Rendang ayam cili padi atau api merupakan antara juadah yang biasanya dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Jika anda sudah bosan dengan versi rendang yang biasa anda sediakan, anda boleh mencuba resepi ini untuk mendapatkan kelainan.
Rendang ayam cili padi atau api ini adalah masakan Negeri Sembilan yang sememangnya popular dengan juadah serba pedas. Tidak hairanlah jika cili padi atau api sering dijadikan sebagai bahan dalam juadah mereka.
Bahan-bahan yang digunakan untuk memasak rendang ayam cili padi atau api ini hampir sama dengan bahan-bahan untuk ayam rendang pedas. Namun, perbezaan untuk rendang ayam cili padi atau api, hanya cili padi sahaja digunakan dan cili kering tidak digunakan.
Selain itu, cara penyediaannya juga tidak banyak bezanya dengan ayam rendang pedas. Cuma, terdapat pengolahan dari segi penggunaan bahannya iaitu cili padi dan cara masakannya iaitu menumis.
Jika sudah namanya rendang, gabungan bersama lemang atau ketupat tentulah yang paling lazat dan membangkitkan selera.
Rendang Ayam Cili Padi
Bahan kisar:
- Bawang besar
- Bawang putih
- Halia
- Serai
- Lengkuas
- Kunyit hidup
- Cili padi
- Belacan
- Ketumbar
- Jintan manis
Kisar semua bahan-bahan di atas sehingga lumat
Cara penyediaan:
1. Tumis bahan yang dikisar tadi sehingga garing.
2. Masukkan ayam atau daging.
3. Masukkan asam keping dan gula.
4. Sebaik agak sudah mahu kering, masukkan santan pekat.
5. Kemudian, masukkan kerisik.
6. Masukkan garam dan serbuk perasa. Tips: Pemilik resepi menggunakan serbuk Maggie secukup rasa.
7. Akhir sekali, tabur daun kunyit dan daun limau purut.
Rendang Daging Cili Padi
Bahan A (dikisar):
- Serai (5 batang)
- Lengkuas (3 inci)
- Halia (2 inci)
- Kunyit hidup (2 inci)
- Bawang merah kecil (10 biji)
- Bawang putih (5 ulas)
- Cili padi (jumlah bersesuaian dengan selera kepedasan)
- Ketumbar
- Jintan manis
- Rempah rendang Babas
Bahan B (ditumis):
- Bunga lawang
- Cengkih
- Buah pala
- Halba
- Kayu manis
Bahan C
- Kerisik
- Santan
- Daun limau purut
- Daun kunyit
- Asam keping
- Garam
- Gula
- Ajinamoto
- Daging
Caranya:
1. Tumis bahan B sehingga naik bau.
2. Kemudian, masukkan bahan A yang dikisar tadi. Tumis lagi sehingga rempah pecah minyak.
3. Kemudian, masukkan daging atau ayam. Gaul sebati.
4. Tambah sedikit air. Biar daging betul-betul sudah empuk dan kering sedikit.
5. Kemudian, masukkan santan, kerisik, asam keping, garam, gula, ajinamoto dan daun limau purut.
6. Setelah cukup rasa dan rendang pun sudah kering, baru tabur daun kunyit. Gaul dan siap.
Sumber:
3. Sajian Dapur Bonda (sajiandapurbonda.blogspot.com) [1, 2]