Oleh pada 10 Dec 2018 kategori

Jika ada yang masih mencari idea untuk juadah rumah terbuka atau majlis keramaian, bolehlah dihidangkan bihun sup utara sebagai salah satu menu utama. Sama ada anda mahu menggunakan ayam atau daging, ikut citarasa anda.

Boleh juga menggunakan tulang rusuk, tulang belakang dan sedikit daging. Supnya pun mudah sahaja, tidak perlu letak serai atau lada hitam. Sup kosong tetapi sedap di tekak.

Antara cadangan ialah sup tulang boleh dijadikan lauk terlebih dahulu untuk makan malam. Esoknya ada kuah dan masih ada beberapa ketul tulang, maka bolehlah buat bihun sup tulang. Jimat masa dan tenaga.

Bihun sup utara ini tidak lengkap jika tiada sambal merah. Resepi sambal merah terdapat versi tumis dan juga versi lebur sahaja. Jika menggunakan nama bihun sup utara, anda jangan pula hidangkan bersama sambal kicap. Bihun sup sebegitu sudah menjurus kepada soto.

Terdapat sesetengah tempat dimana bihun sup utara dihidangkan bersama tauhu goreng. Namun, ia hanya sekadar pelengkap supaya mangkuk bihun tersebut nampak meriah.

Satu lagi yang dikira wajib untuk dihidangkan ialah lobak masin. Sedikit tips untuk mengurangkan kemasinan lobak masin tersebut, rendam sebentar lebih kurang selama 30 minit sebelum dicincang dan dihidangkan. Insya-Allah masinnya akan menjadi sesedap rasa iaitu tidak terlalu masin.

Untuk bihun pula, cuma perlu rendam dalam air sejuk dan dicampur sedikit kunyit atau pewarna kuning. Boleh juga guna serbuk saffron kerana warna kuningnya sedikit cantik.

Jika mahu cepat, anda boleh celur sahaja dalam air panas. Rebus air sehingga mendidih. Tutup api kemudian masukkan bihun. Biar selama 3 minit.

Pastikan bihun tidak terlalu lembut kerana ia akan dimakan dengan sup panas. Jika tidak, bihun tersebut akan menjadi hancur dan tidak sedap.

Bihun Sup Utara Paling Simple

Kredit foto: Dina Amalia Nordin & Aifa Nur (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 1 paket bihun
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit

Bahan di atas dicelur dengan air panas sehingga lembut

  • Setengah ekor ayam (dicincang halus)
  • 1 biji bawang besar (dikisar) dan 5 ulas bawang merah (dihiris) - untuk ditumis
  • 3 ulas bawang putih
  • Garam secukup rasa
  • Bawang goreng untuk hiasan

Bahan kisar:

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci halia

Bahan tumis:

  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 bunga lawang
  • 3 buah pelaga
  • 3 bunga cengkih
  • 3 sudu minyak

Cara penyediaan sup:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumis. Kemudian, masukkan pula bahan kisar. Tumis sehingga wangi dan naik aromanya.

2. Masukkan isi ayam yang dipotong. Pemilik resepi masuk bahagian tulang dahulu supaya empuk.

3. Tabur bawang goreng dan daun sup di dalam periuk dan tutup periuk supaya baunya meresap ke dalam kuah.

4. Sedia dihidangkan bersama bihun yang dicelur tadi.

Sambal cili:

Bahan-bahan:

  • 20 tangkai cili kering (dibuang biji dan direbus lembut)
  • 3 sudu besar serbuk cili (pemilik resepi guna jenama Faiza)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sekeping asam keping
  • 3 sudu besar (anggaran) minyak
  • Air secukupnya

Cara penyediaan:

1. Kisar semua bahan di atas sehingga halus.

2. Masukkan dalam kuali dan masak seketika sehingga pecah minyak.

3. Setelah dapur anda bersepah dengan percikan minyak hasil dari tumisan yang sudah pecah minyak tersebut, tandanya ia sudah masak.

4. Tutup api. Masukkan sedikit garam dan gula secukup rasa.

Resepi Bonus: Bihun Sup Thai

bihun sup thai

Kredit foto: Azam Yatie & Ziema Deqma (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 1 bungkus bihun atau kueteow (dicelur dengan air panas sehingga lembut) 

Bahan-bahan sup:

  • 1 bungkus bunjut sup
  • 1 ekor ayam (dipotong 4 - direbus dan dicarikkan isi ayam)
  • 3 batang kulit kayu manis
  • 1/2 batang lobak putih (dihiris membulat)
  • 2 kiub pati ayam
  • 1 bungkus bebola ayam
  • Garam
  • 10 sudu makan kicap manis
  • 3 sudu makan sos ikan
  • 2 sudu makan serbuk pasti sedap
  • 1 batang serai (dititik)
  • 2 inci halia (dihiris)
  • 3 batang akar ketumbar (dibersihkan dan dititik)

Cara-cara penyediaan sup:

1. Rebuskan ayam bersama air sehingga ayam empuk. Keluarkan ayam, ketepikan dan biarkan sejuk.

2. Tambahkan air ke dalam periuk air rebusan ayam awal tadi. Masukkan bunjut sup, halia, serai, akar ketumbar, kicap, sos ikan, gula, garam, kiub pati ayam dan serbuk pasti sedap. Didihkan.

3. Masukkan hirisan lobak putih. Akhir sekali, masukkan bebola ayam.

4. Minyak bawang putih 

➡ 3 biji bawang putih dibuang kulit dan ditumbik kasar. Goreng bersama minyak sehingga garing.

5. Cili cuka

➡ 15 bji cili padi merah dikisar bersama sedikit cuka, garam, air limau nipis, gula dan sedikit air suam.

6. Cili kering

➡ Cili kering dikisar kering sehingga hancur.

7. Kacang tanah

➡ Digoreng tanpa minyak, ditumbuk kasar.

8. Daun sup dan daun bawang sebagai hiasan.

9. Kangkung dipotong memanjang dan dicelur .

Resepi Bonus: Bihun Sup Chinese Style Versi Shiela Rusli

bihun sup chinese sytle versi shiela rusli

Sup panas sebegini amat sesuai dihirup ketika waktu hujan

Bahan-bahan:

  • 1 labu bawang putih (dicincang atau dipotong dadu)
  • Bebola
  • Udang
  • Sayur sawi
  • Lobak merah
  • Bihun

Cara-cara membuat:

1. Goreng bawang putih sehingga kekuningan.

2. Didihkan air dan masukkan bawang putih yang digorengkan tadi. Simpan sedikit.

3. Setelah air mendidih, masukkan perasa cukup rasa, sawi, bebola, lobak merah dan udang. Biarkan mesra sebentar. Siap dan boleh dihidang.

Lada kicap

  • Lada
  • Kicap
  • Cuka
  • Gula
  • Garam

Sumber:

1. Aifa Nur [1, 2]

2. Ziema Deqma [1, 2]

3. Fieza Sofea [1, 2]

4. Teratak Mutiara Kasih (linapg.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)