Kredit foto: Harian Metro
Ustaz Mohd Raffi Harun, 54, mencetuskan sensasi di media sosial apabila video kaedah perubatannya menggunakan pistol mainan menjadi tular.
Sehingga kini, video di laman Facebook yang menerima pelbagai persepsi di kalangan netizen itu sudah merekodkan lebih dua juta tontonan serta dikongsi lebih 14,000 kali!
Menurut Mohd Raffi dari Kampung Losong Tangki Air, Kuala Terengganu, dia berkecimpung dalam bidang perubatan tradisional sejak berumur lapan tahun iaitu ketika berada di Batu Pahat, Johor.
Seiringan kematangannya dalam dunia perubatan, beliau akui sering mengubah teknik yang digunakan dalam mencari kaedah paling berkesan.
“Penggunaan pistol mainan ini hanya kaedah perubatan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah saya menggunakan ayat al-Quran sepanjang melakukan rawatan
“Pada peringkat awal dulu, saya menggunakan kaedah bacaan pada air, kemudian beralih kepada penggunaan kain putih dan kaedah contengan pada buku menggunakan empat pen berlainan warna beberapa tahun selepas itu.
“Terbaru selepas sembuh daripada sakit selama setahun empat bulan pada 2014 sehingga mengalami kemurungan teruk, saya memperolehi ilham yang diberikan Allah untuk menjalani rawatan tradisional itu menggunakan pancaran cahaya laser.
“Memandangkan kos untuk membeli peralatan laser agak tinggi, saya tiada pilihan selain menggunakan pistol mainan kerana itu sahaja pilihan yang ada, malah tidak pernah terfikir penggunaan pistol mainan akan menjadi isu dan menerima kritikan teruk daripada masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro, ketika ditemui di kediamannya pada Isnin.
Mohd Raffi mendakwa, seramai 4,000 pesakit telah bertandang untuk mendapatkan perkhidmatannya, termasuk dalam rekod yang ada iaitu 3,469 pesakit dari merata negara antaranya Indonesia, Singapura dan China.
Kredit foto: Facebook Perubatan Islam Ustaz Raffi
“Saya akui video perubatan yang ditular ini dimuat naik sendiri oleh saya dan beberapa anak murid di laman sesawang milik kami di Internet dengan persetujuan pesakit dengan harapan untuk menghebahkan kaedah perubatan itu kepada umum.
“Saya terdorong untuk berbuat demikian kerana berang dengan sikap segelintir pengamal perubatan melabelkan diri mereka sebagai ustaz, tetapi bebas menyentuh pesakit wanita termasuk meraba dan mengambil kesempatan terhadap pesakit,” katanya.
Katanya lagi, kaedah perubatan yang ditawarkan merupakan alternatif terbaik buat masyarakat khususnya para wanita yang ingin dirawat tanpa melibatkan sentuhan kulit jika dikhuatiri boleh menjurus ke arah perkara yang tidak elok.
“Saya terkilan dengan tuduhan segelintir pihak yang melabel saya sebagai ‘penjual agama’ untuk kepentingan diri, malah ada netizen yang tergamak menghina cara saya berpakaian termasuk pemakaian kopiah itu.
“Saya tidak pernah memaksa pesakit untuk datang berubat dan paling penting saya tidak pernah menetapkan sebarang bentuk upah atau harga tertentu yang perlu mereka bayar selepas menjalani rawatan.
“Jika saya terlalu mengutamakan wang ringgit atau upah, saya pasti menetapkan harga untuk setiap rawatan, malah pernah menerima upah 80 sen daripada seorang pesakit, namun tidak membuatkan saya berhenti daripada meneruskan amalan perubatan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah Ustaz Ahmad Ridhwan Md Radzi berkata, apa yang diamalkan Mohd Raffi dalam perubatannya itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia hanyalah kepelbagaian yang digunakan dalam merawat pesakit.
“Bagaimanapun, penting untuk kita pastikan amalan perubatan yang diamalkan serta dikaitkan dengan Islam itu perlu bersandarkan kepada al-Quran dan hadis supaya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah di kalangan masyarakat,” katanya.