Kredit foto: Astro Gempak & Beautifulnara

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi menjelaskan pihaknya tidak dapat mengambil tindakan segera berhubung isu penahanan melibatkan aktor Datuk Farid Kamil Zahari.

Ini berikutan kes itu membabitkan pihak polis dan beberapa pihak lain.

Zed, 36, bagaimanapun berkata, dia sedang berusaha menyiasat isu tersebut dengan lebih terperinci.

"Beri kami (Seniman) masa untuk membuat siasatan lanjut atas apa yang berlaku. Kami tidak boleh terburu-buru untuk ambil sebarang tindakan.

"Dalam perkara ini, kami perlu mendapat maklumat daripada semua sudut kerana ia membabitkan polis," katanya menerusi portal Harian Metro.

Zed memperkatakan kes Farid ditahan polis kerana mengamuk dan menampar seorang anggota polis dalam sebuah kejadian di Balai Polis Trafik, Kota Damansara, Petaling Jaya, awal petang semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Seniman akan membuat kenyataan dalam tempoh terdekat sejurus memperoleh hasil siasatan penuh isu berkenaan.

Malah Zed menegaskan akan keprihatinan pihaknya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para selebriti tempatan.

"Seniman akan cuba membantu apa yang perlu untuk Farid sebaik saja selepas kami mendapat hasil laporan siasatan dilakukan.

"Apapun, Seniman tetap prihatin dalam apa jua masalah membabitkan artis tempatan meskipun hal yang kecil," katanya lagi. 

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)