Oleh pada 02 Jan 2019 kategori

Kam heong secara harfiah bermaksud "wangian emas" dalam bahasa Melayu. Ia adalah kaedah masakan yang dibangunkan di Malaysia.

Kam heong merupakan suatu contoh yang bagus untuk gaya masakan sebuah negara berbudaya majmuk. Keamatan aromatik dengan cili burung, daun kari, udang kering hancur, serbuk kari, sos tiram dan pelbagai perisa lain menghasilkan sos tumis serbaguna.

Ia sesuai digabungkan dengan ayam, kerang, ketam, udang dan sotong.

Udang Kam Heong

Bahan-bahan:

  • 1kg udang bersaiz besar (dicuci dahulu, dibelah belakang untuk keluarkan perut, dipotong janggut dan kaki sedikit) - jangan buang kulit.
  • Bawang merah (2 ulas), bawang putih (5 ulas) dan cili api (4 biji) - dichop
  • Daun kari (mengikut citarasa) - lebih banyak, lebih sedap
  • Bawang besar (dibelah 6) - untuk hiasan
  • Sos karamel (2 sudu besar)
  • Sos tiram (1 sudu besar)
  • Sos kicap cair (2 sudu besar)
  • Serbuk kari (2-3 sudu besar)
  • Udang kering (1 sudu makan/sudu besar)

Nota: Sukatan bahan-bahan adalah fleksibel. Boleh tambah atau kurangkan mengikut citarasa masing-masing.

Cara penyediaan:

1. Lumurkan udang yang telah dibersihkan dengan sedikit gula dan biarkan seketika.

Nota: Ini adalah tips supaya udang tersebut nampak merah dan rasa manis udang tidak hilang apabila digoreng.

2. Campurkan kesemua sos dan serbuk kari dalam sebuah bekas.

3. Panaskan minyak dan goreng udang selama 3 minit sahaja. Jika lama, isi udang akan menjadi keras.

4. Angkat dan toskan udang.

5. Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan yang dichop dan daun kari sehingga harum.

6. Masukkan sos yang telah dicampur berserta udang kering. Masak sebentar.

7. Masukkan udang yang telah digoreng tadi dan gaul rata. Masak sekitar 3 sehingga 5 minit sahaja.

8. Perasakan. 

Nota: Bagi pendapat pemilik resepi, tidak perlu tambah apa-apa kerana sudah secukup rasa. Perlu pandai seimbangkan sos.

9. Letak bawang besar sebagai hiasan.

Resepi Bonus: Ayam Cetti

ayam cetti

Kredit foto: Raja Amanina & Mas Salleh (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 1/2 ekor ayam (dipotong ikut suka) - dikunyit garamkan dan digoreng
  • Bawang merah (5 ulas)
  • Bawang putih (2 ulas)
  • Halia (1 inci)
  • Daun kari (2 tangkai)
  • Rempah kerutuk (3 sudu besar) - jika tiada boleh guna serbuk kari sahaja
  • Sos tiram (2 sudu besar)
  • Kicap manis (3 sudu besar)
  • Sos tomato (4 sudu besar)
  • Buah pelaga, kayu manis dan bunga lawang
  • Gula dan garam
  • Sedikit air

Cara penyediaan:

1. Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih dan halia.

2. Tumis bahan kisar, daun kari bersama 3 sekawan sehingga wangi.

3. Masukkan rempah kerutuk. Tumis lagi sehingga pecah minyak.

4. Masukkan sos tomato, kicap dan sos tiram.

5. Tambahkan sedikit air.

6. Masukkan ayam dan perasakan gula garam.

7. Masak sehingga sedikit pekat. Siap.

Tips: Masakan ini enak dimakan dengan nasi putih atau dicicah dengan roti.

Untuk lihat resepi lain, boleh ikuti Facebook Raja Amanina

Sumber:

1. Nurul Afzan [1, 2]

2. Raja Amanina [1, 2]

3. Wikipedia Masakan Cina Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)