Oleh pada 07 Feb 2019 kategori

Nasi minyak merupakan nasi basmati yang ditanak dengan rempah ratus dan minyak sapi. Selain itu, hidangan ini juga mempunyai mentega.

Nasi minyak merupakan makanan rasmi untuk majlis perkahwinan dan majlis istimewa bagi sambutan sesuatu perayaan. 

Nasi minyak sedap dijamah dengan pelbagai jenis kuah berempah seperti ayam masak merah, daging hitam kicap, kurma kambing dan rendang.

 

Nasi Minyak dan Ayam Masak Merah Dae’s Signature

 

Nasi Minyak

 

Bahan-bahan:

  • Beras (3 pot)
  • Air (3 pot)
  • Susu segar (3 pot)
  • Mentega (3 sudu besar)
  • Bawang dan halia kisar (3 sudu) - sedikit bawang holland dan bawang putih serta sedikit halia)
  • Rempah 4 beradik (kayu manis, bunga lawang, cengkih dan buah pelaga)
  • Sos tomato/tomato puri (2 sudu besar)
  • Daun pandan (1 helai)
  • Secubit garam, gula dan ajinomoto untuk perasa - ikut selera masing-masing

 

Cara-cara:

1. Panaskan kuali dan cairkan mentega.

2. Tumis bahan rempah 4 beradik sehingga naik bau.

3. Masukkan bawang dan halia kisar. Tumis sehingga garing.

4. Masukkan sos tomato atau tomato puri. Kacau sehingga sebati.

Nota: Tidak mahu letak pun tiada masalah.

5. Masukkan air dan susu cair. Biarkan mendidih.

6. Sementara itu, boleh basuh beras. Potong daun pandan pendek-pendek dan masukkan dalam periuk. Kemudian, masukkan kesemua bahan tumis yang sudah mendidih tadi.

7. Masak nasi sehingga masak. Insya-Allah lembut nasi minyak tersebut.

8. Biarkan seketika dan taburkan pewarna. Biarkan lagi dan baru kacau.

9. Kaup dan kacau nasi dari tepi periuk baru nasi tidak patah. Pemilik resepi menggunakan beras Basmathi seperti gambar di bawah.

Nota: Beliau berada di Australia dan tidak pasti sama ada ianya ada dijual di Malaysia.

beras basmathi

Air perlu dilebihkan ketika masak beras ini, sama seperti beras siam. 

 

Tips: Jika buat skala besar sedikit, pemilik resepi lebihkan nisbah air dari susu segar. Contohnya untuk 6 pot nasi, beliau letak 5 pot susu segar dan 7 pot air. Sebelum mahu masak, beliau double check sukatan air dan susu segar tersebut. Secara asasnya, sukatan gabungan air dan susu segar sama sahaja seperti sukatan air untuk masak nasi putih biasa, tanpa mengira jenis beras yang digunakan. 

 

Resepi Bonus: Ayam Masak Merah

ayam masak merah

 

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Serbuk kunyit
  • Garam
  • Bawang merah, bawang besar dan bawang putih kisar (bawang putih sedikit sahaja)
  • Cili kering kisar
  • Sos tiram
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Buah tomato (dipotong dadu)
  • Daun kari
  • Ajinomoto
  • Gula
  • Asam jawa
  • Kicap

 

Cara-cara:

1. Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit, garam dan ajinomoto. Biarkan sebentar dan goreng sehingga masak. Tidak garing pun tidak apa. Kemudian, ketepikan.

2. Gunakan minyak goreng ayam tadi untuk menumis. Pandai-pandai agak sukatan minyak. Jika mahu betul-betul garing, minyak pastikan cukup.

3. Tumis cili kering kisar dan daun kari sehingga naik bau dan garing.

4. Kemudian, masukkan bawang kisar. Tumis sehingga betul-betul garing.

5. Kemudian, masukkan buah totamo yang dipotong dadu.

6. Kacau sehingga pecah minyak.

7. Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato.

Nota: Sedikit sahaja kerana buah tomato telah diletak.

8. Kacau sehingga sebati.

9. Masukkan sedikit kicap. Jangan terlalu banyak supaya kuah tidak menjadi hitam.

10. Kemudian, masukkan gula dan ajinomoto. Rasa dahulu, jika tidak cukup masin baru tambahkan garam. Nanti mahu masukkan ayam yang dah digoreng tadi. Ayam pun sudah digaul dengan sedikit garam.

11. Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau dan masak sehingga betul-betul mendidih dan kesemua bahan sebati.

12. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan kacau sebati.

 

Nota: Pemilik resepi tidak masukkan air kerana beliau suka kuah ayam merah yang pekat dengan bahan-bahan tumis dan sos sahaja serta sebati sahaja dengan ayam. Beliau suka tumis lama-lama selepas masukkan kesemua bahan dan baru tutup api.

 

Sumber:

1. Nur Hidayah Salehuddin [1, 2]

2. Wikipedia Malay Cuisine

3. Butterkicap (butterkicap.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)