Oleh pada 22 Jan 2019 kategori

Nasi daging merupakan sejenis makanan tradisional yang berasal dari utara iaitu Kedah dan Perlis.

Menurut bicararesepi.blogspot.com, penulis tidak akan melepaskan peluang meminta kawannya membelikan rempah nasi daging cap Bola jika beliau pulang ke kampungnya di Kedah. Namun, tidak dapat dipastikan dimana ianya boleh didapati di negeri lain.

Anda juga boleh menyimpan stok rempah tersebut lebih sedikit. Jika terdapat tetamu yang berkunjung ke rumah, anda bolehlah hidangkan menu ini kerana ianya senang dan pantas untuk disediakan.

Jika anda tidak mempunyai rempah ini, rempah kurma juga boleh digunakan. Nasi daging amat lazat jika disajikan bersama air asam tomato dan acar timun.

Terdapat segelintir orang atau di sesetengah tempat, dimana beberapa jenis lauk akan dibuat untuk dijamah dengan nasi daging. 

Jika pelbagai lauk diletak, keaslian rasa nasi daging itu mungkin hilang. Namun, tiada yang salah dan tiada yang betul dalam masakan. Semuanya bergantung kepada citarasa individu.

 

Nasi Daging

 

Bahan-bahan: 

  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Halia
  • Rempah kurma

Nota: Untuk 3 pot beras, pemilik resepi gunakan separuh paket rempah kurma.  

  • Rempah 4 sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis)
  • Daging direbus sehingga empuk
  • Minyak sapi (3 sudu penuh)
  • Beras (beras wangi atau beras biasa)

 

Cara-cara:

 

1. Rebus daging

Mula-mula, rebus daging sehingga empuk. Simpan air rebusan daging untuk digunakan ketika memasak nasi.

 

2. Basuh beras

➡ Beras dibasuh bersama 2 helai daun pandan. Pemilik resepi masak 3 pot dengan menggunakan sukatan bekas beras tupperware.

➡ Pemilik resepi menggunakan beras wangi atau anda boleh juga guna beras biasa. Jika mahu lebih lazat, gunakan beras Pulsa Gold Basmathi untuk memasak nasi baryani.

 

3. Tumis atas kuali

➡ Tumis rempah empat sekawan bersama bawang merah, bawang putih, halia dan rempah kurma. Pemilik resepi gunakan minyak sapi untuk menumis.

➡ Kemudian, masukkan garam dan perasa secukup rasa. Apabila sudah sebati, tambahkan secawan air rebusan daging. Tunggu mendidih dan masukkan beras sehingga agak kering.

 

4. Pindahkan ke dalam rice cooker

➡ Pindahkan beras bersama bahan yang ditumis atas kuali tadi ke dalam rice cooker.

➡ Kemudian, masukkan daging yang telah direbus. Masukkan juga tomato. Pemilik resepi tidak menggunakan susu cair.

 

5. Tambahkan air rebusan daging

➡ Masukkan air rebusan daging mengikut keperluan beras. Pemilik resepi hanya gunakan beras biasa, jadi jumlah air pemilik resepi sama banyak dengan beras. Caranya macam mahu masak nasi putih biasa sahaja.

➡ Jika guna beras Basmathi, perlu ikut sukatannya.

 

Nasi daging telah siap dimasak. Memang ‘power’ jika dimakan dengan sambal air asam. Tambah pula dengan bawang goreng atau sup daging, memang tidak nampak orang sebelah dah!

 

Cara membuat sambal air asam lebih kurang seperti sambal belacan, cuma ia menggunakan air asam jawa. Oleh kerana ramai yang bertanya, pemilik resepi sertakan juga cara membuatnya.

 

Resepi Bonus: Sambal Air Asam

Bahan-bahan:

  • Cili padi
  • Belacan
  • Garam
  • Gula
  • Perasa

Semua bahan di atas ditumbuk sehingga lumat

  • Lada merah
  • Tomato
  • Bawang besar

Semua bahan di atas dihiris

 

Caranya:

Bancuh air asam jawa dan masukkan bahan yang ditumbuk. Kemudian, masukkan bahan yang dihiris pula. Siap.

 

Tidak perlu tunggu Raya Haji pun anda boleh buat untuk dimakan pada hari-hari biasa di rumah. Mudah sahaja caranya, bukan?

 

Nota: Resepi nasi daging ini disumbangkan oleh Puan Ica Ashida menerusi Facebook beliau. Ia telah disunting dan diterbitkan semula oleh pemilik resepi dengan kebenaran.

nasi daging yang mudah tapi power 2 672

 

Sumber:

1. Hairul Nizam Ijam [1, 2]

2. Bicara Resepi (bicararesepi.blogspot.com) [1, 2 ]

3. Dari Dapur Aida (daridapuraida.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)