Zaman sekarang zaman teknologi di tangan kita. Bukan setakat di tangan ada kamera, dalam kereta pun ada kamera yang bertindak sebagai mata di depan, belakang dan tepi kenderaan dinaiki kita (kalau mampu).

Walaupun demikian dengan mudahnya akses kepada teknologi, tahap penggunaan yang tinggi juga mengakibatkan ramai pengguna mampu menggunakannya - tetapi kurang cakna tentang undang-undang atau peraturan di sebalik penggunaan perakam kamera kereta ini. 

Setiap hari ada saja video rakaman yang sengaja ditularkan, untuk tujuan menyebarkan mesej kesedaran serta mungkin juga mengejar populariti segera. Persoalannya - bolehkah perbuatan itu dilakukan?

Malaysia mula menerima kehadiran teknologi

vocket lori terbabas positif syabu header

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kemudahan yang dibawa oleh perakam video kereta atau DVR sudah mula dimanfaatkan dengan baik. 

PDRM dan JPJ sudah mula menerima secara rasmi rakaman bukti video yang direkodkan oleh unit-unit perakam, yang akan digunakan bagi memudahkan penafsiran insiden atau kejadian yang berlaku atas jalan raya dengan lebih baik. 

Namun rakaman yang layak untuk digunakan sebagai bukti kejadian haruslah lengkap informasinya bagi memudahkan tujuan pengecaman dilakukan.

Setiap video atau foto yang dirakam perlulah mengandungi visual insiden, nombor plat pendaftaran kenderaan mereka yang terlibat, masa kejadian berlaku dan juga lokasi kejadi yang berlaku. Menurut JPJ, sekiranya maklumat yang diperlukan tidak lengkap - sukar untuk pihak berkuasa mampu mengambil tindakan hasil daripada aduan yang dibuat orang ramai.

Bagaimanapun harus juga kami ingatkan dan kami perjelaskan di sini - dalam situasi di mana rakaman foto atau video dibuat dalam keadaan yang menyalahi undang-undang; seperti pemandu yang sedang memandu sambil memegang telefon untuk melakukan rakaman - tindakan undang-undang ke atas perakam itu akan turut sama dijalankan.

Mahkamah masih belum menerima sepenuhnya

rakaman dashcam bukti mahkamah

Walaupun pihak berkuasa kita yang mengendalikan proses peraturan dan undang-undang jalan raya sudah menerima rakaman video sebagai bukti, di pihak mahkamah pula belum ada kata putus berkenaan isu sama.

Ini kerana kita belum mempunyai takrifan jelas dalam ketetapan undang-undang kita, berkenaan kelayakan mahkamah untuk menerima bukti rakaman DVR sebagai salah satu bukti dokumentari mahkamah.

Situasi sedikit tergantung ini boleh menyulitkan keadaan, kerana keputusan untuk menerima rakaman sebagai bukti bergantung kepada budi bicara hakim, menurut pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Professor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Beliau berpendapat pihak mahkamah seharusnya menerima rakaman dalam konteks perbicaraan, kerana rakaman mampu memperjelaskan banyak perkara yang tidak kita ketahui berkenaan kes yang sedang dibicarakan.

Pandangan itu turut disokong pensyarah undang-undang dari Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow yang merasakan Malaysia patut mula menerima rekod rakaman sebagai bukti perbicaraan.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan Malaysia mewajibkan pemasangan DVR di semua kenderaan serta mengemaskini Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333, agar lebih seiring dengan teknologi sedia ada.

Satu perkara penting yang perlu kami perjelaskan

dashcam bukti kesalahan trafik pdrm jpj mahkamah

Kami harapkan daripada penerangan di atas, anda sudah mendapat gambaran awal tentang situasi sebenar penggunaan DVR di Malaysia. Ya PDRM dan JPJ sudah membuka ruang menerima rakaman yang kita hantar sebagai bukti, namun pastikan rakaman kita itu lengkap informasinya. 

Mahkamah pula mungkin memerlukan masa lebih panjang, untuk meneliti dan memperhalusi penerimaan bukti bercorak rakaman digital ini. Ini kerana di mahkamah, sebarang bukti yang ingin dibawa ke depan hakim perlulah bersifat sahih. 

Dalam era digital, takut juga ada pihak mula mencipta video kemalangan yang telah diubahsuai. Namun ada satu perkara yang kami yakin anda semua perlu tahu!

Kini komuniti dalam media sosial yang saling berkongsi video-video rakaman insiden DVR kepada orang awam tumbuh macam cendawan lepas hujan. Sana-sini mudah untuk kita dapat menonton video tular terbaru insiden jalan raya di negara kita. 

Tahukah anda - sebarang bentuk rakaman yang merakamkan kesalahan pihak lain atas jalan raya, melalui kamera sebenarnya tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya melainkan ada arahan berlandaskan undang-undang dibuat?

Ini bermakna sekiranya anda ada merakamkan insiden jalan raya dan dengan sengaja berkongsi video itu tak kiralah atas apa tujuan sekalipun baik mendidik atau mahu memalukan - anda sedang melakukan satu kesalahan!

Jika ada laporan polis dibuat ke atas mereka yang berkongsikannya, seseorang itu boleh dibicarakan di mahkamah. Seandainya sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tidak ramai tahu perbuatan ini salah kan? Ni kami nak beritahulah ni. Ini takrifan aktanya : 

53C. (1) Mana-mana orang yang, kerana apa-apa sebab, mempunyai dengan apa-apa cara akses kepada apa-apa maklumat mengenai kesalahan yang dirakamkan melalui kamera tidak boleh memberikan, menyiarkan atau selainnya mendedahkan kepada mana-mana orang lain maklumat itu melainkan jika pendedahan itu adalah dikehendaki atau dibenarkan

Anda pernah menjadi mangsa mereka yang menularkan video kesalahan anda di media sosial, sehingga memalukan anda?

Anda boleh buat laporan polis. Mereka yang melakukannya boleh didakwa di bawah Akta 333 Seksyen 53c negara kita. Seperti biasa, pastikan anda ada kata nama atau akaun pengguna yang berkongsikannya sebelum ke balai.



Hakcipta iluminasi.com (2017)