Kredit foto: Mstar

Aktor Datuk Farid Kamil mendedahkan beliau kini dalam proses menjalani rawatan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Farid atau nama lengkapnya, Farid Kamil Zahari, berkata, dia bersyukur kerana urusan tersebut berjalan dengan baik dan dipermudahkan.

Pelakon Evolusi KL Drift ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang jenis rawatan yang dijalaninya.

"Alhamdulillah semuanya okey. Proses rawatan juga berlangsung dengan baik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan," kata Farid kepada portal Mstar Online.

Difahamkan, beliau menjalani rawatan kesihatan sejurus selepas dibebas reman pada 16 Januari lalu.

Beliau bersetuju untuk berhadapan pemeriksaan kesihatan selepas menerima nasihat daripada kedua adiknya, aktor Fadzil Zahari dan Dr. Anis Anwar.

Terdahulu, Farid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, pada 11 Januari lalu.

Aktor itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada tarikh sama dengan sebutan empat tuduhan jenayah lain yang dihadapinya iaitu 5 Mac depan.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)