otak pesakit, BrainGate telah memulihkan beberapa fungsi pada otot individu lumpuh. BrainGate pada asalnya dibangunkan oleh ahli sains saraf dan penyelidik di Universiti Brown di Providence, Rhode Island.

Peranti ini telah mengubah hidup ramai pesakit lumpuh. Menurut laporan CNBC.com pada 2017, seorang lelaki berusia 53 tahun bernama Bill Kochevar yang lumpuh selama 8 tahun telah menanam peranti BrainGate di kepalanya.

Kochevar ditanam dengan lebih 30 elektrod di lengannya dan mengambil masa kira-kira empat bulan menjalani latihan. Sejak itu, Kochevar dapat makan, minum dan melakukan beberapa perkara dengan hanya mengawalnya menggunakan otak.

Walau bagaimanapun, peranti ini masih melalui proses penambahbaikkan untuk kegunaan semua pesakit.



Hakcipta iluminasi.com (2017)